Followers

Tuesday 10 April 2018

Manifesto Khas 8 Jaminan BN Untuk Orang Muda #JomBN


KUALA LUMPUR: Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin pada Selasa malam melancarkan manifesto golongan muda yang dikenali sebagai 'Jaminan Orang Muda' bersempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14).



Manifesto itu menggariskan lapan jaminan untuk memperhebat orang muda dalam tempoh lima tahun akan datang, melibatkan peluang pekerjaan dan latihan, meningkatkan pendapatan dan kemahiran, memperkasa ekonomi belia luar bandar, memudahkan usahawan muda mendapat bantuan dan meringankan beban keluarga muda.


Selain itu, Pemuda BN turut berjanji untuk menyediakan kehidupan berkualiti, memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Melalui jaminan peluang pekerjaan dan latihan, setiap warga muda akan dibantu untuk mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan selepas berdaftar dengan sistem Tawaran Orang Muda.

Bagi mencapai jaminan tersebut, Barisan Nasional (BN) akan memadankan orang muda dengan projek-projek infrastruktur mega negara, memberi insentif untuk usahawan sosial mencipta lebih banyak peluang pekerjaan selain melengkapi lebih lima juta pelajar sekolah dengan kemahiran digital Revolusi Industri 4.0 selain lebih sejuta orang muda akan mendapat peluang latihan dan kerjaya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Dalam meningkatkan pendapatan dan kemahiran, ia meliputi bantuan kewangan untuk pekerja muda belajar kemahiran baharu secara dalam talian atau membeli perisian komputer berkaitan kerja selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada paras 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara dan mewujudkan gelombang baharu usahawan desa.

Inisiatif lain termasuk memperluas ekonomi digital di desa, menyediakan bantuan perkahwinan bagi mengurangkan beban kewangan untuk berkahwin serta meningkatkan jumlah unit rumah mampu milik, rumah mampu sewa dan rumah transit.



Turut hadir pada pelancaran tersebut Timbalan Pengerusi Pemuda BN merangkap Naib Ketua Pemuda Umno, Senator Khairul Azwan Harun, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, Ketua Pemuda MIC Sivarraajh Chandran dan Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Ribuan anggota komponen BN memenuhi segenap ruang Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di sini sebagai simbolik kesiapsiagaan jentera sayap parti itu menyahut gendang perang PRU14.

Pada 7 April lepas Najib telah melancarkan Manifesto BN di Axiata Arena, Bukit Jalil yang mengandungi 14 teras dan 364 inisiatif dalam usaha memperhebat negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Labels