Followers

Friday 20 March 2015

MERANCAKKAN INDUSTRI AEROANGKASA & MARITIM #LIMA15

Antara isi kandungan perutusan Menteri Pertahanan Malaysia , Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan , ATM dan agensi terlibat bagi tahun 2015 adalah menjadikan LIMA 15 sebagai Edisi Terbaik dalam sejarah penganjurannya.

Bertitik tolak daripada situlah maka segala gerak kerja dan usaha bersungguh-sungguh telah digembleng dengan begitu baik bagi mencapai matlamatnya.Dengan kehadiran Menteri Pertahanan ASEAN yang paling ramai melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang julung-julung kali diadakan semasa LIMA , ditambah pula dengan jumlah aset pertahanan yang menyertai edisi kali ini meningkat kepada 110 pesawat dan 65 kapal laut ianya adalah sesuatu yang amat membanggakan.

Tumpuan juga harus diberikan kepada kehadiran 70 peratus daripada syarikat-syarikat industri aeroangkasa dan maritim terbesar dunia dengan market capitalization melebihi USD500 billion sebagai sesuatu yang mampu merancakkan industri aeroangkasa dan maritim negara.

Dalam masa yang sama pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dilihat sebagai bonus kepada penganjuran LIMA 15 apabila elemen-elemen ASEAN turut diterapkan dalam penganjuran kali ini seperti ASEAN Business Forum, ASEAN Aviation Summit telah meletakkan LIMA 15 sebagai pemangkin kepada kerancakkan industri berpotensi tinggi ini.

Untuk rekod penganjuran LIMA kali ini turut menampilkan syarikat-syarikat pertahanan tempatan seperti Deftech, Sapura, National Aerospace Defence Industries (NADI), Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) dan MARA Aerotech.Penyertaan daripada syarikat tempatan ini sebenarnya menjadi titik tolak kepada persaingan sihat dalam industri aeroangkasa dan maritim negara yang mampu terus berkembang.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya sewaktu merasmikan LIMA 15 berkata Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang dilancarkan pada Pa­meran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 akan meletakkan Malaysia sebagai negara utama yang terlibat dalam industri itu di rantau ini. 

Sehubungan itu beberapa inisiatif utama akan digerakkan bagi membolehkan Malaysia memasuki pasa­ran baharu dan industri aeroangkasa yang lebih canggih. “Matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara aeroangkasa yang utama di rantau Asia Tenggara dan sebahagian daripada pasaran global”.

Beliau berkata, kerajaan berharap industri tersebut akan menyumbang perolehan sehingga RM32.5 bilion dan 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. Bagi tujuan itu katanya, Kabinet baru-baru ini telah menubuhkan Agensi Penyelarasan Aeroangkasa Kebangsaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi melaksanakan pelan tindakan dan menjadi sekretariat baharu untuk Majlis Aeroangkasa Malaysia.

Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa pertama yang dilancarkan pada 1997 telah menjana RM19 bilion dalam pero­lehan, RM4.2 bilion dalam bentuk pelaburan dan menyediakan lebih daripada 19,500 peluang kerja. 

Berdasarkan kepada statistik tersebut maka industri ini di jangka mampu terus menjana keuntungan bukan sahaja dari sudut ketenteraan tetapi juga ekonomi.Bagi merealisasikan hasrat tersebut , dua strategi penting telah digariskan oleh Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Pertahanan Malaysia untuk mencapai matlamatnya iaitu :-

1.Mewujudkan pasaran bagi aeroangkasa dan maritim industri komersial, sama dengan apa yang sedang dilaksanakan di LIMA untuk pertahanan selain daripada memberi tumpuan kepada penggunaan ASEAN.

2.Suntikan aktiviti perniagaan untuk membina rangkaian perniagaan ASEAN dan global, dalam talian dengan agenda integrasi ASEAN.

Bagi merealisasikan matlamat ini , Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengukuhkan struktur LIMA dengan melibatkan Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Belia dan Sukan sebagai komponen utama jawatankuasa organisasi LIMA.

Dalam masa yang sama ASEAN merupakan kuasa ekonomi ke-5 terbesar di dunia, berjumlah USD2.398 trillion KDNK nominal (World Bank Data 2013). Pertumbuhan yang konsisten dalam import pertahanan, permintaan dan keperluan baru pesawat komersial & perniagaan, dan kedudukan sebagai laluan air yang paling sibuk di dunia, menjadikan ASEAN sebuah pasaran yang semakin menarik bagi kedua-dua sektor aeroangkasa dan maritim.

Dengan jangkaan perbelanjaan bagi urusan pertahanan di Asia Tenggara mampu mencecah kira-kira RM150 bilion pada tahun 2018 berbanding RM130 bilion pada tahun ini , industri aeroangkasa dan maritim negara dilihat mempunyai prospek tinggi untuk terus mencipta kejayaan. 

Oleh yang demikian segala usaha dan perancangan ini haruslah dikekalkan dengan kerajaan terus bertindak sebagai pelopor atau pembuka jalan khususnya kepada syarikat-syarikat pertahanan tempatan untuk terus berdaya saing dengan syarikat-syarikat gergasi dunia seterusnya memungkinkan Malaysia mampu menjadi hub aeroangkasa dan maritim di Asia Tenggara.

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels