UMNO Pulau Pinang sudah bersedia untuk menghadapi PRU. UMNO negeri itu juga yakin dapat ‘mengambil’ semula kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang pada PRU lalu. Sekurang-kurangnya, kerusi Parlimen Balik Pulau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung dan Sungai Bakap.
Mungkin angin perubahan yang berlaku akan turut membantu UMNO memenangi semula kerusi Penanti yang disandang PKR dan kerusi tunggal Pas di Permatang Pasir. Menjadi satu bonus jika UMNO mampu mengambil semula Permatang Pauh yang suatu masa dulu pernah dikuasainya. Pas juga pernah menguasai kerusi Permatang Pauh ini.
Pada PRU lalu, UMNO menang 11 daripada 15 kerusi yang ditandingi. UMNO juga parti tunggal dalam komponen Barisan Nasional (BN) yang menang kerusi sama ada di peringkat Parlimen atau DUN di negeri itu.
Di peringkat DUN, Gerakan yang diperuntukkan 13 kerusi, MCA (10) dan MIC (2) gagal menyumbang sebarang kerusi. Calon-calon berkenaan tewas kepada DAP dan PKR. Apakah kali ini rakan-rakan UMNO di Pulau Pinang itu sudah mendapat keyakinan baru untuk membantu BN mendapatkan semula Pulau Mutiara itu?
Pastinya masing-masing mempunyai keyakinan walaupun di atas kertas, ada yang berkata, laluannya teramat sukar. UMNO pula jangan terlalu yakin untuk menambah kerusi. Walaupun ada desas desus mengenai kemungkinan Anwar Ibrahim beralih kerusi tetapi jika ia berlaku adakah ia strategi PKR mahu menambah kerusi atau PKR sudah terasa Gelombang Biru di Permatang Pauh? Tugas mempertahankan kerusi dan merampas kerusi yang terlepas sama-sama penting.
Tersilap langkah, yang dikejar dapat tetapi yang dikendong pula keciciran. Lebih malang, jika yang dikejar tak dapat yang dikendong juga keciciran. Beberapa kerusi yang sudah ada ‘dalam tangan’ UMNO perlu dijaga.
Walaupun landskap politik sudah berubah hasil pelbagai usaha yang dilakukan tetapi keputusan PRU lalu perlu diselak dan disemak semula. Sekurang-kurangnya angka berkenaan dapat memberi peringatan awal supaya parti tidak leka. Daripada 11 kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU lalu, parti itu hanya menang selesa di lima kerusi sementara di enam kerusi boleh dikategorikan ‘menang tipis’.
Contohnya kerusi Sungai Dua di kawasan Parlimen Tasek Gelugor. BN hanya menang dengan majoriti 535 undi mengalahkan calon Pas, Salleh Man yang kini menjadi ADUN Permatang Pasir melalui satu pilihan raya kecil (PRK). Sungai Dua ketika di bawah Permatang Pauh pernah menjadi kubu Pas.
Begitu juga dengan Seberang Jaya apabila pada PRU lalu, Arif Shah Omar Shah menewaskan calon PKR dengan majoriti 533 undi sahaja berbanding 4,464 undi pada 2004. Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Abdul Jalil Abdul Majid berkata, mereka sudah bersedia memberi saingan hebat kepada calon lawan pada PRU Ke-13. Sambil mahu mempertahankan Seberang Jaya, dua lagi kerusi DUN dan Parlimen akan cuba diambil kembali.
Di Parlimen Nibong Tebal pula, kerusi DUN Sungai Acheh dimenangi UMNO tetapi majoritinya hanya 250 undi. Di kawasan yang sama, DUN Sungai Bakap yang dimenangi PKR pula meraih majoriti 2,067 undi mengatasi majoriti yang dimenangi BN pada PRU sebelumnya.
Lebih menarik untuk dilihat ialah kerusi di kawasan Parlimen Balik Pulau yang dimenangi calon PKR dengan majoriti 708 undi. Di sini, wujud peluang untuk UMNO kembali menguasai kerusi itu. Tetapi jangan pula sampai terjadi seperti kata orang Pulau Pinang iaitu Balik Pulau Bayan Lepas, sana terpelau sini terlepas!
Bagi tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen itu, majoriti undi yang dimenangi BN melalui calon UMNO adalah kecil berbanding DUN jirannya Batu Maung dalam kawasan Parlimen Bayan Baru yang dimenangi PKR dengan majoriti melebihi 3,000 undi. Di DUN Pulau Betong, BN mengalahkan calon PKR, Dr. Mansor Othman dengan 294 undi. Dr. Mansor kini adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I selepas memenangi PRK Penanti. Di Bayan Lepas, BN mengalahkan calon Pas dengan 399 undi dan di Telok Bahang mengalahkan calon PKR dengan 465 undi.
Melihat angka-angka ini, ia bukanlah satu kemenangan selesa kepada BN. Tetapi sekali lagi, orang politik akan berkata, itu 2008. Ya! Tidak dinafikan landskap politik sudah berubah selepas ‘tsunami’ 2008. Tetapi apakah selepas empat tahun, ‘kerosakan’ akibat ‘tsunami’ sudah diperbaiki? Apa pula peranan kerajaan DAP-PKR-Pas untuk turut sama menambah baik keadaan di pulau itu? Adakah Lim Guan Eng dan rakan-rakannya tidak melakukan apa-apa untuk memperkukuhkan kedudukan?
Di pihak BN, cukupkah sekadar ‘membongkar’ kepincangan yang berlaku dalam kerajaan DAP sekarang? Apa yang penting ialah memastikan jentera parti di semua peringkat dalam keadaan baik dan mampu bergerak lancar apabila ‘semboyan perang pilihan raya’ dibunyikan.
Tetapi sekali lagi jangan tersilap langkah. Nanti buruk padahnya. Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam ‘dunia politik’ tempatan di negeri itu. Apakah ‘cerita di sebalik cerita’ di Permatang Pauh, Tasek Gelugor, Nibong Tebal dan Balik Pulau. Apakah sudah tidak ada lagi ‘cakap-cakap belakang’ yang boleh ‘membunuh’ keupayaan calon yang akan ditonjolkan? Di samping kesepaduan pemimpin dan anggota parti, faktor calon juga amat penting.
Dan untuk sementara, BN perlu mengenepikan cakap-cakap bahawa sukar untuk BN merampas kembali Pulau Pinang. BN pernah mengharungi cabaran hebat ketika era Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang memperkenalkan Tanjong I, Tanjong II dan Tanjong III. Ketika itu, UMNO banyak membantu Gerakan, untuk mengekalkan kuasa politik di negeri itu. Tetapi apabila UMNO ‘hilang’ empat kerusi pada PRU lalu, Gerakan. MCA dan MIC pula gagal membantu, Pulau Pinang menjadi pangkalan utama DAP.
BN Pulau Pinang hanya mampu berkuasa kembali sekiranya parti komponen memberi ‘sumbangan’ secukupnya. Tetapi jangan kerana terlalu menumpukan perhatian untuk mendapatkan balik kerusi diduduki DAP-Pas-PKR, kerusi sendiri terlepas!
MMI.
No comments:
Post a Comment