Followers

Tuesday 17 March 2015

Perasmian #LIMA15 PM @NajibRazak Hargai Peranan Tun Mahathir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengimbas pengalamannya menjadi Menteri Pertahanan ketika kali pertama Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dianjurkan pada 1991.

Ketika berucap merasmikan LIMA edisi ke 25 pagi Isnin, Najib memberitahu hadirin ketika itu beliau berdepan berbagai kesukaran termasuk membina hotel dan chelet untuk kegunaan tetamu dalam masa yang singkat.

"Saya percaya zaman Datuk Hishamuddin lebih mudah berbanding zaman saya," katanya bergurau dalam majlis yang turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Najib, pengalaman menjadi Menteri Pertahanan pertama menganjurkan LIMA merupakan satu pengalaman berharga buat beliau.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir yang mencetuskan idea penganjuran LIMA.

Selepas 25 tahun penganjurannya, tahun ini sebanyak 512 buah syarikat daripada 36 syarikat seluruh dunia serta 110 pesawat dan 65 kapal laut, menyertai LIMA 2015.

"Penyertaan terbesar sepanjang sejarah ini merupakan peningkatan sebanyak 18 peratus daripada edisi sebelum ini dan kami juga menyasarkan kehadiran 168,000 pelawat perdagangan dan orang awam," kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, 70 peratus daripada 25 syarikat pertahanan pertahanan utama dunia dan lima daripada syarikat pembuat helikopter terbesar di dunia akan hadir pada pameran dwitahunan di pulau peranginan ini.

Hishammuddin berkata LIMA kali juga akan menampilkan syarikat-syarikat pertahanan tempatan seperti Deftech, Sapura, National Aerospace Defence Industries (NADI), Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) dan MARA Aerotech.

Bukan sahaja LIMA tahun ini menarik penyertaan pesawat dan kapal perang terbesar dalam sejarah, ia juga menarik kehadiran kesemua 10 Menteri Pertahanan negara anggota ASEAN, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Antara acara menarik esok adalah penerbangan lintas daripada aset terbaru negara, pesawat pengangkut A400M Atlas sambil diiringi oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat pengangkut strategik TUDM itu baru sahaja diterima negara minggu lepas daripada syarikat pembuatnya, Airbus Defence dan terus diterbangkan balik untuk membuat penampilan khas pada LIMA tahun ini.

Pesawat yang mempunyai pengenalan "MS022" itu merupakan yang pertama daripada empat dipesan oleh Malaysia bagi mempertingkatkan operasi pengangkutan TUDM yang selama ini dipikul oleh pesawat pengangkut Charlie C-130 Hercules.

Ia kemudiannya dikuti oleh persembahan aerobatik daripada empat buah pasukan daripada Malaysia Singapura, Rusia dan China yang menampilkan pasukan aerobatik August 1st dengan juruterbang wanita yang hanya kali kedua beraksi di luar negara Tembok Besar itu.

Kali pertama ia beraksi di luar China adalah pada pameran MAKS di Rusia pada 2013.

Selain itu, LIMA tahun ini juga akan menjadi medan pencambahan idea dan buah fikiran menerusi penganjuran pelbagai konvensyen dan seminar.

Antara konvensyen sepanjang LIMA kali ini ialah Perbincangan Meja Bulat Panglima Tentera Laut (Chief of Navy Roundtable Talk), Persidangan Panglima Tentera Udara (Air Chief Conference) dan Sidang Kemuncak Penerbangan (Aviation Summit).

No comments:

Post a Comment

Labels