Followers

Tuesday 19 July 2016

Zalim Samakan Akta 355 Sebagai Hudud

Siang tadi sewaktu menjamah hidangan tengahari MMI kebetulan terdengar perbualan meja sebelah perihal Akta 355 yang sebelum ini telah mencetuskan fenomena tersendiri.

Fenomena yang MMI maksudkan itu adalah betapa pantasnya respon pihak-pihak bukan Islam terhadap cadangan penambahbaikkan akta tersebut seolah-olah dunia akan kiamat bagi mereka.

MMI yakin apa jua yang dilontarkan oleh mereka-mereka itu adalah disebabkan kedangkalan dan kejahilan mereka tentang agama Islam.Maka kerana itu sebahagian daripada kita haruslah segera berusaha untuk memberikan penerangan yang sebaik-baiknya agar mereka faham kedudukan sebenar.

Yang menjadi masalahnya apabila ada dikalangan orang-orang Melayu yang mengaku beragama Islam turut sama menjadi penyokong kepada penolakan mereka-mereka yang bukan bergama Islam terhadap penambahbaikkan Akta 355.

Terfikir MMI , apakah mereka-mereka ini tidak faham atau sudah terlalu jauh terpesong dengan kehidupan serba moden sehingga cadangan untuk memperkasakan undang-undang syariah itu dilihat sebagai sesuatu yang harus ditentang ?

MMI bukan alim ulama tetapi begitulah senarionya siang tadi di meja sebelah dan rasanya MMI perlu menggunakan medium ini untuk sekurang-kurangnya memberikan pencerahan kerana MMI yakin masih ada lagi mereka-mereka diluar sana yang masih keliru atau sengaja mengelirukan.

Pencerahan di bawah rasanya amat mudah untuk difahami dan MMI tujukan pencerahan ini khusus kepada mereka-mereka yang mengaku beragama Islam semoga pintu hati kalian terbuka dengan rahmat Allah SWT.

Ada pihak yang mendakwa bahawa Rang undang-undang persendirian yang diusulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta 355 adalah untuk membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Dakwaan ini datangnya daripada banyak pihak termasuk ahli politik, ahli akademik dan termasuk juga Badan Peguam Malaysia. Ada ahli politik yang tidak dapat membezakan Akta 355 dan hudud bercakap dalam ceramah dan kenyataan mereka seolah-olah pindaan Akta 355 akan membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan. Suatu kenyataan yang mengelirukan dan tidak jujur. Istilah yang salah yang digunakan boleh mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.

Pindaan akta ini bukan hudud.

Jenis-jenis jenayah hudud ialah kesalahan berzina (persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan) ; Qazaf (menuduh zina atau melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik) ; minum arak ; mencuri ; merompak dan murtad (riddah).

Hukuman yang ditetapkan bagi penzina yang belum berkahwin ialah dihukum sebat 100 kali sebatan syariah. Bagi penzina yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati. Bagi kesalahan Qazaf (menuduh zina), hukumannya ialah disebat 80 kali sebatan syariah. Manakala bagi kesalahan minum arak, hukumannya ialah disebat sebanyak 40 kali sebatan syariah. Bagi kesalahan mencuri, dihukum potong pergelangan tangan atau jari mengikut kadar barang yang dicuri.

Bagi kesalahan merompak, iaitu mengambil harta orang lain dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan ancaman, hukumannya bergantung kepada jenis rompakan. Sekiranya semasa rompakan melibatkan pembunuhan, maka hukumannya hendaklah dibunuh. Sekiranya hanya merompak sahaja, hendaklah dipotong tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan seterusnya. Sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara.

Bagi kesalahan keluar Islam sama ada dengan perbuatan dan perkataan, hukumannya ialah bunuh, setelah diberi tempoh bertaubat selama tiga hari atau tiga kal.

Hudud berbeza dengan Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) yang dicadangkan pindaan. Akta 355 tersebut ialah suatu akta peringkat persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen dan ia berkuatkuasa seluruh negara. Akta 355 sejak tahun 1984 telah menghadkan bidangkuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah.

Hukuman paling tinggi yang boleh dikenakan terhadap kesalahan jenayah syariah seperti berkhalwat, berzina atau bersekedudukan dan lain-lain adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman itu. Mahkamah Syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman yang disebutkan sahaja, tidak boleh melampaui takat hukuman tersebut.

Pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 atau Akta 355, kalau berlaku pun, hanya akan mempertingkatkan bidangkuasa khususnya Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat daripada hukuman yang sedia ada sekarang, bukan bererti hendak membenarkan pelaksanaan hudud.

Menerusi pindaan akta berkenaan, hukuman zina hanya boleh dilaksanakan kepada penzina yang belum berkahwin sahaja, ialah dihukum sebat 100 kali sebatan syariah. Bagi penzina yang telah berkahwin, hukuman direjam menurut hukuman hudud masih tidak boleh dilaksanakan kerana hukuman rejam boleh membawa kepada kematian.

Bagi kesalahan qazaf, jika pindaan diluluskan, ia cuma pertambahan bilangan sebatan syariah daripada 6 kali yang sedia ada sekarang, kepada 80 kali sebatan. Begitu juga dengan kesalahan minum arak, cuma akan berlaku pertambahan bilangan sebatan kepada 40 kali sebatan.

Pindaan Akta 355 ini jika diluluskan hanya akan melibatkan kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam sahaja, iaitu orang Islam yang berzina, orang Islam yang minum arak. Hanya orang Islam sahaja yang akan dihukum sebat. Langsung tidak melibatkan bukan Islam. Kenapa mereka bukan Islam perlu cemas atau risau?

Orang Islam yang banyak berzina dan melahirkan anak luar nikah. Dari 1999 hingga 2003, daripada 70,430 kes, sebanyak 30,978 pendaftaran anak luar nikah membabitkan anak orang Islam. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi (12,836), diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439) dan Johor (8,920). Statistik Jabatan Pendaftaran Negara tahun 2007 mencatatkan sebanyak 16,100 pendaftaran anak luar nikah berbangsa Melayu, meningkat sebanyak 16,541 tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

Kesalahan mencuri, rogol, merompak yang terkandung di bawah Kanun Keseksaan yang terpakai kepada semua yang berada di bumi Malaysia ini tidak akan dipinda. Jadi, tiada siapa yang akan kena potong tangan, samada orang Islam atau bukan Islam. Maka, orang Cina, India dan seluruh bukan Islam tidak perlu gundah gulana.

Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

MMI kata ringkasnya kenapa perlu bimbang kalau kita tidak melakukan kesalahan-kesalahan yang disebut ?

No comments:

Post a Comment

Labels