Followers

Sunday, 5 August 2012

Pengeluaran Caruman KWSP kekal Pada Usia 55 Tahun


Ramai yang menghubungi MMI malah ada yang berjumpa menyatakan kekecewaan mereka apabila  terdengar ura-ura yang menyatakan usia untuk mengeluarkan simpanan KWSP bakal dilanjutkan kepada 60 tahun.

Bagi mereka khususnya yang bekerja swasta semestinya ini merupakan satu bebanan yang tak dapat di terima oleh mereka sebagai rakyat sebuah negara merdeka seperti Malaysia.

"kami adalah penyokong kerajaan malah setiap program transformasi yang digerakkan oleh kerajaan merupakan satu tindakan yang cukup bijak malah sampai kepada rakyat di akar umbi namun dalam soal pengeluaran simpanan KWSP yang merupakan wang hasil titik peluh kami sendiri rasanya tidak kena untuk dinaikkan ke had umur sehingga 60 tahun".

Begitulah kata-kata salah seorang daripada kenalan kepada MMI apabila membicarakan soal simpanan KWSP ini.

MMI melihat dalam isu ini kerajaan perlu mendengar rintihan rakyat di bawah kerana mereka sebenarnya membicarakan tentang hak mereka.Bagi MMI simpanan KWSP ini perlulah dikekalkan kerana rakyat di bawah memerlukan simpanan mereka apabila usia mencecah 50 tahun ke atas.

Banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh rakyat apabila usia sudah mencecah 50 tahun dan sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kepada nasib rakyatnya MMI melihat tindakan terbaru daripada kerajaan dengan mengekalkan had usia 55 tahun bagi sektor swasta untuk pengeluaran simpanan KWSP adalah baik.

Usia untuk pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sektor swasta masih pada 55 tahun, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, kerajaan belum bercadang mengubah peraturan itu pada masa ini, sekalipun usia persaraan untuk pekerja sektor terbabit dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun berkuat kuasa Januari depan.

“Lanjutan daripada keputusan kerajaan melanjutkan umur bersara swasta, ada ura-ura mengenai pengeluaran KWSP dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60. Pada peringkat ini kerajaan tidak bercadang melaksanakan sistem itu,” katanya kepada pemberita.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan keputusan kerajaan mengekalkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sektor swasta pada 55 tahun adalah tepat.

Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata keputusan itu jalan terbaik walaupun kerajaan telah melanjutkan had umur persaraan minimum pekerja swasta kepada 60 tahun.

“Pencarum ketika ini boleh membuat pengeluaran separa KWSP pada usia 50 tahun sementara pengeluaran penuh hanya dibenarkan selepas pencarum bersara iaitu 55 tahun.

“Keputusan ini juga amat kami alu-alukan kerana MTUC sejak awal lagi memberi pilihan kepada pencarum sama ada mahu mengeluarkan wang caruman pada usia 55 atau 60 tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Khalid berkata MTUC juga menjalankan kaji selidik dalam kalangan pekerja swasta tentang pemilihan untuk mengeluarkan wang caruman KWSP pada usia 55 atau 60 tahun.

Katanya hasil kaji selidik mendapati 80 peratus pekerja swasta memilih untuk mengeluarkan wang caruman KWSP pada usia 55 tahun manakala selebihnya pada usia 60 tahun.

Langkah kerajaan itu turut disambut baik Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Omar berkata ini jelas membuktikan kerajaan juga mengambil berat tentang pekerja swasta kerana semua tenaga kerja di negara ini merupakan penjana ekonomi negara.

“Saya harap pencarum sektor swasta merasa lega dengan keputusan ini kerana saya difahamkan sebelum ini ada kebimbangan di kalangan para pencarum setelah ada ura-ura mengatakan had umur pengeluaran penuh KWSP dinaikkan kepada 60 tahun selari dengan batas umur persaraan minimum swasta,” katanya.

Alhamdulillah..

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels