Bayaran bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negara ini seperti yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012, akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing serta merta.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi pelajar di Sabah dan Sarawak, bayaran akan dibuat selewat-lewatnya minggu depan.
Bagaimanapun bantuan persekolahan itu akan disalurkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima, dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.
Sementara pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012, pembayaran bantuan persekolahan akan dibayar pada Januari tahun depan bagi memastikan pelajar sudah mendaftar di sekolah masing-masing bagi memudahkan pembayaran, kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.
“Bila (pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu) sudah masuk sekolah, baru bayar. Kalau bayar awal, takut ada perubahan sekolah,” katanya selepas menghadiri majlis “Menteri Pelajaran bersama warga pensyarah dan pelajar matrikulasi Kolej Matrikulasi Selangor” di kolej itu di sini hari ini.
Muhyiddin berkata pembayaran bantuan itu dibuat terus kepada akaun sekolah masing-masing melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), dan bagi sekolah yang tidak ada akaun BSN mereka bersetuju untuk buka akaun sementara.
Beliau berkata sekolah akan menguruskan pengagihan wang itu kepada ibu bapa atau pelajar.
Katanya lebih lima juta pelajar akan menerima bantuan itu, termasuk 5,061,574 pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan dan 313,373 pelajar sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri
Seramai 125,465 pelajar sekolah persendirian dan 32,235 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) akan menerima bantuan itu.
Muhyiddin berkata semua pelajar layak mendapat bantuan persekolahan RM100 seorang tanpa mengira latar belakang keluarga bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak-anak mereka masuk sekolah.
Laporan lanjut akan menyusul petang nanti.
MMI.
No comments:
Post a Comment