Followers

Wednesday, 6 June 2018

REFORM


Keputusan telah dibuat oleh seluruh pengundi berdaftar di Malaysia pada tanggal 9 May 2018 yang lalu.

Keputusan yang dianggap sebagai suara rakyat itu sebenarnya telah merubah iklim politik tanahair sehingga berlakunya apa yang MMI istilahkan sebagai tsunami politik akar umbi.

Semua pihak membicarakan soal politik dengan pelbagai agenda dan pandangan, malah ada dikalangan mereka yang dulunya tidak menunjukkan minat dalam membicarakan soal politik tampil dengan persoalan dan juga pendapat masing-masing.

Di waktu itu MMI mengambil keputusan untuk memerhati dan menilai apakah yang bakal berlaku sama ada di pihak kerajaan yang baharu mahupun parti UMNO itu sendiri.

Apakah akan ada sesuatu yang menarik untuk diperkatakan ?

Apakah akan ada WOW Factor yang boleh membenamkan parti UMNO dan sejarah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional selama 60 tahun yang lalu ?

Apakah rakyat bakal menikmati pulangan yang jauh lebih baik di bawah kerajaan Pakatan Harapan ?

Yang pasti ramai dah mula bersuara dan ramai yang dah melihat malah sudah merasakan kesan perubahan yang dilakukan oleh jutaan rakyat Malaysia.

MMI hampir pasti akan terus menulis dan semua persoalan-persoalan itu akan dikupas dalam artikel yang akan datang cumanya dikesempatan ini MMI lebih teruja dalam soal perubahan yang bakal dilakukan oleh parti UMNO bagi mengembalikan kekuatan serta keupayaan parti mendepani rintangan politik yang dirasakan akan lebih menarik dan penuh dugaan.

Untuk itu penulisan oleh sahabat blogger Dr MiM di artikelnya yang terkini amat menarik untuk kita baca dan amatilah 6 perkara yang dibangkitkan :-

Landskap politik negara berubah secara total selepas PRU14. Barisan Nasional gagal mempertahankan kerajaan pusat begitu juga di hampir ke semua negeri dalam Malaysia.

Ramai yang terkejut dengan keputusan luar jangkaan ini tetapi ada juga yang telah menjangka keputusan tersebut. Ironinya, peralihan kuasa berjalan dengan aman tanpa masalah atau pengisytiharan darurat seperti yang acap kali dimomokkan kepada rakyat sebelum PRU14..

Semasa sessi diskusi IT minggu lepas, penulis bertanya tentang keputusan 'post mortem' PRU14 dan Tengku Adnan Tengku Mansor berjanji akan kongsikan analisa tersebut. Penulis akan tulis topik ini di artikel seterusnya.

Apakah parti UMNO boleh berubah dan hala tuju seterusnya?

Ada 6 perkara yang perlu diambil kira.

Pertama, kita mesti akui kelemahan dan kesalahan sendiri serta berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaikinya. Tapi jika perangai dan pendekatan masih sama, perubahan yang diharapkan tidak mungkin akan berlaku.

Jika kalah kerajaan pusat dan negeri tetapi masih banyak protokolnya dan ada yang beranggapan mereka itu masih berstatus VIP kerajaan, lebih baik tutup parti kerana reformasi parti yang diuar-uarkan hanya sekadar penyedap hati ahli-ahli UMNO yang kecewa dek kekalahan. Dan ahli-ahli UMNO ini yang sebenarnya merasai keperitan bila BN kalah kerana ada yang menganggur dan hilang pendapatan dipecat oleh kerajaan PH.

Kedua, parti UMNO dan dasar-dasarnya tidak bersalah dan tidak patut diubah. Parti UMNO terlalu banyak jasanya kepada rakyat dan negara. Untuk rekod, parti PPBM dalam Pakatan Harapan adalah parti yang berlandaskan Melayu dan Bumiputera.

Yang mesti diubah ialah sebahagian besar kepemimpinnya dan kepimpinan UMNO perlu lebih cekap mengurus persepsi.

Apabila Anwar Ibrahim dan Wan Azizah teruk dikritik netizen pro-BN kerana gambar mereka bersama anak-anak di dalam jet rasmi kerajaan, keesokan harinya gambar Anwar Ibrahim naik kapal terbang Malindo Air diviralkan. Ini mengurus prrsepsi namanya.

Pokoknya, tidak ada lagi ayat 'ada aku kisah' atau 'apa aku peduli' dalam pemikiran kepimpinan UMNO. Persepsi mesti diperbetulkan. Perkara negatif perlu dipeduli dan dikisah walau pun kecil.

Ketiga, Barisan Nasional mesti diubah dan ditonjolkan sebagai satu entiti yang benar-benar melambangkan kesatuan dan kerjasama pemimpin-pemimpin berbilang kaum di dalamnya. Tiada boss dalam BN.

Kepimpinan BN mesti bergerak sebagai satu pasukan di mana-mana sidang khabar atau majlis rakyat yang akan disusun kelak. Konsep ini yang digunapakai oleh Pakatan Harapan. Konvensyen BN perlu diadakan.

Apakah sudah tiba masanya untuk menukar imej, nama Barisan Nasional dan logonya?

Keempat, tidak ada 'tempoh bertenang', 'honeymoon' atau 'cooling period' dalam politik Malaysia. Lebih-lebih lagi apabila PH menggunapakai teknik propaganda mereka yang terbukti berjaya sebelum ini.

Sejak hari pertama lagi rakyat telah disumbat dan dimomokkan kononnya negara mengalami krisis kewangan yang sangat teruk. Ianya dilakukan setiap hari dan berulang kali. Dengan bantuan media sosial dan kali ini dengan penguasaan media perdana, ramai yang sudah percaya hutang negara adalah RM1 trilion walau pun ianya tidak benar.

Apabila propaganda berhasil, kerja PH sudah menjadi senang dan janji-janji 100 hari yang diketahui mustahil dilaksanakan, tidak perlu dilakukan lagi.

Kerana itu yang kalah mesti cepat bangkit menjadi entiti pembangkang yang sangat vokal terutamanya mereka yang berhasrat untuk bertanding kepimpinan UMNO dan sayap-sayap UMNO tidak lama lagi.

Selain daripada memperkukuhkan dan menyegarkan parti, calon-calon perlu buktikan kelantangan dan keberhasilan mereka mengkritik PH. Dah namanya pembangkang maka pemilihan pemimpin serta segala gerak kerja mesti fokus ke arah itu.

Kerja calon-calon yang pertama ialah untuk menyakinkan kembali rakyat bahawa krisis kewangan negara tidak benar dan hanya satu mainan persepsi PH untuk melepas tengkuk sendiri daripada melaksanakan janji-janji tidak logik mereka dalam 100 hari.

Dan jika kita teliti, hanya 2 pemimpin PH sahaja yang kerap bercakap dan kenyataan mereka menimbulkan banyak persoalan iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng.

Kepimpinan tertinggi UMNO perlu menjadi antagonis kepada 2 orang ini dan fokus untuk memantau serta menjawab kenyataan mereka itu dalam kadar segera dan berulang-ulang. Sebagai pembangkang, sudah tiada lagi konsep 'kita tunggu dahulu' atau 'biarkanlah'.

Kelima, sudah tiba masanya untuk setiap ahli UMNO yang akan mengundi nanti untuk memilih calon yang benar-benar boleh buat kerja serta mampu menaikkan kembali imej UMNO. Kita perlu buat homework sedikit dan kaji calon-calon ini.

Beginilah ..... yang paling penting ialah undi adalah rahsia. Tidak ada sesiapa pun yang tahu calon mana yang anda pilih.

Paling mudah, kita boleh rujuk facebook, twitter, blog atau instagram mereka dan nilai sendiri sama ada mereka ini benar-benar aktif mengkritik PH dan berbakti kepada parti atau sekadar politik bermusim, selfie bercuti dan menayang kemewahan sahaja.

Dan setiap calon mestilah aktif di dalam media sosial terutamanya ketika ini media perdana bukan lagi di bawah penguasaan UMNO. Hanya platform media sosial yang boleh digunapakai oleh UMNO untuk meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran dan menaikkan kembali imej parti.

Keenam, kita juga mesti memikirkan kesan-kesan negatif yang mungkin terjadi akibat pemilihan UMNO ini. Bohong jika ada yang menafikannya kerana sejarah membuktikan UMNO pernah berpecah belah disebabkan pemilihan parti.

Dalam situasi hari ini yang menuntut perpaduan dan satu hati di kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti, yang menang perlu berlapang dada menerima yang kalah untuk bersamanya. Manakala yang kalah perlu menerima kenyataan, tetap berkhidmat, tidak bersara dan tidak lompat ke parti lawan! seterusnya Dr MiM

Kepada ahli-ahli UMNO yang terus setia dengan parti terimalah hakikat dan fahami maksud REFORM !

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels