Followers

Saturday, 21 April 2012

PM Di Pulau Pinang


Alhamdulillah MMI berkesempatan untuk menulis kali ini,bukan apa lagi dekat dengan pilihan raya makin banyak kerja yang perlu di buat hingga membataskan masa dan ruang untuk menulis.Hebat sekali pukulan bahang pilihan raya kali ini bahkan masa untuk makan dan minum pun kadang-kadang tak menentu.Itu baru MMI insan kerdil yang hanya sedikit sumbangannya kepada parti jika nak dikira dengan segala gerak kerja daripada seluruh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional hari ini yang sentiasa bekerja untuk bertemu dengan rakyat.

Melihat kepada gerak kerja YAB PM dan jenteranya,MMI cukup kagum malah boleh dikatakan tiada langsung hari minggu seperti mana yang dinikmati oleh rakyat seluruhnya.Besok Ahad 22 April 2012 YAB PM akan hadir ke Pulau Pinang untuk bersama-sama dengan rakyat serta seluruh jentera UMNO dan Barisan Nasional dalam beberapa program yang telah disusun khusus untuk rakyat di Pulau Pinang.

Di beritakan YAB PM, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan 364 pusat daerah mengundi (PDM) di seluruh Pulau Pinang sempena lawatan kerjanya ke negeri ini pada esok hari (Ahad).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata pelancaran itu akan diadakan pada majlis perjumpaan bersama pemimpin persekutuan tempatan Barisan Nasional (BN) di Dewan Bukit Jawi Golf Resort, Nibong tebal.

"Pada majlis itu Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO akan menyampaikan amanat penting kepada pemimpin bagi memantapkan gerak kerja jentera di peringkat akar umbi," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, 5,000 pemimpin tempatan dijangka hadir pada majlis itu. 

Selain itu,beliau akan mengadakan sesi dialog tertutup dengan badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Cina dan India secara berasingan anjuran Kelab Penyokong 1Malaysia (KP1M).

"Kira-kira 3,000 ahli daripada pelbagai pertubuhan Cina dijangka hadir. Dialog itu akan membolehkan Perdana Menteri memaklumkan kepada kita mengenai perkembangan terkini rancangan transformasi kerajaan.

"Pada masa sama, masyarakat itu secara langsung boleh menyuarakan pandangan mereka," kata pengerusi jawatankuasa penganjur Lim Boo Chang.

Menurutnya kebanyakan NGO Cina mahu kerajaan persekutuan membantu Pulau Pinang khususnya mengenai isu sosio ekonomi seperti menangani masalah kesesakan lalu lintas yang mana mereka berpendapat menjangkaui kemampuan kerajaan negeri.

"Sudah pasti kerajaan persekutuan mempunyai peranan yang perlu dimainkan. Kebanyakan masa, kami hanya mendengar perangkaan ekonomi yang digembar-gemburkan oleh kerajaan negeri tetapi pada realitinya, rakyat tidak merasai hasilnya.

"Kesesakan lalu lintas bertambah buruk dan rakyat tidak merasai manfaat daripada hasil pelaburan yang diterima oleh negeri dan juga ekonomi," kata Lim.

Beberapa pertubuhan Cina yang terkenal di Pulau Pinang sedang membantu KP1M bagi mengatur program sempena lawatan sehari Najib ke negeri itu, antaranya Dewan Perhimpunan Cina, Persatuan Wushu, Persatuan Tarian Singa dan Naga dan Persatuan Peranakan Cina Pulau Pinang.

Sejak setahun lalu, Najib telah beberapa kali melakukan lawatan ke negeri itu. Pada September lepas, beliau membantu mengumpul RM15 juta bagi 15 buah sekolah Cina apabila berbasikal lebih tujuh kilometer bersama 5,000 murid dan menyampaikan RM1 juta masing-masing kepada setiap sekolah itu di bawah program Kayuhan Amal 1Malaysia untuk Pendidikan.

Najib, yang juga Pengerusi BN, juga menghadiri rumah terbuka Aidilfitri di Permatang Pauh tahun lepas dan rumah terbuka Tahun Baru Cina 2012 di Tanjong Marina.

Lawatan Najib kali ini boleh disifatkan sebagai 'membina semula keyakinan' atau 'menggerakkan askarnya' di kalangan parti komponen BN negeri tetapi bagi penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian usaha itu masih merupakan tugas berat bagi BN merampas semula negeri itu.

Andaiannya berdasarkan hakikat bahawa daripada 11 kerusi yang dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum 2008, hanya lima dimenangi dengan majoriti lebih 1,000 undi.

"Sekiranya berbanding 29 kerusi yang dimenangi oleh PKR-DAP-PAS, hanya sebuah kerusi (Batu Uban-PKR) mencatatkan majoriti bawah 1,000 undi. Adalah baik sekiranya BN boleh mengekalkan kesemua 11 kerusi itu dan berusaha merampas lebih daripada itu termasuk kerusi Batu Uban," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi. Bagi BN merampas semula negeri itu, ia perlu mempertahankan kesemua 11 kerusi yang dimenanginya pada 2008 dan menang 10 lagi kerusi.

Ahli strategi BN percaya mereka mempunyai peluang untuk memenangi semula sehingga 15 kerusi di Pulau Pinang dan kemungkinan memenangi lebih banyak kerusi dalam DUN negeri itu.

UMNO yakin dapat mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi di Pulau Pinang pada 2008 manakala Gerakan dan MIC turut yakin untuk memenangi semula beberapa kerusi yang mereka kalah.

Pada 2008, UMNO hanya kalah tiga kerusi tetapi Gerakan kalah kesemua 13 kerusi yang ditandingi oleh parti itu, MCA kalah sembilan kerusi manakala MIC dua.

Baru-baru ini pemimpin DAP mendabik dada dengan menyatakan berdasarkan tinjauan tahun lepas, 90 peratus pengundi Cina dan India di negeri itu menyokong pakatan pembangkang dan oleh itu mereka tidak terlalu bimbang.

Sivamurugan berkata BN perlu membentuk barisan exco bayangan di Pulau Pinang bagi merampas semula negeri itu dengan timbul ura-ura mengenai pengerusi BN negeri yang baru.

Beberapa pemimpin BN menjangka pengumuman mengenai kepimpinan BN negeri akan dilakukan pada Ahad ini.

Buat masa ini, BN sedang menumpukan kepada beberapa isu khususnya salah guna kuasa dalam urusan penjualan tanah di Bayan Mutiara kepada pemaju hartanah dan masalah parkir di Air Itam.

Walaupun peluang BN merampas semula kuasa di Pulau Pinang nampak agak sukar ketika ini namun Najib berharap untuk meneruskan persemukaan dengan penduduk Pulau Pinang dan menjadikan kehadirannya dirasai di negeri itu.

Itulah kehebatan Pulau Pinang sebuah negeri yang hari ini ditadbir oleh Rejim DAP yang perlu di tawan semula oleh Barisan Nasional.Kedua-dua belah pihak menyatakan bahawa mereka mampu memenangi pilihan raya yang bakal diadakan namun yang pastinya keputusan terletak di tangan seluruh rakyat Pulau Pinang untuk menentukan siapa yang lebih layak.

Kepada seluruh rakyat Pulau Pinang bertindaklah secara rasional dalam memilih sebuah kerajaan negeri yang mampu bekerja untuk rakyat.

Jumpa di sana esok..

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels