Followers

Monday 10 September 2012

Tun Abdullah Ingatkan Orang UMNO Jangan Cepat Merajuk & 'Tendang Betis Kawan' !!


MMI petang tadi berpeluang mengikuti Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas yang dirasmikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas yang ketuai oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican cukup bermakna bahkan kehadiran para pemuda yang ramai beserta rakan-rakan daripada parti-parti komponen membangkitkan lagi semangat sesiapa saja yang mengikuti persidangan tersebut.

Paling menarik perhatian adalah ucapan perasmian oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sarat dengan nasihat,teguran serta amanat kepada barisan pemuda dan semua yang hadir.

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan anggota Umno agar jangan cepat merajuk dan "tendang betis kawan" jika mahu parti itu menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.



Abdullah berkata dua sikap itu bukan sahaja akan merosakkan Umno malah akan merugikan Barisan Nasional (BN) kerana pembangkang akan lihat parti itu lemah.
   
Menurut beliau sikap seumpama itu bukan semangat atau penjuangan parti, sebaliknya para anggota perlu bersama-sama Umno untuk berjuang dan punya sikap pentingkan Umno demi agama, bangsa dan negara.
   
"Sikap muafakat dalam parti perlu diteruskan demi perjuangan parti kita dan saya tidak mahu dengar ada yang bergaduh sesama sendiri dalam Umno kerana itu akan menjadikan parti kita kelam kabut dan lemah," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.
   
Yang turut hadir Ketua Pemudanya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno.

"Umno perlu bersatu walau apa jua masalah yang dihadapi kerana parti kita adalah tunjang kepada negara dan kaum lain lihat dengan apa yang parti kita buat...mereka juga mula memberi sokongan kepada BN," katanya.



Selain itu, katanya, semua parti komponen dalam BN juga perlu meneruskan sikap hormat menghormati dan bekerja bersama supaya nasib rakyat dapat dibela.
   
"Pemimpin-pemimpin yang ada sekarang ini juga perlu turun padang dan mendengar masalah rakyat, jangan sampai mereka tolak kita kerana sikap pemimpin itu sendiri yang tidak membantu mereka (pengundi)," katanya.
   
Beliau turut mengingatkan anggota Umno supaya menjaga percakapan dan tidak sombong kerana parti itu bersifat penuh kasih sayang.



Sementara itu, Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, memberi jaminan Pemuda Umno akan memastikan Parlimen Kepala Batas menjadi kubu kuat Umno. 
   
Katanya, kehadiran ramai golongan muda termasuk dari pelbagai kaum pada hari ini menunjukkan sokongan mereka terhadap BN semakin meningkat dan beliau yakin Umno akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Kepala Batas.
   
"Umno tidak pernah kalah di Kepala Batas dan Tun Abdullah sendiri menjadi Anggota Parlimen sejak 1978, kami berjanji di hadapan Tun (Abdullah) yang pemuda di Kepala Batas akan memastikan Parlimen kita sebagai kubu kuat Umno sampai bila-bila," katanya.

MMI teruja bertemu Tun Abdullah Ahmad Badawi petang tadi seorang pemimpin yang cukup merendah diri dan disegani oleh rakyat khususnya di Kepala Batas.

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels