Followers

Sunday 1 March 2015

7 Amanat Buat BANGSA MELAYU @NajibRazak

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi telah menyampaikan 7 amanat utama kepada bangsa Melayu untuk dijadikan panduan bagi melangkah maju pada abad ke 21 dan menjadi kuat, hebat dan bermaruah.

Beliau menegaskan keperluan melatih orang melayu menjadi bangsa pengetahuan dan mengukuhkan ekonomi merupakan yang terkandung didalam amanat beliau itu.

"Amanat ini bagi mewakili semua pemimpin Melayu dan hendaklah dijadikan peringatan kekal dan ia juga ingatan untuk kita semua.

"Selagi ada bulan dan bintang serta selagi darah Melayu mengalir di tubuh kita, amanat ini menjadi wadah dan maslahah umat ini dan kita akan terus perjuangkan sampai bila-bila," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan hadirin semasa menyampaikan amanat pada Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu di Stadium Putra Bukit Jalil, disini, hari ini.

Selain itu, amanat tersebut menekankan keperluan memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya, menjaga nilai-nilai murni, menegakkan mawasid syariah dengan bersikap sederhana, mempertahankan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu, dan menjaga institusi keluarga.

Kata Najib, bangsa kaum Melayu akan dihormati oleh semua kaum dan dunia serta bangsa Melayu itu sendiri akan mampu menjadi bangsa yang berdikari sekiranya berpegang kepada amanat tersebut.

Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu merupakan hasil inisiatif Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan Biro Tatanegara (BTN).

Majlis yang bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan 'Negaraku' turut menyaksikan ribuan peserta menyahut seruan dan lafaz waad (janji luhur) yang dibacakan Pengerusi Sekretariat Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu, Datuk Dr. Hasan Mad, yang juga merupakan Setiausaha Agung MPM.

Antara tetamu yang turut menghadiri perhimpunan itu ialah naib presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.

Dalam perhimpunan itu, Najib turut menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman penubuhan Koperasi Majlis Perundingan Melayu Berhad oleh Amanie Corporate Advisor Sdn. Bhd., kepada MPM.

Beliau turut menerima memorandum cadangan bagi penubuhan Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Islam daripada anggota jawatankuasa MPM, Tan Sri Mohamed Yusof Mohamed Noor.rakyatnews


Program tersebut diakhiri dengan pengisytiharan mandat para pemimpin Melayu kepada kesemua agensi dan badan yang berkaitan melakukan apa sahaja untuk melaksanakan agenda perpaduan dan pembangunan Melayu oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. 

Semoga MELAYU terus BERSATU dan BERPADU !

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels