Followers

Saturday, 5 November 2011

TANAHAIRKU


MMI mahu berkongsi cerita sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara agar sesiapa di luar sana yang masih samar tentang sejarah ini dapat sama-sama berkongsi agar kita menjadi rakyat yang kenal erti perjuangan dan kemerdekaan.Mungkin ada yang hairan mengapa MMI utarakan perkara ini diwaktu umat Islam sedang bersedia untuk menyambut ibadah korban namun sedikit sebanyak ianya tetap menjadi sebahagian daripadanya kerana erti korban itu sendiri.


Ibadah korban juga adalah satu perjuangan sebenarnya selain daripada pengertian korban itu sendiri.Jika kita ikuti sejarah Nabi Ibrahim a.s yang menerima petanda daripada Allah swt untuk mengorbankan anaknya dan tanpa berfikir panjang Nabi Ibrahim a.s bertekad untuk melakukannya.Semuanya kerana patuh dan taat kepada perintah Allah swt.Masih ingatkah kita tatkala Nabi Ibrahim a.s bertanyakan pandangan anaknya Nabi Ismail a.s tentang petunjuk yang dialami oleh baginda,Nabi Ismail a.s telah bersetuju dengan hati yang rela,tanpa bantahan dan soalan untuk melaksanakan petunjuk tersebut.Inilah hebatnya perjuangan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s kerana sentiasa mengabdikan diri kepada Allah swt sehinggakan sanggup berkorban kerana yakin dan percaya kepada perjuangan disisi Allah swt.

Inilah erti pengorbanan sebenar yang perlu kita fahami kerana melihat kepada peristiwa Nabi Ismail a.s menerima arahan untuk dikorbankan sedangkan nyawa hanya dikurniakan sekali dalam kehidupan didunia.Hebat sekali taat dan patuh baginda terhadap arahan Allah swt.Begitu juga kepada para sahabat mereka meninggalkan keluarga,harta,pangkat,kampung halaman dan segala kesenangan dunia semata-mata untuk menegakkan Islam.Semuanya adalah pengorbanan yang besar dan erti pengorbanan inilah kita mesti fahami dan seterusnya mengamalkan dalam kehidupan kita.

Oleh itu segala ilmu dan kefahaman yang kita perolehi hendaklah diamalkan seterusnya kita dapat melakukan pengorbanan dengan erti yang sebenar dalam kehidupan kita.Moga pengorbanan kita selepas ini tidak terbatas hanya kepada binatang ternakan tetapi juga pada sudut yang lain.

Perjuangan menuntut Kemerdekaan juga sebenarnya merupakan satu pengorbanan yang cukup hebat jika difikirkan kerana ianya bukan saja merubah nasib bangsa dan rakyat Malaysia bahkan hasil daripada pengorbanan dan perjuangan pejuang-pejuang terdahulu daripada kita dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.Itulah signifikannya pengorbanan perjuangan menuntut kemerdekaan negara kerana hasilnya dinikmati oleh kita hari ini dan menjadi amanah serta tanggungjawab kita semua untuk terus mempertahankannya agar dapat diteruskan kepada generasi selepas kita.



Sejarah Kemerdekaan 

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.

Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.

Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya  dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.


Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol,  begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College.

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.

Ke Arah Mencapai Kemerdekaan

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.

Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada  Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.

Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun.

Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku  Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka   mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.


Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.
Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.

Bayangkanlah perjuangan yang begitu hebat dilakukan oleh pemimpin kita semata-mata untuk memastikan negara ini merdeka.Lupakah kita kepada pengorbanan ini dan lupakah kita pengorbanan anggota-anggota keselamatan mempertahankan tanahair dalam usaha membasmi ancaman komunis.Lupakah kita mereka-mereka yang telah gugur dimedan perjuangan ini? Adakah gugur mereka tidak membawa sedikit pun keringat untuk memastikan apa yang kita nikmati hari ini tercapai.Sebenarnya jasa mereka-mereka ini perlu disanjung dan dihormati.Bukannya dengan mengangkat komunis sebagai hero negara.

Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. 

Lupakah kita akan peristiwa ini ?


Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.

Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah. 

Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.




Bersatulah agar kita dapat pertahankan apa yang dinikmati hari hari ini.Sebagai generasi pewaris MMI mengajak semua untuk sama-sama kita wariskan sesuatu yang mampu memberikan kesejahteraan kepada anak-anak selepas kita.Masa tidak akan menunggu kita ayuh sama-sama berganding bahu menuju kejayaan.

1 Malaysia 

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels