Followers

Wednesday, 4 July 2012

Ucapan Dasar Presiden GPMS Sempena PAT Kali Ke 58 Di UMT Terengganu


Kepada ahli GPMS diseluruh negara yang tidak dapat bersama-sama dalam PAT GPMS Kali Ke 58 di UMT Terengganu,MMI bawakan khas kepada anda ucapan dasar Presiden GPMS oleh Sdr Jais Abdul Karim supaya sama-sama dapat menghayati intipati ucapan dan hala tuju GPMS bagi penggal 2012/2015.

1. Bismillahhirrahmanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1.1.1 Yang dihormati, saudara Pengerusi Tetap GPMS, barisan kekanda, mantan Presiden GPMS merangkap Penasihat GPMS dan ahli-ahli Panel Pemikir GPMS. Sdr. Rosdi Amir, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, sahabat Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, para Pengerusi GPMS Negeri, Yang Dipertua GPMS cawangan, para perwakilan, wakil media, kepimpinan GPMS seluruh negara serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

1.1.2 Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya dapatlah kita bersama berkumpul pada hari ini bagi menjayakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) GPMS buat kali ke-58, kali ketiga untuk kepimpinan muda GPMS dari seluruh tanah air yang berumur di bawah 40 tahun berdasarkan ketetapan Akta 668 - Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007. 

1.1.3 Saya mewakili saf kepimpinan GPMS mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan jutaan terima kasih khas kepada YB Dato' Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di atas kesudian beliau hadir bagi merasmikan Persidangan Agung Tahunan kali ke-58 ini. Kehadiran beliau pada hari ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan khas kepada perjuangan GPMS yang kini berusia 64 tahun. Terima kasih juga kepada para jemputan di atas kesudian menghadiri Persidangan Agung Tahunan GPMS ini.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga ditujukan kepada Tan Sri Abu Zahar bin Dato' Nika Ujang, Yang Dipertua Dewan Negara kerana sudi meluangkan masa untuk hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup pada penghujung persidangan agung ini.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pengerusi Negeri Terengganu, Ahmad Izani bin Abd. Ghani dan seluruh jawatankuasa PAT yang bertungkus lumus menjayakan persidangan agung kali ini. 

Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi

1.2 Kejayaan yang dicapai pada tahun ini dan analisa ringkas.

1.2.1 Sejak mengambil alih kepimpinan GPMS pada November 2009 yang lepas, kita telah mendapat sokongan jitu dari pihak kerajaan dan pelbagai institusi swasta bagi melaksanakan hampir 500 program yang memberi manfaat kepada hampir 2 juta pelajar di seluruh negara. Segala laporan aktiviti ini didokumentasikan di dalam Majalah SUARA GPMS 2010 dan 2011. Laporan 2012 akan menyusul pada penghujung tahun ini. Majalah ini telah diedarkan kepada 10,000 buah sekolah dan institusi di seluruh negara pada setiap tahun sebagai bukti perjuangan ini benar-benar dilaksanakan. Saya berhasrat agar "Gear tiga" perjuangan yang kita pacu pada sepanjang 3 tahun lepas, ditingkatkan dengan lebih mampan pada tahun 2012 ini, sebelum kita bergerak lebih pantas ke "gear empat" pada tahun 2013 akan datang.

1.2.2 Ketua Penasihat GPMS, - YAB Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Mohd Yassin, pada awal tahun 2012 ini, bermurah hati memberi geran khas di atas keyakinan beliau terhadap kemampuan kita. Geran tersebut telah dibelanjakan dengan sebaik mungkin dan dimanfaatkan khusus untuk pembangunan GPMS dan program motivasi yang memfokuskan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama. Saya mewakili kepimpinan GPMS seluruh negara amat menghargai sokongan dan bantuan daripada YAB Tan Sri tempohari.  

1.2.3 Ahli-ahli Majlis Tertinggi GPMS juga telah memperbaiki prestasi pada tahun lepas dengan lebih fokus kepada bidang dan kecenderungan masing-masing bagi melaksanakan amanah tugas tersendiri. Kita telah membuat beberapa rombakan kecil bagi memantapkan saf kepimpinan GPMS. "Pemimpin datang dan pergi; GPMS perlu kekal abadi". Terima kasih kepada semua yang memahami.

1.2.4 Program anjuran GPMS di peringkat kebangsaan yang besar sepanjang separuh 2012 yang perlu disebut serta diberi penghargaan khas dalam ucapan ini adalah seperti berikut:

Bil
Program
Pengarah
1
Seminar Pemikiran Perdana Menteri sempena PAT ke-57 di UIA, Gombak. 10 Disember 2011
Sdr. Zambri Md Isa (Pengarah- SUA)
2
(Retreat) Transformasi Staf Ibu pejabat GPMS Kebangsaan di Krabi, Thailand. 19-25 Disember 2011
Sdr. Firdaus Jamaludin dan semua staf  ibu pejabat.
3
Program Perkaderan GPMS yang berterusan di Institut GPMS Perak pada setiap minggu.
Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri (Naib Presiden 1)
4
Menyambut kepulangan Ayahanda PM dan Bonda di KLIA dan menyampaikan Kad Ucapan Tahun Baharu daripada seluruh ahli GPMS kepada mereka. 2 Januari 2012
Majoriti kepimpinan GPMS Kebangsaan hadir sama.
5
Program GPMS bersama PERAPI (PRU13) di Glory Beach Resort, P.D. 27-19 Januari 2012.
Ekma Faroza (PKP)
6
Program SEKATA bersama Kementerian Pembangunan Wanita (2 siri). 3 Feb 2012.
Puan Rafidah Mohd Ariffin (N.Presiden (W) dan Nor Ain Azmee.(Pegawai Program)
7
Skuad Jelajah Motivasi 1Malaysia  Kepimpinan yang dilancarkan oleh YB Dato' Seri Rais
Sdr. Azham Abara Ahmad (AMT) dan seluruh krew

Yatim (Menteri KPKK)- 12 Februari 2012.
yang terlibat
8
Dialog Isu Semasa Pimpinan GPMS bersama Dato' Dr. Hasan Ali di Pusat Maritim Putrajaya. 12 Februari 2012.
Majoriti kepimpinan GPMS Kebangsaan hadir sama.
9
Program Lawatan Ilmiah ke Medan dan Kursus Pengurusan Organisasi/ Program GPMS.
1-4 Mac 2012. 40 peserta hadir.
Puan Julaila Samsudin (Ketua PKP) dan barisan AJKnya.
10
Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa GPMS di Institut Agama Negeri - Medan dan Universiti Sumatera Utara. 4 Mac 2012. 100 peserta hadir.
Sdr. Hishamudin Abdul Rahman. (Naib Presiden 3)
11
WACANA 153 - dirasmikan oleh YB Dato' Sri Mohd Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi di UKM. 15 Mac 2012.
Sdr. Rosdi Amir (Timbalan Presiden) dan pasukannya.
12
Program Transformasi Minda Siswa di dua buah IPT - dilancarkan oleh Ketua Pengarah ICU. Mac 2012.
Sdr. Alif Anas Mohd Noor (MT) dan pasukannya.
13
Skuad Jelajah Motivasi 1 Malaysia - 20 Amalan Hebat Pelajar 1 Malaysia -dilancarkan oleh YB Dato' Sri Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan 2 di Institut GPMS, Perak. 1 April 2012
Sdr. Redzuan Razali (PKP) dan seluruh krew yang terlibat.
14
Perhimpunan Pemimpin Muda GPMS (PEMUDA) - dirasmikan oleh YB Dato' Sri Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan 2 di Institut GPMS, Perak. 30 Mac- 1 April 2012
Sdr. Muhd Fazreen Ismadi Fauzi (Ketua Sukarelawan) dan AJK yang terlibat.
15
Pengeditan buku "GPMS Warisan Perjuangan Bangsa" untuk Edisi ke-2. Terbit - April 2012
Pn. Julaila Samsudin
(Ketua PKP)
16
Lawatan Ilmiah ke Jepun sempena SIGA 2012. 22-30 April 2012.
Presiden dan 8 orang pemimpin (pembiayaan sendiri 100%.)
17
Pelbagai pergerakan dan program bagi menggerakkan Yayasan GPMS. Jan-Jun 2012.
Sdr. Rosdi Amir (Timbalan Presiden) dan pasukannya.
18
Konvensyen Belia Negara sempena Hari Belia Negara di Putrajaya. 24 Mei 2012.
Sdr. Ezarudin Abdul Rahman (Naib Presiden 2)
19
Himpunan Guru Muda sempena Hari Belia Negara di Putrajaya. 25-26 Mei 2012
Sdr. Hishamudin Abdul Rahman (Naib Presiden 3)
20
Pelbagai program latihan dan kepimpinan di Kem Singa GPMS di Janda Baik. Jan- Jun 2012
Khairul Adha Madzlan (MT) dan pasukannya.
21
Mewakili GPMS ke pelbagai program TV, Radio dan pelbagai Forum bersama Parti Politik. - Jan- Jun 2012
Sdr. Ezarudin Abdul Rahman
(Naib Presiden 3)
22
Pusat Aduan dan Khidmat Nasihat Pendidikan Zon Utara dan Zon Selatan. Jan- Jun 2012
Sdr. Wan Norazman Ariffin. Sdr. Meor Hassan ( PKP)



23
Program Perkaderan Siswa GPMS bersama BTN - 2 siri. 16 Jan- UIA (di Kuala Lipis) dan 12 Jun 2012- Pelajar IPG (di Langkawi).
Sdr. Hishamudin (Naib Presiden 3) dan Sdr. Haidhir Anuar (MT)

24
1 juta brosur Pesanan Motivasi GPMS dan Tawaran Skim Tuisyen 'Online' GPMS. Disember 2011 - Mac 2012.
Sdr. Mohd Khuzairi Mahadi (PKP)
25
Majalah SUARA GPMS 2010 dan 2011. Kini dalam proses pembikinan majalah untuk terbitan 2012. April- Jun 2012.
Pn. Julaila Samsudin (Editor) dan Sdr. Huzaidilah Abdul Ghani (Pereka bentuk)
26
Pembaikpulih dan pembangunan banglo GPMS. No. 1, Jalan Sultan Salahuddin. Mac- Mei 2012.
Sdr. Shahrizal Man Harun (MT).
27
'Retreat' Khas- Blue Ocean Strategi - RK-BOS di Pulau Kapas. 15-17 Jun 2012. Di hadiri 95% pemimpin kanan GPMS.
Sdr. Ezarudin Abdul Rahman (Naib Presiden 2).
Jumlah 27 program (di atas) untuk separuh tahun ini adalah meningkat berbanding 24 program yang dilaporkan pada sepanjang tahun 2011 yang lalu. Tahniah kepada semua yang bertungkus lumus menjayakan perjuangan ini.

1.2.5 Dua orang pemimpin kanan GPMS, berjaya terpilih sebagai Tokoh Belia Negeri (Anugerah Perdana Tokoh Belia Negara) semasa Sambutan Hari Belia Negara di peringkat negeri masing-masing baru-baru ini. Mereka adalah;

1. Jais Abdul Karim (Presiden GPMS)
        - Negeri Pulau Pinang
2. Md Zain Abu (AMT GPMS merangkap Pengerusi GPMS N. Sembilan)
        - Negeri Sembilan

1.2.6 Ucapan tahniah juga kita ucapkan kepada empat orang Penasihat / Ahli Panel Pemikir GPMS dan mantan kepimpinan GPMS yang dilantik memegang jawatan penting:

1. YBhg. Dato' Suhaimi Ibrahim - Penasihat GPMS - Bekas Presiden GPMS- Setiausaha Politik      YAB Perdana Menteri yang bertanggungjawab di Kementerian Hal Ehwal Wanita Wanita dan Pembangunan Masyarakat.

2. YBhg. Dato' Sharifudin Zainuddin - Ahli Panel Pemikir GPMS - Bekas Naib Presiden GPMS awal 2000 - Ahli Lembaga Pengarah Institut Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM).

3. Sdr. Zulhijah Sokarno - Bekas Naib Presiden GPMS awal 2000 - Penyelaras utama Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012. 

4. Sdr. Khalek Awang - Ahli Panel Pemikir GPMS - Ketua Pegawai Eksekutif ‘Global Movement Of Moderate Foundation'.

1.2.7 Sukacita diumumkan bahawa hasil dari Deklarasi PAT 2010 iaitu 100 Tuntutan Penambahbaikan Pendidikan Melayu, maka Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengadakan Dialog Nasional Pendidikan Negara yang menjelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan pelbagai pandangan berkenaan transformasi besar-besaran pendidikan negara yang bakal dilaksanakan. Saya, mewakili GPMS menghadiri program ini pada 9 Jun yang lepas di SIRIM, Shah Alam dan menyatakan pendirian tegas GPMS menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau pengajaran dwi- bahasa di sekolah. Kita menyatakan bahawa dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Saya juga dengan secara rasminya menyerahkan sekali lagi deklarasi tersebut bagi pertimbangan dan pelaksanaan segera.

Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi

1.3. Beberapa kunjungan hormat dapat dilaksanakan di dalam kesibukan kita menganjurkan pelbagai program terutamanya dalam usaha memastikan semua usul PAT yang lepas dapat diperjuang dan dilaksanakan. Berikut adalah ringkasan informasi pertemuan yang telah diadakan:

1) Ketua Pegawai Operasi PTPTN (27 Disember 2011):
i. Isu pembayaran kaedah UJRAH yang merugikan peminjam.
ii. Lontaran pelbagai cadangan dan isu.
iii. Kerjasama program Skuad Jelajah Motivasi GPMS-PTPTN.

2) Jawatankuasa Mengkaji Penambahbaikan Mata Pelajaran Sejarah, Kementerian Pelajaran Malaysia (27 Disember 2011):
GPMS telah memberi hujah-hujah yang menyokong mata pelajaran Sejarah diwajibkan dan pelbagai cadangan lain yang berkaitan.

3) Setiausaha Politik Perdana Menteri, YBhg. Dato' Jailani Ngah (27 Disember 2011):
i. Menyampaikan Memorandum Menyokong Pemansuhan AUKU kepada Perdana Menteri.
ii. Melaporkan pelbagai usul perwakilan dalam PAT GPMS.
iii. Menyampaikan Majalah SUARA GPMS 2011 kepada Perdana Menteri
iv. Melaporkan hal ehwal yang berkaitan tentang status tanah banglo GPMS.

4) Mesyuarat Majlis Perundingan Islam (5 Januari 2012). 
i. Mengucapkan terima kasih di atas bantuan Dato' Seri Jamil Khir dalam menyelesaikan isu pinjaman pelajar di Mesir dan beberapa cadangan lain yang berkaitan.
ii. Mencadangkan agar Majlis Agama Islam setiap negeri membantu PTPTN dalam menyediakan Dana Sara Hidup kepada setiap pelajar Melayu dengan segera dan secara percuma.
iii. Menyatakan kesediaan GPMS untuk bekerjasama melaksanakan pelbagai program pendidikan dengan Majlis Agama Islam di setiap negeri.

5) Dato' Husamudin Yaacob - Sinar Harian (17 Januari 2012).
i. Perbincangan pelbagai kerjasama.
ii. Perlantikan sebagai Penasihat GPMS Kelantan.

6) Y.Bhg. Tan Sri Ibrahim Abu Shah (3 Februari 2012)
Perbincangan tentang agenda Melayu. Beliau juga telah menyampaikan ceramah khas tentang Survival Pelajar Melayu' kepada 500 pelajar Melayu di SMV Kajang.

7) YAB Perdana Menteri bersama NGO di UNITEN (15 Februari 2012)
GPMS mewakili 20 NGO menyampaikan memorandum sokongan dan terima kasih berkenaan BRIM dan undang-undang seksualiti.

8) Dato' Suhaimi Ibrahim- Penasihat GPMS - Pelbagai isu semasa dan peruntukan khas untuk GPMS melalui Kementerian Wanita.

9) YBhg. Dato' Prof Ir. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor UiTM - Ketua Ahli Panel Pemikir GPMS (12 April 2012) - Perbincangan pelbagai isu pendidikan dan nasihat tentang perjuangan GPMS.

1.4.1 Penghargaan khusus ingin kita tujukan kepada Sdr. Rosdi Amir yang semakin 'sihat' dan kini berkhidmat secara sepenuh masa di Ibu Pejabat GPMS sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan GPMS sejak Januari 2012. Semangat perjuangan beliau jelas bertambah jitu dan perlu diberi sokongan dan kerjasama daripada semua pimpinan GPMS seluruh negara. Terima kasih juga kepada kedua-dua Naib Presiden 2 dan 3 serta beberapa orang kepimpinan negeri dan cawangan yang sudi membantu memberi idea bagi menghasilkan ucapan dasar ini. 

1.4.2 Terdapat pertukaran Pengerusi GPMS di peringkat negeri di empat buah negeri ekoran terpaksa 'dipencenkan' di atas tuntutan Akta Belia. Mewakili saf kepimpinan GPMS, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas khidmat dan jasa kalian. Terima Kasih Kak Nurul Huda Ghazali (Pulau Pinang), Terima kasih kanda Dato' Dr. Hazzaini Hashim (Perlis) dan terima kasih juga kepada Cikgu Md. Zin Abu (Negeri Sembilan). Penghargaan khas kepada Puan Rafidah Ariffin yang secara sukarela melepaskan jawatan Pengerusi GPMS Kelantan selepas berkhidmat lebih dari 5 tahun di atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Tempoh peralihan ini pasti sukar. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada segala daya usaha mereka ini dan berharap perjuangan GPMS di setiap negeri akan bertambah hebat pada tahun hadapan.

1.4.3 Kepimpinan pada peringkat cawangan juga mula bertambah aktif dan muncul beberapa pemimpin baharu yang aktif dan berkarisma. Para pemimpin pada peringkat cawangan ini mempunyai peranan yang semakin penting seiring dengan perubahan zaman. Mereka perlu memberi fokus kepada isu setempat dan perlu melaksanakan program sebagaimana panduan yang disediakan oleh GPMS Kebangsaan. Kempen penambahan ahli pada peringkat cawangan penting dalam membentuk kekuatan tulen dan melahirkan kepimpinan pelapis yang lebih ramai. Bagi membolehkan GPMS pada peringkat negeri dan cawangan diperkasakan, GPMS Kebangsaan telah memberi bantuan yang sewajarnya kepada mereka yang membuat permohonan kewangan ke ibu pejabat. Malah ‘kit promosi' yang kita janjikan tempohari telah banyak diedarkan dan mendapat tindakan yang positif dari GPMS negeri dan cawangan yang sememangnya aktif. 

Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi

2. PENDIRIAN GPMS DALAM PELBAGAI ISU TERUTAMANYA ISU PENDIDIKAN DAN KEBELIAAN SEPANJANG 2012.

2.1 Berikut adalah pendirian GPMS dalam pelbagai isu terutamanya berkenaan isu pendidikan sepanjang 2012. Kesemua pendirian ini dinyatakan dalam pelbagai media massa dan dilaksana berdasarkan perbincangan dalam kalangan kepimpinan kanan GPMS.

i. Tubuh Kementerian Khusus untuk Belia
(Petikan Utusan Malaysia- 25 Mei 2012) - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta kerajaan memberi perhatian terhadap cadangan beberapa pihak agar sebuah kementerian khusus untuk belia diwujudkan. Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, langkah itu dilihat dapat membantu usaha membentuk modal insan berkualiti dalam kalangan golongan muda. "Perkara itu telah lama dibangkitkan tetapi sehingga kini ia masih tidak mendapat perhatian serius. Kita sedar Kementerian Belia dan Sukan adalah kementerian yang bertanggungjawab untuk menyelia para belia hari ini tetapi GPMS tidak nampak sejauh mana gabungan antara belia dan sukan itu mampu memberi kesan memberangsangkan sama ada dari segi aspek nasionalisme, pekerjaan mahupun nilai agama dalam kalangan belia,''. Program-program melibatkan para belia akan lebih tersusun di bawah satu bumbung berbanding ketika ini kerana banyak aktiviti mereka dipisahkan di bawah kementerian tertentu. Sebagai contoh, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan. "Pendekatan tersebut amat tidak bersesuaian dalam pembangunan kaum belia, selain mereka tidak hanya melukut di tepi gantang apabila berada di bawah kementerian-kementerian lain,'' 

ii. GPMS desak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tukar keputusan Anugerah Tokoh Belia Negara 2012 - 27 Mei

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) melalui sidang Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia mendesak KBS untuk menukar keputusan yang telah mereka umumkan melalui media pada 25 Mei yang lepas. Di atas pelbagai hujah yang berasas dikemukakan oleh pihak GPMS dan sokongan jitu dari beberapa pertubuhan belia lain, KBS terpaksa akur dan menukar keputusan tersebut. 

iii. Siasat Segera Sekolah Politik
(Petikan Utusan Malaysia- 1 Mei 2012) - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) terkejut dengan kewujudan sekolah politik yang melatih pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) cara-cara berdemonstrasi menentang kerajaan dan menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi mengambil langkah awal mencegah hal ini daripada terus beroperasi. GPMS berpandangan bahawa sekolah berkenaan yang ditubuhkan sejak kira-kira empat tahun lalu adalah pelan jangka panjang dan telah dirancang teliti oleh pihak terbabit dalam usaha mewujudkan suasana huru-hara di negara ini. "Kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana ia membabitkan pelajar IPT, usaha segera perlu diambil untuk mencegah sekolah tersebut daripada terus beroperasi di negara ini." "Kita tidak mahu pelajar IPT menjadi bahan atau modal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk kepentingan politik mereka. Kita tidak mahu mahasiswa menjadi ejen propaganda politik pihak anti kerajaan," tegas Presidennya, Sdr. Jais Abdul Karim.

iv. Bursary Bukti Kerajaan Tunaikan Janji
(Petikan Utusan Malaysia- 11 April 2012) - GPMS menyokong penuh usaha kerajaan menyediakan kemudahan penajaan kewangan Bursary kepada pelajar mendapat 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dan melihatnya sebagai  komitmen bagi memastikan negara memiliki modal insan yang cemerlang. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang penajaan kewangan Bursary yang akan diberikan secara automatik kepada lepasan pelajar SPM tahun lalu yang mendapat keputusan 9A+ tanpa mengira etnik, kaum, keturunan serta latar belakang amatlah bertepatan dengan masanya. Bagi tujuan itu, seramai 1,609 pelajar lepasan SPM 2011 telah dikenal pasti layak mendapat penajaan Bursary iaitu 1,020 yang mendapat keputusan sembilan A+, 492 pelajar (10A+), 90 pelajar (11A+) dan tujuh pelajar (12A+). GPMS berpendapat, melalui kemudahan tersebut, golongan pelajar terutama kurang berkemampuan lebih bersemangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. "Kemudahan itu wajar diteruskan bagi membolehkan lebih ramai pelajar yang berbakat dan cemerlang dalam pelajaran berpeluang menikmati kemudahan tersebut" .

v. Sekolah Perlu Kuasa Autonomi
(Petikan Utusan Malaysia- 16 Mac 2012) - GPMS menyokong cadangan agar pihak pengurusan sekolah perlu diberi kuasa autonomi bagi mentadbir dan mengurus sekolah masing-masing ke arah melahirkan pelajar yang berkualiti. 'Semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran perlu diberi kuasa autonomi untuk merancang sendiri pengurusan supaya institusi tersebut boleh bergerak ke hadapan dalam menentukan kejayaan pelajar. GPMS mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelancaran dialog pendidikan kebangsaan bagi membolehkan rakyat melibatkan diri dalam usaha merangka pelan strategik tersebut sebelum ia dimuktamadkan pada akhir tahun ini. GPMS berpendapat bahawa kerajaan ketika ini berada pada waktu terbaik untuk mentransformasi sistem pendidikan negara secara total terutama membabitkan masa depan pelajar Melayu. GPMS juga telah menghantar memorandum yang mengandungi 100 tuntutan ke arah penambahbaikan pendidikan Melayu kepada Menteri Pelajaran tahun lalu merangkumi transformasi pendidikan di semua peringkat selain bertujuan memperkasa mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Inggeris. ''Kerana itu, dialog pendidikan kebangsaan ini adalah platform terbaik kepada kami untuk memanjangkan cadangan itu kepada kerajaan,''.

vi. GPMS Kecam Parti Politik Peralat Mahasiswa
(Petikan Utusan Malaysia- 4 Januari 2012) - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini mengecam parti politik yang cuba menggunakan golongan mahasiswa bagi mencetuskan huru hara dalam negara. Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, golongan itu juga perlu sedar bahawa terdapat parti politik yang mempergunakan mahasiswa dalam menyampaikan agenda tersembunyi mereka. "Mahasiswa merupakan bakal pemimpin yang turut akan memimpin anak bangsa, mereka perlu sentiasa berfikiran matang dan lebih bijak menangani sebarang isu yang mampu menjadikan mereka terjebak dalam hal-hal yang boleh menjahanamkan masa depan mereka, contohnya politik," katanya ketika dihubungi Bernama. Katanya, kerajaan sentiasa memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pendapat dan sebarang ketidakpuasan hati terhadap sebarang isu atau kritikan. "Tetapi ianya perlu dibuat dalam kaedah yang betul dan bukan dengan cara berhimpun dan mengganggu ketenteraman awam," katanya. - BERNAMA

vii. Memorandum kepada YAB Perdana Menteri Malaysia - Menyokong BR1M dan Undang-undang seksualiti Malaysia perlu dipertahankan
GPMS juga diberi tanggungjawab untuk membuat deraf memorandum pelbagai NGO Islam bagi menyatakan sokongan terhadap pemberian bantuan RM 500 kepada rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah yang telah diberikan kerajaan pada awal tahun ini. Kita juga telah diamanah untuk menyampaikan memorandum tersebut kepada YAB PM yang turut menyatakan pandangan bahawa undang-undang seksualiti yang ada perlulah dipertahankan ekoran dari suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa perundangan ini lapok dan perlu dipinda supaya "juak-juak LGBT" juga di beri hak yang sama.

viii. Himpunan Anti LGBT 
GPMS menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran ‘Himpunan Anti LGBT' yang diadakan di Stadium UPM, Serdang pada 21/4/2012. Tujuan penganjuran yang memfokus untuk menjaga dan menyelamatkan belia negara dari dipengaruhi oleh budaya seks songsang. GPMS mendedahkan dan menyatakan pandangan bahawa isu ini merupakan agenda Yahudi dalam usaha menghancurkan orang Melayu dan Malaysia. GPMS terlibat sebagai salah satu persatuan yang menjadi penganjur. 

ix.   "Belia Berexperimen semasa PRU!" BERNAMA RADIO 24 - 4 Jun 2012. 
GPMS dijemput sebagai tetamu utama rancangan ini. Saya menyatakan pandangan dengan tegas bahawa belia di negara ini boleh berfikir dan tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan negara. Belia memang seorang yang beridealisma tinggi dan sukakan sesuatu yang baharu. Teguran atau perasaan tidak puas hati yang dilaungkan oleh sesetengah belia bukanlah beerti hendak menghancurkan negara tetapi ianya adalah luahan perasaan yang memerlukan perhatian daripada semua pihak.

x.  Isu Cadangan Pemansuhan Pinjaman Sara Hidup oleh Pengerusi
     PTPTN.- UNISEL- Jun 2012
GPMS terkejut tentang kewujudan isu ini. Namun, mengambil pendirian tidak memberi sebarang komentar di dalam media kerana ianya sangat bersifat ‘politik'. GPMS hanya memberi pandangan kepada beberapa pihak yang berkenaan bahawa janganlah pelajar Melayu menjadi mangsa ‘politik angkuh' dan ‘bodoh' pihak pembangkang. 

Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi

3. TEMA PAT: "TRANSFORMASI: PERJUANGAN GPMS ESOK PERLU LEBIH BAIK DARI HARI INI".

3.1 Sekali lagi, idealisma yang dibawa oleh YAB Ayahanda Perdana Menteri semasa Hari Belia Negara 2012 dipandang serius oleh GPMS dan dijadikan tema persidangan tahun ini. Tema ini akan dikupas dalam topik seterusnya dan berfokus kepada lingkungan yang berkaitan dengan perjuangan GPMS pada masa hadapan. YAB Ayahanda ketika berucap merasmikan Himpunan Jutaan Belia 2012, menggariskan lima ciri belia yang negara boleh bergantung pada masa hadapan, iaitu mereka yang cintakan keamanan, beradab, berhemah mulia, tertib dan menghormati undang-undang yang berupaya menjamin "hari ini lebih baik berbanding hari esok'. Belia perlu tahu menilai "yang mana kaca dan yang mana permata" dalam aspek memilih kerajaan. Belia juga perlu belajar menggunakan kuasa memilih itu dengan penuh kematangan dan bijaksana.

3.2 Justeru, perbincangan kepimpinan kanan GPMS dalam program RK- BOS ‘retreat' khas di Pulau Kapas, 2 minggu lepas telah menggariskan semula dasar dan strategi GPMS yang mantap bagi mengharungi musim 2012-2015 yang pasti akan lebih mencabar. Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi yang akan diadakan dalam persidangan ini pasti akan menjadi tumpuan para perwakilan. Pilihlah mereka yang boleh bekerja dan bukannya sekadar pandai bercakap dan kemudiannya akan menjadi sekadar pemerhati atau penumpang yang akan mengecewakan kita semua.

Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi

4. DASAR DAN STRATEGI PERJUANGAN GPMS - 2012-2015  CADANGAN DEKLARASI PAT 2012.

4.1 Setiap pemimpin GPMS perlu memahami segala dasar dan strategi ini bagi memastikan perjuangan ini dibawa dalam landasan yang betul dan selaras dengan tema persidangan tahun ini. Semoga perkara yang dicadangkan ini menjadi satu prinsip buat semua dalam menjayakan perjuangan ini dan seterusnya menjadikan Melayu sebagai bangsa yang hebat pada masa hadapan. Semoga Allah S.W.T mengampuni kita di atas sebarang kekurangan dalam strategi ini. Sesungguhnya, hal ini diambil dari petua dan nasihat pemimpin-pemimpin kita yang pernah berjuang hebat pada tahun-tahun terdahulu. Namun, ianya perlulah dibahaskan lagi dalam persidangan ini untuk memastikan ianya benar-benar boleh difahami dan dilaksanakan pada peringkat akar umbi. 
STRATEGI DAN DASAR PERJUANGAN GPMS TAHUN 2012 - 2015

1.  Hala tuju GPMS semenjak 1948 akan diperteguhkan lagi azamnya seperti berikut:
I.      Menjaga hak-hak pelajar-pelajar Melayu dari segenap lapisan.
II.     Mengemukakan permintaan pelajar-pelajar Melayu dari segenap lapisan.
III.    Memperbaiki keadaan pelajar-pelajar Melayu dari segenap lapisan.

2. Strategi perjuangan GPMS sekarang ini adalah berdasarkan kepada empat perkara berikut:
I. GPMS memperjuangkan pendidikan dan kepentingan Melayu di atas dasar Non-Partisan.
II. GPMS gedung melahirkan pemimpin.
III. GPMS cawangan dan cawangan khas adalah tunggak perjuangan ini yang akan diperkasakan.
IV. GPMS melatih generasi muda menerusi sistem perkaderan yang berteraskan semangat   kesukarelaan.

3. Cogan kata yang memperlihatkan kelantangan dan keberanian GPMS ialah:
GPMS SINGA PERJUANGAN BANGSA di samping mengekalkan BELAJAR TERUS BELAJAR.

4. GPMS akan memberi fokus utama terhadap pelbagai isu pendidikan yang berkaitan pelajar Melayu melalui kaedah konsultatif dan perbincangan dengan pihak kerajaan. Disasarkan memperjuangkan 10 isu setahun sebagai penanda aras.

5. Dasar dan pengurusan dalaman GPMS:

I. GPMS di peringkat Kebangsaan perlu berusaha mendapatkan dana untuk menggerakkan aktiviti dan membantu pentadbiran pada peringkat negeri. Pelbagai bahan sokongan dan promosi juga perlu diperbanyakkan dan disalurkan kepada cawangan di seluruh negara. Bahan promosi yang ada dan boleh diminta dari pusat ialah:
Cenderamata VIP - Buku " GPMS Warisan Perjuangan Bangsa"
Cenderahati sekolah - Majalah SUARA GPMS
Pelbagai jenis T Shirt dan baju paddok GPMS serta bendera.
Set pameran GPMS dan pelbagai Brosur promosi.
Cenderahati GPMS seperti buku nota, lanyard pen, pelbagai sijil    program dan lain-lain.

II. Melaksanakan program Skuad Jelajah Motivasi 1 Malaysia sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi memberi laluan dan peluang untuk membolehkan negeri dan cawangan melaksanakan program dan mencara dana mereka sendiri.

III. Melaksanakan semua usul-usul dalam PAT.

IV. Biro-biro yang ditubuhkan di dalam GPMS mestilah pelbagai dan menjurus kepada pendidikan. Negeri dan cawangan perlu selaras.

V. Dasar media yang telus dan terkawal dengan mandat yang jelas kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung bagi isu di peringkat pusat. Pengerusi negeri dan YDP Cawangan boleh bercakap tentang isu setempat manakala semua ahli yang melaksanakan program boleh mempromosi program dalam media dengan sebebas-bebasnya.

VI. GPMS hanya akan mengeluarkan kenyataan akhbar dan membincangkan isu-isu yang relevan dengan perjuangannya dan mengelakkan diri terutamanya dalam isu yang berkaitan serta berbaur politik bagi mengekalkan matlamat penubuhan GPMS.

VII. GPMS akan mempergiatkan Yayasan GPMS dan GPMS Holdings Sdn. Bhd. serta anak-anak syarikat yang lain untuk mendapatkan dana bagi membiayai pentadbiran dan aktiviti. Memeterai beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian yang dapat memberi manfaat kepada GPMS dan pelajar Melayu amnya.

VIII. Program Kad Keahlian GPMS akan diperkemaskan melalui urustadbir Yayasan GPMS dan mensasarkan 50,000 keahlian baharu menjelang 2015.

IX. Berusaha mendapatkan Pingat Kebesaran yang bersesuaian untuk mantan kepimpinan GPMS yang masih hidup sebagai tanda penghargaan terhadap jasa perjuangan mereka. GPMS juga akan memperkenalkan anugerah dalaman yang sesuai bagi tokoh-tokoh ini.

X. Anugerah untuk GPMS Negeri, cawangan dan cawangan khas terbaik pada setiap tahun perlu diberi berdasarkan penilaian terbuka sebagaimana yang tertera dalam Laporan Tahunan GPMS.

XI. Program Sembang Intelektual / Kunjungan Hormat bersama tokoh dalam formulasi Strategi Melayu akan diperbanyakkan.

6. Pelan bertindak GPMS pada peringkat negeri dan cawangan:

XII. Menjadikan Ibu Pejabat GPMS Kebangsaan dan Pejabat GPMS Negeri di seluruh negara sebagai Pusat Khidmat Pendidikan Pelajar Melayu.

XIII. GPMS Negeri dibenarkan bekerjasama dengan kerajaan negeri masing-masing tanpa mengira parti demi kepentingan pelajar Melayu.

XIV. GPMS menggalakkan pemimpin-pemimpinnya menggembangkan bakat kepimpinan di dalam Majlis Belia Daerah / Kawasan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Malaysia. Manakala, GPMS di semua IPT digalakkan untuk menyertai Pilihanraya Kampus masing-masing untuk membuktikan keberkesanan Sistem Latihan Perkaderan dan Kepimpinan GPMS.

XV. GPMS Negeri dan Cawangan digalakkan untuk menjalin hubungan akrab dengan pelbagai badan luar seperti PIBG, Majlis Agama Islam negeri masing-masing dan Majlis Daerah.

7. Pelan bertindak khusus untuk cawangan khas di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi:

XVI. Mengaktifkan dan menyatukan seluruh kepimpinan cawangan khas di bawah satu pentadbiran yang khusus.

XVII. Melatih dan mendewasakan cawangan khas dengan memfokus kepada aspek kepimpinan, pengurusan dan isu setempat.

XVIII. Skuad Sukarewan khas ditubuh dan digiatkan di setiap cawangan khas.

8. Menggalakkan lawatan ilmiah ke luar negara bagi mendapatkan idea dan pengalaman baharu. Di samping itu, dapat mengadakan perbincangan dengan pelajar Malaysia di sana untuk menerangkan isu-isu semasa.

9. GPMS akan memperkasa modul dan melahirkan penceramah yang mahir dalam motivasi yang berfokus kepada 6 aspek iaitu: (i) Motivasi dan Teknik Belajar Berkesan, (ii) Motivasi Kepimpinan, (iii) Motivasi dan Petua Menghadapi Peperiksaan (iv) Motivasi Sukan (v) Motivasi Keusahawanan. (vi) Motivasi Guru dan Ibu Bapa

10. Menerbitkan Majalah Laporan Tahunan GPMS yang dinamakan Majalah SUARA GPMS pada setiap tahun dan pelbagai buku yang berkaitan pendidikan (10 buah buku sebagai penanda aras).

11. Menonjolkan ikon Pelajar Melayu sebagai model kehebatan yang boleh dicontohi dengan kerjasama pelbagai agensi terutamanya dengan Program Permata Pintar.

12. GPMS akan membantu pelajar yang telah tamat peperiksaan utama di sekolah untuk melanjutkan Pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan lulus dengan jayanya dengan kaedah dan strategi yang tersendiri.    

13. Memastikan program GPMS seluruh negara melaksanakan program berdasarkan tema bulanan yang telah ditetapkan seperti berikut:

JANUARI    

PENDIDIKAN MENENGAH
-Peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan.
PENDIDIKAN TINGGI
-Memperkasakan nilai kesukarelaan dalam kalangan Mahasiswa.    

FEBRUARI  

PENDIDIKAN MENENGAH
-Diskusi Cinta Remaja & Kursus Pidato
PENDIDIKAN TINGGI
-Diskusi Cinta Siswa & Bicara Siswa Isu Semasa


MAC

PENDIDIKAN MENENGAH
-Motivasi dan Teknik Belajar Berkesan
PENDIDIKAN TINGGI
-Wacana 153 - Hak Keistimewaan Melayu

APRIL

PENDIDIKAN MENENGAH
-Kempen Membaca & Duta Akademik GPMS
PENDIDIKAN TINGGI
-Ikon Siswa & Kemahiran Membaca IPT

MEI

PENDIDIKAN MENENGAH
-Penghargaan guru dan ibu bapa.Taklimat Institusi Kemahiran.
PENDIDIKAN TINGGI
-Lawatan Ramah Mesra GPMS - Siswa setempat dan antarabangsa

JUN

PENDIDIKAN MENENGAH
-selangkah ke Universiti - Pemilihan Kerjaya
PENDIDIKAN TINGGI
-Keusahawanan dan sukan

JULAI

PENDIDIKAN MENENGAH
-Motivasi dan Petua Peperiksaan
PENDIDIKAN TINGGI
-Sekretariat Rayuan Pelajar ke IPT

OGOS

PENDIDIKAN MENENGAH
-Menjiwai Kemerdekaan
PENDIDIKAN TINGGI
-Penghayatan Kemerdekaan

SEPTEMBER

PENDIDIKAN MENENGAH
-Program Kerohanian menjelang peperiksaan
PENDIDIKAN TINGGI
-Seminar Pengurusan GPMS di IPT - Peringkat Zon

OKTOBER

PENDIDIKAN MENENGAH
-Kem Bina Insan - Khusus untuk pelajar bermasalah
PENDIDIKAN TINGGI
-Mahasiswa turun padang

NOVEMBER

PENDIDIKAN MENENGAH
-Motivasi Kepimpinan Pelajar
PENDIDIKAN TINGGI
-Gedung Melahirkan Pemimpin

DISEMBER

PENDIDIKAN MENENGAH
-Program sukan dan kunjungan ilmiah
PENDIDIKAN TINGGI
-Konvensyen Mahasiswa Melayu Kebangsaan

Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi

5. PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN) DAN PERJUANGAN PENDIDIKAN MELAYU.

5.1 Melihat kepada kejayaan anak jiran saya di kampung yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di salah sebuah IPTA dan dalam masa beberapa bulan lagi, dua orang lagi sepupunya pula akan bergraduan dalam bidang yang sama merupakan satu kejayaan yang cukup besar maknanya kepada sebuah keluarga Melayu yang semakin dihambat pembangunan di Pulau Pinang. Kos keseluruhan untuk mereka bertiga itu pasti melebihi RM 1 juta! Mustahil mereka akan mampu meneruskan pembelajaran ini tanpa bantuan pinjaman dari PTPTN.

5.2 Fakta: PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 1.9 juta pelajar dengan jumlah RM43.6 bilion sejak tahun 1997. Tindakan populis pembangkang untuk menghapuskan pinjaman PTPTN akan menguntungkan 100,000 peminjam yang gagal membayar dan 70% daripada bilangan ini yang langsung menghilangkan diri sejak 14 tahun lepas. Pendapatan PETRONAS akan ‘dimangsakan' untuk golongan ini semata-mata untuk memancing undi dan membolehkan mereka menyokong pembangkang dalam PRU yang akan datang. Adilkah kepada kita semua terutamanya yang taat membayar selama ini?

5.3 Sejak 14 tahun lepas, RM 5.6 bilion sepatutnya telah dikutip semula tetapi yang diterima hanyalah sebanyak RM 2.7 bilion. PTPTN membuat pelbagai usaha namun gagal dan ‘memburukkan' nama PTPTN kembali! Sebelum meminjam, para pelajar akan sentiasa bersetuju dengan syarat yang dikenakan PTPTN. Inilah tanggungjawab pertama yang perlu diselesaikan apabila bergraduan. Kita semua sedar bahawa, PTPTN adalah satu-satunya pemberi pinjaman pendidikan di negara ini. Tanpa PTPTN, hampir 2 juta peminjam tidak akan mampu melanjutkan pelajaran terutamanya pelajar Melayu. Kita juga mengakui fakta bahawa terdapat segelintir kecil (mereka…) yang mampu melanjutkan pelajaran tanpa PTPTN. Tepuklah dada, tanyalah taraf kemampuan kita!

Seorang rakan saya yang berketurunan Cina sangat berbangga dengan anaknya yang mampu berdikari dengan pinjaman PTPTN. Dengan pinjaman itu, rakan ini tidak mengeluarkan sesen pun perbelanjaan tambahan untuk anaknya malahan anaknya itu mampu membeli sebuah kereta melalui perbelanjaan yang sangat ketat, lulus semua pelajaran dan bergraduan tepat pada masanya. Sekarang, anaknya telah bekerja dan membayar sendiri pinjaman tersebut tanpa bertangguh! Peminjam yang berdisiplin dan sedar akan tanggungjawab sendiri pasti tidak akan berdepan dengan masalah ini.

5.4 Melalui liberasasi pendidikan kerajaan pada awal tahun 90-an, jumlah insan yang berumur 24 tahun yang melanjutkan pelajaran pada peringkat tinggi adalah kurang dari 15%. Melalui pengenalan PTPTN pada tahun 1994, jumlah ini meningkat sehingga 45% sekarang ini dan dijangka mencecah 50% menjelang 2020. Kerana wujudnya PTPTN ini juga, jumlah IPT di negara ini meningkat dengan mendadak. Setakat Oktober 2011, terdapat 20 buah IPTS, 26 buah universiti swasta, 23 buah kolej universiti, 28 buah politeknik, 74 buah kolej komuniti dan 434 kolej swasta serta beberapa buah kampus universiti luar negara. Sekiranya PTPTN dihapuskan, maka ramai para pelajar dari kelas pertengahan dan bawahan yang majoritinya orang Melayu tidak akan mampu melanjutkan pelajaran kerana institusi yang dibiaya penuh kerajaan adalah sangat terhad!!!

5.5 Kesimpulan
Ramai pelajar Melayu semakin berminat untuk melanjutkan pelajaran walaupun hanya mempunyai keputusan SPM atau STPM sangat minimum dan tipis. Kesedaran tentang betapa pentingnya kita melanjutkan pelajaran demi memiliki gaji yang tinggi dan masa depan yang cemerlang semakin subur di dada anak-anak Melayu ini. Janganlah kerana demi kepentingan politik kepartian dan ingin menang dalam pilihanraya umum, semangat ini dibunuh melalui cadangan pemansuhan PTPTN!! Cukuplah sudah Hang Nadim dibunuh dahulu… GPMS bersumpah akan melakukan apa sahaja demi memastikan nasib anak Melayu terus terpelihara.  

Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi

6. PENGHAYATAN DAN PEMAHAMAN NILAI POSITIF MENJANA PRESTASI PERTUBUHAN BELIA KHUSUSNYA GPMS

6.1 Perjuangan GPMS dalam konteks perjuangan belia di Malaysia sudah melalui tempoh yang cukup panjang. Dalam tempoh tersebut, GPMS telah melahirkan ramai pemimpin belia negara. Hari ini boleh dikatakan bekas pemimpin GPMS sangat hebat sehingga mampu menjadi Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi. GPMS adalah merupakan markas membina kematangan sebagai seorang pemimpin membina idealisme perjuangan. Oleh itu, peranan GPMS adalah sangat besar kepada negara. Memang tidak dinafikan bahawa walaupun wadah politik telah meletakkan seseorang sebagai pemimpin negara tetapi medan latihan awal mereka adalah melalui persatuan-persatuan belia seperti GPMS. Selain daripada aspek kepimpinan, GPMS juga merupakan pemangkin kepada usaha melahirkan generasi muda yang menjadi pendokong dan pelaksana dasar-dasar negara. 

6.2 Pembinaan intelektualisma juga perlu diberi perhatian. GPMS harus melahirkan cendiakawan hebat yang menjadi harapan masa hadapan perlu disediakan dengan keunggulan intelektual agar kita dapat melahirkan profesional hebat orang Melayu. Bekas Perdana Menteri kita, Tun Mahathir Mohamad, menggariskan sembilan cabaran Wawasan 2020. Wawasan ini adalah sesuatu yang futuristik, ambitious dan berpandangan jauh. Asas kepada Wawasan 2020 ialah untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan berdaya saing tetapi pada masa yang sama mempunyai akal budi dan memahami sejarah dan perjuangan bangsanya sendiri. Manakala Ayahanda Dato' Seri Najib Tun Razak, YAB Perdana Menteri sekarang pula, telah menyediakan permaidani ke arah Wawasan 2020 melalui konsep 1Malaysia. Oleh itu, GPMS harus bersedia memahami konsep tersebut secara jelas dan sentiasa berusaha memperkasakan GPMS. 

6.3 GPMS harus mampu membina empayar kehebatan dalam membawa gelombang kepada perjuangan belia di negara ini. GPMS harus dilihat berani, garang dan tegas dalam soal perjuangan belia di negara ini. GPMS tidak rela melihat perjuangan belia di negara ini diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga belia pada hari ini dilihat tidak bermaya dan lesu. Kita tidak mahu melihat pergerakan belia di negara ini berkubur di negara ini. GPMS sudah melihat banyak isyarat bahawa pihak-pihak tertentu sedang merancang untuk menutup mata, mengunci mulut dan mengikat tangan pemimpin belia agar tidak terlalu radikal dan idealis dalam perjuangan belia. 

6.4        Bangsa Melayu sebenarnya hebat, kita seringkali tertipu dengan fakta sejarah Inggeris oleh masyarakat barat bahawa bangsa Sepanyol yang hebat telah menakluki dunia dengan mengelilingi bumi melalui pelayaran agung Ferdinand Magellan pada 20 September 1519 dan berakhir pada 8 September 1522. Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan kepada dunia pada 4 Disember 1997 bahawa orang yang pertama mengelilingi dunia melalui pelayaran ialah seorang yang beliau namakan sebagai Henry The Black, bukan Ferdinand Magellan. 

Lantaran itu, Henry The Black jugalah yang menemukan bahawa bumi berbentuk bulat. Henry The Black atau nama Melayunya "Panglima Awang" ketika itu berusia belia berumur 18 tahun ditugaskan sebagai jurubahasa dan pembantu kapal Ferdinand Magellan. Namanya disebut sebagai Henrich dalam Bahasa Sepanyol, dan beliau turut dikenali sebagai Enrique of Melaka. Dalam usia yang muda, beliau mampu mencipta kejayaan hebat dalam sejarah dunia. Oleh itu, pemimpin-pemimpin GPMS harus meletakkan diri kita sebagai perjuang yang hebat untuk mendepani pelbagai isu-isu yang menjadi hambatan kepada isu-isu yang melibatkan keistimewaan dan hak-hak orang Melayu.

6.5        Pada hari ini kita boleh melihat dan membaca tulisan penghinaan kepada sultan dan mempertikaikan hak-hak orang Melayu secara terbuka malah menghina. Kita tidak boleh berdiam diri dalam soal yang berkaitan dengan maruah orang Melayu. Oleh yang demikian, pemimpin-pemimpin GPMS diseru untuk bijak daripada segi penulisan dan kemahiran berhujah untuk berhadapan dengan golongan ini. Mereka mengunakan media baharu untuk menzahirkan propaganda dan provokasi. Laporan polis tidak mampu menghentikan tindakan mereka ini kerana media baharu ini seluas lautan yang sukar dikawal.

6.6        Perkembangan politik semasa menuntut kita menilai semula arah dan pendekatan perjuangan GPMS. Dalam mengimbas kejayaan masa lalu, kita harus berani bermuhasabah untuk memikirkan masa hadapan agenda dan gerak kerja yang dapat memberi makna dan pengertian yang lebih nyata kepada tuntutan dan aspirasi bangsa. Marilah sama-sama kita membuka minda dan sanubari kita agar bersedia melakukan muhasabah diri. Marilah kita bertanya akan hakikat diri kita, janji-janji kita sebagai khalifah Allah di muka bumi, tanggungjawab kita sebagai bangsa Melayu, kedudukan kita di mata masyarakat, sumbangan kita kepada GPMS. Marilah kita meninjau tentang pelbagai kemungkinan yang boleh menimpa masa depan pendidikan anak-anak orang Melayu, masa hadapan negara dan nasib bangsa Melayu. Apakah kita menyuarakan fikiran, perasaan, aspirasi dan hasrat orang Melayu? Apakah kita pasti GPMS akan tetap menjadi harapan kepada orang-orang Melayu? Soalan-soalan ini dilontarkan kerana kita dipertanggungjawabkan mendokong perjuangan. Kitalah generasi yang akan meneruskan wadah perjuangan berinti-patikan Islam, bagi bangsa Melayu dan negara tercinta. Sebagai pertubuhan belia teras kepada bangsa Melayu dan kaum Bumiputera, GPMS perlu terus memahami idealisme dan aspirasi generasi semasa. 

6.7        Kepemimpinan yang baik memerlukan pengikut yang baik. Pengikut yang baik memerlukan tarbiyyah kepimpinan yang baik. Sekiranya kita memiliki segala asas untuk melahirkan kepimpinan yang baik, Insya-Allah kita akan dapat sebaik-baik pemimpin. Kepemimpinan yang baik mempunyai wawasan yang jelas, keyakinan terhadap perjuangan yang hakiki, rasa kesetiaan yang tinggi, adab dan budi yang indah serta keinginan melakukan kebaikan sepanjang masa. Kepemimpinan yang baik akan dapat membentuk angkatan perjuangan yang padu dalam satu pasukan yang memperlihatkan perkongsian visi (ru'yah), kekuatan (iradat) dan tindakan (amal). Hala tuju agenda pendidikan akan dijadikan teras utama perjuangan GPMS dalam pembinaan masyarakat Melayu cemerlang. Inilah yang kita sentiasa pegang agar GPMS terus membela dan memartabatkan pendidikan anak-anak Melayu. Kita tidak boleh berkompromasi dalam isu-isu berkaitan ini.

6.8        GPMS bukan sekadar membina idealis belia di negara ini malah sedang membina ‘Tamadun Islam'. Program pendidikan untuk melahirkan ramai cerdik pandai dan teknokrat Melayu adalah program pembangunan ummah untuk memberikan kekuatan kepada Islam.  Ibnu Khaldun dalam buku agungnya ‘Al-Muqaddimah' menekankan tentang ‘pengekalan warisan' kepada generasi akan datang. Inilah asas keperluan politik nilai dan makna. Kita percaya, dengan nilai dan makna, kita bukan sahaja menyediakan generasi yang unggul, tetapi juga mengelakkan daripada berlakunya kehancuran terhadap 
sesuatu Tamadun. GPMS bukan askar upahan untuk sesiapa dalam arus ketika ini. GPMS harus bijak mendepani masa hadapan tanpa kita terlalu mengikut arahan pihak-pihak tertentu GPMS mempunyai agenda yang ingin kita laksanakan bukan dihambat dengan acuan pihak luar. Kita mahu melihat GPMS sebuah pertubuhan yang berfungsi bukannya satu pertubuhan ‘remote -control'. 

Kita pasti mengimpikan GPMS menjadi sebuah gerakan yang mengamalkan falsafah perjuangan dan budaya pergerakan belia hebat. Kita mengimpikan sebuah gerakan yang mengerti dan memahami politik nilai dan makna. Kita mengimpikan agar gerakan kita adalah gerakan transformatif. Kita pasti mengimpikan agar GPMS menjadi nadi dalam pergerakan belia di negara ini. 

6.9      Pendekatan utama untuk menjadikan pergerakan belia di negara ini bermakna adalah pendekatan "penghakupayaan belia" (youth empowerment). Ia meliputi aspek-aspek partisipasi anak-anak muda dalam perjuangan belia di negara ini. Peranan belia diiktiraf di Malaysia serta diberi peranan yang besar dalam pembangunan negara. Belia pada hari ini bukan sekadar tukang sorak, membawa sepanduk, pembawa kompang dan membawa bunga mangga tetapi sebaliknya belia pada hari ini telah menganggotai pelbagai Jawatankuasa yang dibentuk oleh pihak kerajaan dalam mengubal dasar-dasar negara. Ini secara tidak langsung, akan membina satu suara yang bermakna atau "voice that matters". GPMS harus menjadi satu pertubuhan belia yang melahirkan pemimpin negara pada masa akan datang dalam usia yang muda. Dalam usia muda David Cameron menjadi Perdana Menteri (Britain) pada usia 45 tahun, Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat pada usia 47 tahun dan bekas Presiden Rusia dan Dmitry Medvedev menjadi presiden pada usia 45 tahun. GPMS menyediakan platform dan anda semua harus mengunakan platform ini sebaik mungkin untuk melatih daya kepimpinan dan ketokohan kepimpinan anda semua. 

6.10          Pada tahun 2008 daripada 27.7juta penduduk sebanyak 11.26 juta atau 40.6% adalah belia. Manakala pada tahun 2010, jumlah belia adalah sebanyak 11.65 juta atau 40.2%. Ini membuktikan bahawa golongan belia adalah penentu landskap politik dan masa depan negara. Justeru, GPMS harus mempersiapkan diri dalam memastikan ahli-ahli GPMS mendapat manfaat daripada perkembangan ini. Ramai pihak termasuk ahli-ahli politik sentiasa mendampingi golongan muda dalam meraih sokongan undi atau penyertaan dalam pelbagai program. Namun demikian, saya berpesan agar kita tidak menjadi seperti buih-buih di lautan; bilangannya banyak, tetapi amat lemah. Ahli GPMS harus bijak dan sentiasa berfikir untuk kebaikan orang lain. Pepatah Cina mengatakan "daripada mengutuk kegelapan lebih baik ambil sebatang lilin untuk dinyalakan". Daripada menyalahkan keadaan, adalah lebih baik kita melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. GPMS adalah penyambung amanah yang diturunkan oleh tokoh-tokoh terdahulu. Cabaran pemimpin belia GPMS pada hari ini adalah kita harus membuktikan kepimpinan belia di bawah 40 tahun mampu membawa bahtera GPMS dengan penuh cemerlang. Biarpun kita terpaksa dilambung ombak, ditiup oleh angin yang kuat dan kepayahan yang sukar namun kita harus bersemangat untuk mengharunginya. 

6.11       GPMS melihat Cawangan Khas adalah medan untuk melahirkan pemimpin belia apabila mereka bergraduan nanti. Saya menyeru agar kepimpinan cawangan khas berjinak-jinak dengan program belia di luar agar mereka dapat mengutip segala pengalaman dan jaringan hubungan agar mereka dapat melengkapkan kemahiran kepimpinan belia. GPMS inilah tempat permainan, gelanggang, madrasah, rumah dan institusi kita untuk membina karekter pemimpin belia GPMS. Jangan jadikan GPMS sebagai bilik tidur yang akan melenakan jiwa kita untuk berjuang. Kita adalah hujung tombak bangsa yang akan berjuang dan mengangkat darjat bangsa yang lebih gemilang. Oleh itu, kita menambah kekuatan perjuangan kita dengan meletakkan slogan" GPMS Singa Perjuangan Bangsa". GPMS harus menjadi "Setitik air yang boleh membelah batu bukan kerana derasnya tetapi dengan kekerapannya  menitik". Perjuangan ibarat pepohon yang merimbun. Akan hilang serinya apabila dedaunnya berguguran. Tanamlah benih perjuangan kita pada hari ini dengan baik agar ia mampu menjadi pohon bangsa yang merimbun pada masa hadapan. Terpesona dengan sejarah kegemilangan kesultanan Melayu Melaka ketika dahulu tidak akan mengubah apa-apa pada hari ini jika kita tidak mampu mencetuskan kegemilangan kembali disebabkan kita selalu berpecah- belah dan dan berkhayal. 

6.12        GPMS akan terus radikal dan idealis dalam perjuangannya dengan cara penuh berhemah dan matang. Dalam permilihan Majlis Belia Malaysia akan datang, pemimpin GPMS akan menawarkan diri untuk memperkasakan pergerakan belia di negara ini. Saya berharap agar Pengerusi negeri akan dapat membantu jika agar calon-calon GPMS menang dalam permilihan tersebut. GPMS bukan mengejar jawatan atau gelaran sebaliknya ia dilakukan atas desakan rakan-rakan agar GPMS dapat membantu memperkasakan lagi Majlis Belia Malaysia. Kata orang "biar lebur binasa, selangkah berpantang surut" maknanya GPMS berani dan pantang menyerah kalah. Marilah kita bersungguh-sungguh bekerja untuk perjuangan belia di negara ini bak "belayar sampai ke pulau, berjalan sampai ke batas". Kita harus mengambil iktibar kejayaan bangsa-bangsa yang telah berjaya. Kita harus menjana daya saing umat Melayu bagi menangani cabaran . GPMS harus menjadi pencetus dan peneraju dalam mendepani perubahan dan mencipta pradigma hebat pergerakan belia di negara ini. Sebab itu, prestasi kejayaan sesuatu pertubuhan belia sangat bergantung kepada pengurusan strategik sesuatu pertubuhan. Saya amat tertarik dengan konsep Kai Zen yang diperkenalkan sebagai budaya organisasi dan perniagaan bangsa Jepun. Antara teras-teras tersebut adalah kerja berpasukan, disiplin kendiri dan peningkatan semangat. Ia juga telah mencetuskan produktiviti rakyat Jepun. Biarlah perjuangan kita bermula dengan kepayahan seperti kata-kata hikmah ini iaitu ‘The man who moved a mountain was the one who began carrying away small stones.'. Orang yang mampu menggerakkan gunung adalah orang yang mulai mengangkut batu-batu kecil terlebih dahulu.


7. PARLIMEN BELIA DAN PERSEDIAAN KHUSUS PEMIMPIN GPMS DI BAWAH 25 TAHUN BERDASARKAN KEPERLUAN AKTA BELIA.

7.1 Saya sangat tertarik untuk meneliti inisiatif baru yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) iaitu Parlimen Belia Malaysia (PBM). Parlimen Belia Malaysia ini adalah salah satu daripada enam inisiatif yang terhasil daripada Makmal Transformasi Pembangunan Belia (youth lab) dan telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa sambutan Hari Belia Negara pada tahun lepas. Pada 8-11 Mei 2012, diadakan satu "mock" Parlimen Belia Malaysia di Kuala Lumpur dan diselaraskan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Umur untuk menjadi ahli dalam Parlimen Belia Malaysia tersebut ialah antara 18 sehingga 30 tahun. Sesi-sesi seperti penerangan "standing order" dan "public hearing" diberikan terlebih dahulu sebelum  bermulanya "mock" Parlimen Belia Malaysia pada hari ketiga. Pada hari ketiga, "mock" Parlimen Belia Malaysia diadakan, bermula dari proses perbahasan usul sehinggalah pengundian. Terdapat dua isu yang dibahaskan iaitu berkaitan Salah Laku Moral (LGBT) dan Sistem Pendidikan di Malaysia. Di dalam perbahasan yang berlangsung, setiap ahli parlimen belia mempamerkan kematangan mereka dalam berhujah dan juga pro-aktif dalam memberi pandangan mereka terhadap isu- isu tersebut. Tahniah kepada 15 orang pimpinan Muda GPMS dari seluruh negara yang telah terpilih dalam Parlimen Belia ini, malah, "Perdana Menteri"nya juga adalah dari GPMS. HEBAT…
 7.2 Terdapat dua kepentingan yang wujud pada Parlimen Belia Malaysia tersebut. Pertamanya ialah Pendidikan Demokrasi yang merangkumi pemahaman terhadap Sistem Demokrasi Berparlimen yang wujud di Malaysia. Keduanya, Suara Belia dapat diangkat dalam mengukuhkan partisipasi dan pandangan belia berkaitan isu-isu nasional dan isu-isu tempatan dari perspektif belia itu sendiri. Jika dilihat pada Parlimen Belia di England, Australia, Pakistan dan lain-lain lagi, bolehlah disimpulkan bahawa dua kepentingan tersebut wujud di parlimen belia masing-masing. Perbezaan yang mungkin wujud antara satu sama lain ialah dari segi strukutur dan punca kuasa bagi parlimen belia itu. Keterbukaan pihak kerajaan dalam menerima cadangan penubuhan Parlimen Belia Malaysia ini seharusnya dipuji kerana budaya politik baharu yang akan wujud dan lahir dari Parlimen Belia Malaysia ini pastinya akan dapat menghasilkan pemimpin-pemimpin negara pada masa hadapan yang dapat meneruskan legasi kepimpinan negara dan terus memajukan negara bersandarkan pada ilmu pengetahuan. Sesungguhnya harapan yang terletak pada Parlimen Belia Malaysia ini begitu tinggi kerana ia adalah satu titik permulaan sejarah dalam politik Malaysia. Justeru, kita perlu pastikan lebih ramai pimpinan muda GPMS terpilih sebagai ahli Parlimen Belia pada tahun-tahun hadapan. Strateginya harus bermula sekarang!

7.3 Kita perlu menyediakan pimpinan muda GPMS yang berusia di bawah 25 tahun mulai sekarang supaya sekiranya had umur belia di dalam Akta Belia diturunkan kepada di bawah 30 tahun, maka GPMS sudah mempunyai ramai pelapis yang bersedia untuk meneruskan perjuangan ini.  Kita akan menggariskan kaedah dan strategi yang sesuai sebaik sahaja tamat persidangan ini.

Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi

8. PEMERKASAAN AKTIVISME MAHASISWA

8.1 Hampir 65 tahun telah berlalu sejak pergerakan mahasiswa terutamanya yang berorentasi perjuangan Melayu dan Islam di Malaysia mencapai kemuncak kegemilangannya sekitar awal tahun1940-an. Bermula dengan penubuhan GPMS pada tahun 1948 dan kemudiannya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada tahun 1963, idealisme dan aktivisme mahasiswa terus berkembang dan kian matang sehingga mampu mencetus impak kepada kemaslahatan hidup rakyat amnya dan masyarakat kampus khususnya. Gerakan mahasiswa ketika itu berperanan sebagai kuasa pengimbang penting dalam setiap perlaksanaan polisi dan dasar yang diimplementasi kerajaan. Mereka mewujudkan ‘pandangan kedua' dalam beberapa polisi dan dasar penting kerajaan serta tidak pernah jemu mengeluarkan pelbagai memorandum, kenyataan akhbar malah terlibat langsung dalam demonstrasi jalanan bagi menyuarakan hasrat serta aspirasi rakyat.

8.2 Kini, pergerakan dan aktivisme mahasiswa sedang melalui satu fasa perubahan (mungkin lebih tepat diistilahkan sebagai ‘kejatuhan') yang sangat ketara, meninggalkan jurang yang sangat besar untuk diisi oleh generasi baharu bagi mengembalikan semula ‘taring' gerakan mahasiswa dalam mencorak masa depan negara. Faktor yang dilihat menyumbang kepada fenomena tersebut, antaranya:

1.1.1. Kerajaan yang memerintah pada hari ini lebih matang dalam mengeluarkan dasar dan polisi setelah 54 tahun merdeka. Kredibiliti dan kemantapan barisan kabinet, kumpulan pemikir (think tank), agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat di segenap lapisan telah terbukti dalam mentadbir negara dari segi penggubalan polisi dan dasar umum. Tidak dinafikan masih terdapat keperluan untuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan mahasiswa bersuara dalam menambahbaik idea dan perlaksanaan polisi kerajaan, namun ruang lingkupnya jauh lebih kecil berbanding 30 tahun dahulu.

1.1.2. Kewujudan pelbagai NGO yang semakin hari semakin bertambah bilangannya bak cendawan yang tumbuh selepas hujan telah banyak mengambil alih peranan memperjuangkan hak dan kepentingan massa. Situasi ini meninggalkan para pimpinan mahasiswa kontang idea dan ketinggalan ruang dalam menjuarai isu-isu semasa demi mempertahan kebajikan dan kemaslahatan umum.

1.1.3. Orentasi sistem akademik  telah melalui transformasi daripada sistem penggal kepada sistem semester dilihat turut menyumbang kepada kelesuan gerakan mahasiswa di universiti-universiti seluruh negara. Para mahasiswa terpaksa mendepani kekangan masa dan komitmen akibat jadual akademik yang terlalu padat dan membebankan.

1.1.4. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 turut menyumbang kepada kemerosotan aktivisme mahasiswa yang hangat diperkatakan masa kini. Saya melihat perdebatan antara kebaikan dan kelemahan akta ini lebih banyak diwarnai sentimen politik kepartian tanah air. Namun, jika dibincangkan secara akademik dengan membuat perbandingan dengan gerakan mahasiswa di negara-negara lain kita akan mendapati dalam beberapa aspek, AUKU tanpa disedari telah menyekat potensi besar yang dimiliki oleh para mahasiswa, melahirkan generasi pelajar yang terlalu berorentasi peperiksaan (exam-oriented) serta kurang daya saing dalam medan politik kampus. Pindaan akta pada tahun 2012 juga dilihat berjaya merealisasikan arus pembaikan yang diharapkan.

8.3 Membangunkan semula institusi gerakan mahasiswa yang dihormati pastinya merupakan satu proses yang amat panjang. Justeru, antara tindakan awal bagi mencapai hasrat tersebut dapat saya simpulkan sebagai berikut:

1.1.1. Membangunkan jatidiri individu terlebih dahulu sebelum membentuk arus pembaharuan di kampus. Kualiti diri serta bakat kepimpinan berlandaskan Islam merupakan ramuan penting yang perlu digarap oleh setiap mahasiswa terutama barisan pimpinan. Susuk tubuh yang hebat dan berwibawa menjadi pencetus kepada pembaharuan gerakan mahasiswa yang pernah disaksikan sejarah negara. Jika diteliti, para pimpinan gerakan mahasiswa silamlah yang kini memimpin memegang pos-pos strategik dalam arena politik, akademik mahupun bidang ekonomi negara.

1.1.2. Memantapkan kematangan politik yang rata-rata masih terlalu rendah dalam kalangan para mahasiswa merupakan formula asas yang acapkali dilupakan. Pimpinan mahasiswa seharusnya mampu meletakkan politik kampus dalam konteks yang tepat, pada keutamaan yang betul, dipandu kerangka Islam dalam amal kampus serta penuh cermat dalam menangani pelbagai isu dan komplikasi yang timbul. Terjun ke medan politik tanpa asas dan wawasan yang jelas akan melahirkan pemimpin yang tidak releven dengan keperluan semasa mahasiswa. Ramuan asas kepada peningkatan kematangan ialah pembacaan, perkongsian bijak, pemerhatian, kajian dan latihan praktikal.

1.1.3. Tidak terpengaruh dengan parti politik arus perdana (mainstream) dalam mencorak pergerakan dan aspirasi mahasiswa di kampus. Gerakan mahasiswa harus bangun dengan daya intelektual dan budaya kerja yang tersendiri, menjuarai isu masyarakat kampus secara hikmah dan berakhlak serta berperanan dalam ruanglingkup kerja yang jelas dan efektif. Terbawa-bawa dengan budaya politik kotor dan berkepentingan, apatah lagi jika tidak didasari lunas-lunas yang ditetapkan Islam pasti akan terus menjerumuskan aktivisme mahasiswa ke lembah kemerosotan yang tidak berpenghujung. Sebagai contoh, perkembangan dalam pilihanraya kampus baru-baru ini diwarnai pelbagai insiden yang membuktikan kedengkelan profesionalisme mahasiswa berpolitik apabila pengaruh luar mula menyusup masuk dan memainkan peranan dominan.

1.1.4. Mengutamakan orentasi objektif (objective-oriented) berbanding orentasi program (programme-oriented). Amal yang terfokus dan terbimbing perlu diberi keutamaan berbanding respon segera terhadap pelbagai isu dan perkembangan dalam arena politik pada peringkat kampus mahupun nasional. Sekadar melaksanakan program tahunan, aktiviti rutin serta gerak kerja biasa tidak menjamin kejayaan gerakan mahasiswa. Malah, perlu wujud satu keberanian pemimpin mahasiswa untuk keluar dari kebiasaan setelah mengenalpasti keperluan sebenar masyarakat kampus dan berjuang habis-habisan untuk menjayakannya.

1.1.5. Memberikan fokus kepada amal dan gerak kerja berbanding manifesto dan propaganda. Sebagai contoh, gerakan mahasiswa terutamanya yang berorentasi Islam harus serius mengatasi masalah pergaulan serta seks bebas, budaya ‘couple', hiburan melampau, gengterisme, penyalahgunaan dadah serta banyak lagi gejala sosial lainnya. Sekadar melaungkan slogan untuk membangunkan masyarakat kampus yang cemerlang dan berperibadi mulia semata-mata tidak memadai apabila masalah asas tidak berjaya ditangani dengan baik. Para pimpinan mahasiswa harus kembali kepada solusi paling mujarab iaitu pendidikan sahsiah Islam, pembangunan jati diri serta menyubur kesedaran tanggungjawab sosial kepada segenap lapisan komuniti kampus.

1.1. Kesimpulannya, gerakan mahasiswa hari ini harus bersifat dinamik dan bergerak seiring perubahan pantas latar belakang sosio-ekonomi dan politik negara. Ini sangat penting bagi memastikan perjuangan serta peranan mereka terus relevan dan dirasai oleh masyarakat kampus serta rakyat umum. Membangunkan jati diri berlandaskan Melayu Islam, memahami sifir politik, ekonomi serta aspek sosial negara, membangun kepimpinan serta kematangan diri dan organisasi adalah antara formula penting ke arah meletakkan perjuangan mahasiswa hari ini pada tampok yang strategik dan berkesan. Jika harapan ini berjaya direalisasikan, maka kita akan mampu menyaksikan sekali lagi kegemilangan perjuangan mahasiswa kembali gah menaungi aspirasi dan kepentingan massa.

9. KESIMPULAN, PENGHARGAAN DAN PENUTUP

10.1 Akhir sekali, Persidangan Agung Tahunan pada hari ini memperingatkan agar ahli GPMS agar menghayati sepenuhnya makna Tema Persidangan Agung Tahunan GPMS pada tahun ini. Sesungguhnya, kepimpinan GPMS perlu banyak mengkaji dan membaca bagi menjadikan kita pejuang jitu. Hayatilah sebuah puisi karya Prof. Lim Swee Tin seorang yang berbangsa Cina berkenaan Melayu:



BERSATULAH MELAYU

Bersatulah Melayu
Kalau nampak ada retak
Kerana retak hujungnya belah
Bimbang belah membawa pecah
Melayu itu tak mampu berpecah

Bersatulah Melayu
Melayu itu cermin
Dalam jernihnya kita menilik
Kita menilik mencari wajah
Wajah Melayu wajah kita

Bersatulah Melayu
Melayu itu lampu
Terangi jalan luas terbentang
Siapa cuba kaburkan suluh
Kelak hilang arah dan tuju

Bersatulah Melayu
Melayu itu payung
Payung jangan carik
Carik payung
Manakah lagi tempat berlindung!

Bersatulah Melayu
Melayu itu pohon
Akarnya mencengkam bumi
Bumi ini pautan kasih
Kasih Melayu segala kasih!

Melayu bersatulah
Cari dan rangkalah jalan damai
Damai membawa pintu pertemuan
Pertemuan kelak merintis padu
Berpadu Melayu berpadu semua!

10.2 Penghargaan khusus GPMS tujukan kepada semua pihak yang telah membantu GPMS menjayakan pelbagai program pada tahun ini. Khususnya kepada pengurusan Kenshido International (SCORE A) yang terus setia menjadi rakan strategik GPMS sehingga kini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kuala Terengganu di atas kesudian membenarkan pelbagai kemudahan UMT ini digunakan bagi tujuan persidangan ini. Sesungguhnya jasa tuan pasti dikenang sepanjang zaman.

10.3 GPMS ingin merakamkan penghargaan istimewa kepada semua pihak yang banyak membantu GPMS sama ada dari aspek kewangan mahupun sokongan moral. Panjang senarai yang ingin saya lafazkan ini dan saya memohon maaf sekiranya ada yang terlepas pandang:-

I. YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kesudian memberi dana khas untuk GPMS bergerak pada tahun ini dan kesudian mendengar pandangan GPMS dalam Dialog Pendidikan Negara.

II. YB Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan di atas sokongan kepada pelbagai program GPMS dan juga bantuan pentadbiran yang berterusan saban tahun. Semoga peruntukan tambahan yang akan diberikan tahun depan akan membantu menyemarakkan lagi perjuangan ini.

III. Kakanda Penasihat GPMS yang sering bersama kami dalam memberi pelbagai khidmat nasihat dan suntikan kewangan terutamanya YBhg. Dato' Suhaimi Ibrahim, YBhg. Dato' Sri Reezal Merican dan Tan Sri Nordin Kardi, Tuan Haji Yusof Suhaimi Mohd Yatim, Tuan Haji Ramli Yusuf serta Ybhg. Tun Abdullah Ayub. Penghargaan khas juga kepada semua Ahli Panel Pemikir GPMS yang banyak memberi pandangan kepada kami bagi terus berjuang dengan lebih hebat lagi.

10.4 Penghargaan khas kepada barisan penderma dan rakan GPMS pada tahun ini semoga sumbangan ini berterusan pada masa-masa mendatang:

YB. Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim
YB. Dato' Seri Mohd Khaled Nordin
YB. Dato Seri Ahmad Husni Hanadzlah
YB. Dato' Hj. Ahmad Maslan dan kekanda-kekanda kita di BTN
YB. Dato' Seri Jamil Khir Baharom
YB. Dato' Seri Shahrizat Jalil
YBhg. Dato' Abdul Malek Awang Kecil, Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM)
Encik Jason Kok, Kenshido International- Score A

10.5 Terima kasih kepada kepimpinan Majlis Tertinggi GPMS sesi 2009-2011 yang lepas di atas komitmen saudara dan saudari sepanjang penggal tersebut. Saya amat terharu di atas kepercayaan yang diberi untuk saya dan Sdr. Ezarudin serta rakan-rakan lain yang bakal dipilih nanti bagi memacu GPMS dengan lebih hebat lagi bagi penggal 2012-2015. 

MELAYU (oleh Baha Zain)

Mana perginya Semenanjung Tanah Melayu
Ke mana lepasnya Pulau Temasik itu?
Berapa helai tinggalnya Utusan Melayu?
Dan apa sudah jadi dengan bahasa Melayu?
Jadi tak malukah mengaku "kita orang Melayu?"

"Tak Melayu Hilang di Dunia"
Kata pahlawan Melayu dahulu kala'
"Hidup Melayu!"
Pekik retorik pemimpin kita
Bergema ke jantung-jantung dewan
Semua terpesona: perasaan terpukau: fikiran tertawan.

Berdosakah kita bercakap tentang Melayu?
"Berakar Melayu, Bernilai Universal
Bersumber Melayu, Bercitra Global"

Demikian akal budinya Melayu itu
Terpendam dalam mutiara pantun dan peribahasa
Daripada Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri dan Za'ba
Terlupa kita memahami halaman-halamannya
Terlalu sinar Menara Berkembar dan Proton Saga
Yang esok lusa mulai pudar atau sirna

Berdosakah kita bercakap tentang Melayu?
"Berakar Melayu, Bernilai Universal
Bersumber Melayu, Bercitra Global"

Aduh! Terlalu kita menyelami makrifat dan makna
Tersesat nafsu antara yang ada dan seolah ada

10.6 Kepada kepimpinan GPMS seluruh negara yang hadir ke PAT pada tahun lepas dan tahun ini, saya mewakili saf kepimpinan GPMS mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan berterusan dari tuan-tuan dan puan-puan. Sesungguhnya amanah ini amat berat namun kami amat bersemangat dan percaya kita akan mampu bekerja bersama-sama bagi memastikan matlamat '4 SEDAR' kita pasti akan tercapai. 

10.7 Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan penasihat dan panel pemikir serta kepimpinan GPMS di seluruh negara yang sudi hadir pada hari ini. Sesungguhnya kita akan terus berusaha dan lantang dalam mempertahankan agenda yang terpahat kukuh sejak tahun 1948, akan kami teruskan. ‘Maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa itu terletak di tangan kami' adalah azimat kita selamanya. 

" TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA"

HIDUP MELAYU, HIDUP MELAYU, HIDUP MELAYU

"GPMS SINGA PERJUANGAN BANGSA"

SEKIAN, WABILLAHITAUFIK WALHIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


Sdr Jais Abdul Karim Presiden GPMS Kebangsaan.

Selamat Berjuang ! MMI.

1 comment:

  1. Merepek la gabungan pelajar mangkuk semenanjung!!

    ReplyDelete

Labels