Followers

Sunday 13 November 2011

Al-Fatihah Buat Semua Mangsa Kemalangan Maut Di Slim River



Dua pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang di Slim River awal pagi Jumaat, dilindungi insurans.
Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu Abu Bakar Md Ali berkata pihak Jabatan Pelajaran akan menguruskan tuntutan insurans untuk keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.

"Pihak jabatan akan menguruskan berhubung dengan pampasan yang layak diperoleh oleh keluarga yang kematian anggota keluarga mereka dalam kemalangan tersebut, dan juga mereka yang tercedera dan sebagainya," katanya ketika dihubungi semasa berada di Hospital Teluk Intan untuk melawat pelajar dan guru yang dirawat di hospital itu.
Dalam insiden pukul 5 pagi itu, empat maut manakala lima cedera parah apabila sebuah treler membawa guni berisi pasir melanggar bahagian belakang bas rombongan sekolah yang berhenti di tepi jalan selepas terbabas.
Mereka yang maut ialah guru Siti Hajar Mohamad, 33, serta dua pelajar Khairul Anwar Azhan, 15, dan Maysarra Zaidi, 15, yang mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur. Turut maut ialah Ketua Wanita Umno cawangan Alor Teja, Basarah Saad, 45, yang berhenti di tempat kejadian kerana ingin membantu mengeluarkan pelajar dari bas yang terbalik itu.

Sementara itu, Zaidi Mohammad, 43, berkata Maysarra seorang anak yang baik dan merupakan pelajar pintar dalam kelasnya.
"Apakan daya Allah lebih menyayanginya dan saya reda dengan ketentuan itu, tetapi amat pedih rasa yang saya tanggung ini," katanya ketika ditemui di rumah di Taman Angsana pada Sabtu.

Zaidi, juruteknik di sebuah kilang di sini, berkata Maysarra rajin belajar dan dalam peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Allahyarham memperoleh 8A. Beliau berkata ketika kejadian, anaknya bersama lebih 60 pelajar lain yang selesai menduduki peperiksaan PMR dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands, Pahang untuk lawatan sambil belajar.

Katanya, jenazah Maysarra dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Padang Menora, Tasik Gelugor, Pulau Pinang selepas solat Isyak malam Sabtu.
Sementara itu, ibu Allahyarham, Mazlina Abdullah, 37, berkata sejak kecil lagi Maysarra bercita-cita menjadi seorang doktor.

Sdr Hasbul Hazani Daud Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor merangkap Ketua Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang turut berada di rumah jenazah Maysarra berkata beliau amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan mengharapkan agar pihak-pihak tertentu terutama pihak penganjur lawatan ini dapat menguruskan sebarang bentuk tuntutan insuran kepada keluarga yang terlibat.Ini bagi meringankan penderitaan yang ditanggung oleh pihak keluarga apatah lagi kematian ini melibatkan pelajar yang masih muda yang pastinya menjadi harapan setiap keluarga untuk melihat mereka berjaya.

Beliau yang bergegas ke Padang Menora sebaik dimaklumkan berita kemalangan ini turut meluangkan masa bertemu keluarga adik Maysarra dan sama-sama mengiringi jenazah ke Masjid Padang Menora bagi urusan pengkebumian.

Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman AMIN.

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels