Followers

Wednesday 4 December 2013

Kuantan Terputus Bekalan Elektrik , Banjir Di Pahang Kian Buruk !!


KUANTAN: Sebahagian besar bandar ini mengalami masalah gangguan elektrik apabila 200 pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa ditutup selepas paras air banjir meningkat dengan mendadak.

Bandar ini yang sedia ditenggelami banjir akibat hujan lebat berterusan mengalami kenaikan paras air berikutan fenomena air pasang besar yang bermula jam 10 malam tadi.

Pengurus Besar TNB Pahang Datuk Sharuddin Mohd Simin berkata, pihaknya terpaksa menutup pencawang itu kira-kira jam 12 tengah malam ini bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila 9,638 mangsa ditempatkan di 49 pusat pemindahan banjir di lima daerah.

Sehingga 12 tengah malam tadi, Kuantan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 4,148 orang ditempatkan di 11 pusat pemindahan diikuti Rompin 3,380 orang di 13 pusat pemindahan, Maran (1,124 orang di sembilan pusat pemindahan), Pekan (923 orang di 13 pusat pemindahan) dan Jerantut (63 orang di satu pusat pemindahan).


KUANTAN: Banjir di Pahang kini dilaporkan semakin buruk apabila lebih 9,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 8 malam Selasa.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga kini 9,030 mangsa yang melibatkan 2,095 keluarga dipindahkan di lima daerah.

"Sebanyak 69 pusat pemindahan beroperasi di daerah Maran, Pekan, Rompin, Kuantan dan Jerantut.

"Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan. "Di Rompin pula 859 keluarga dengan 3,249 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Di Pekan, 932 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan manakala di Maran, 1,124 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.

"Jerantut pula merupakan daerah terbaharu yang mengalami banjir yang mana satu pusat pemindahan dibuka membabitkan 62 mangsa daripada 12 keluarga," kata jurucakap itu.

Katanya laluan yang ditutup bagi kenderaan ringan, Km28 Kuantan-Sungai Lembing, Km36 Jalan Gambang-Kuantan, Km16 Jalan Nenasi-Pekan, Km145 Jalan Jerangau-Jabor, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km10 Jalan Kuantan-Pekan.

Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir.

Di JERANTUT, Ketua Polis daerah itu Supt Azid Ismail berkata lebih 10,000 penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dinasihati supaya bersedia untuk berpindah berikutan paras air di kedua-dua sungai semakin naik.

Azid berkata hujan yang tidak berhenti-henti sejak tiga hari lepas memang dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah terutama di Hulu Tembeling dan kawasan tebing sungai.

"Penduduk dinasihatkan supaya tidak turun ke Sungai Tembeling atau Sungai Pahang ketika air naik sebaliknya berpindah segera jika berlaku banjir bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Pengusaha bot penambang dan 50 pengusaha bot pelancong di Taman Negara juga dinasihatkan supaya menghentikan sementara perkhidmatan mereka.

"Pengusaha bot perlu mengutamakan keselamatan penumpang," katanya. - BERNAMA

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels