Followers

Sunday, 9 September 2012

UMNO Akan Singkir Anggota Sabotaj Parti !! Mana Lebih Baik Singkir Ahli Atau Pemimpin ??


Nampaknya kepimpinan utama parti UMNO benar-benar serius kali ini untuk melihat calon-calonnya menang dalam pilihan raya yang akan datang.MMI menyokong langkah-langkah seperti ini kerana sebagai sebuah parti yang sudah mengjangkau usia lebih dari 50 tahun bukanlah satu perkara mudah untuk mengekalkan momentum perkhidmatannya kerana kadang kalanya prestasi yang ditunjukkan ada turun naiknya.

Hakikat ini sememangnya diakui oleh setiap dari kita dan kerana itulah kepimpinan YAB Datuk Seri Najib Tub Razak bersama-sama YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu mengambil berat akan perkara ini.

Sebagai sebuah parti yang sudah pun mempunyai rekod perkhidmatannya di tambah dengan pelbagai kerenah ahli-ahli termasuk pemimpin , sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan setiap agenda dan perancangan khususnya program tranformasi kerajaan dapat terus dijayakan dengan komitmen serta gerak kerja yang tersusun. 

MUAR 8 Sept. - Mana-mana anggota atau pemimpin UMNO yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan disingkir daripada parti.

Amaran keras itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon.

"Dalam pilihan raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf.

"Presiden pun telah bersetuju, kami tidak memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau kalah calon, kalahlah kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bakri.

MMI menyokong langkah-langkah seperti ini kerana ianya membuktikan bahawa UMNO sebenarnya ikhlas dan tidak pernah membohongi rakyat khususnya berkaitan sikap segelintir pihak-pihak tertentu dalam parti yang sering kali menimbulkan masalah kepada parti dengan bertindak mensabotaj parti.

Tindakan untuk menyingkirkan mereka-mereka yang didapati mensabotaj parti merupakan satu usaha terbaik kerana dalam suasana politik hari ini hanya ahli dan mereka yang benar-benar mendokong perjuangan parti sahaja yang harus diutamakan kerana perjuangan parti untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara jauh lebih penting.

Sejajar dengan amaran keras yang telah dikeluarkan oleh kepimpinan utama parti maka mereka-mereka yang di luar sana seharusnya hari ini lebih peka dan faham akan maksud yang sudah disampaikan.

Kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang hari ini sedang menggalas tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing hayatilah maksud di sebalik amaran tersebut.

MMI ingin mengulas perihal UMNO bakal menyingkirkan mana-mana ahli sekiranya terlibat dalam kerja-kerja sabotaj walaupun mungkin ada sesetengah pihak yang akan merasa kurang senang dengan pendekatan yang MMI ambil ini tetapi percayalah ianya untuk kebaikan parti .

Dalam soal sabotaj parti ianya melibatkan banyak pihak dan banyak faktor.Bagi MMI lah seharusnya keutamaan diberikan kepada calon dan pemimpin itu sendiri bilamana selalunya kerja-kerja sabotaj parti bukan saja berlaku pada ketika waktu pilihan raya tetapi ada sesetengahnya sudah berlaku sebelum pilihan raya itu sendiri.

Malah ungkapan mana-mana ahli itu sendiri sebenarnya mensasarkan kepada sesiapa saja tak kira ahli biasa mahu pun dikalangan pemimpin.

Dari pemerhatian MMI gerak kerja sabotaj parti seharusnya disasarkan kepada para pemimpin kerana di sinilah gerakan-gerakan sabotaj bermula.Mana mungkin berlaku sesuatu gerakan sabotaj sekiranya ianya tidak didalangi oleh mana-mana pemimpin?

Percaya atau tidak ada diantara pemimpin parti dari semua peringkat termasuk pemimpin yang bertaraf wakil rakyat sering melakukan perkara-perkara yang menyebabkan berlakunya kepincangan dan dari situlah bermulanya apa yang kita gelarkan sebagai sabotaj.

Ada diantara pemimpin yang mewakili kawasan tetapi dalam masa yang sama tidak mesra rakyat.

Ada pemimpin yang urusan politik kawasannya diuruskan oleh orang-orang luar yang tidak faham dan peka dengan suasana politik kawasan seterusnya membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat.

Ada pemimpin yang bermegah-megah dengan segala harta yang dimiliki dan ianya menyumbang kepada rasa meluat masyarakat terhadap parti.

Ada pemimpin yang membelakangkan jentera parti dengan meletakkan kepercayaan kepada mereka-mereka yang langsung tidak terlibat dalam urusan parti di kawasan.

Ada pemimpin yang tidak langsung dapat membezakan budaya masyarakat kampung dan bandar maka sudah pasti ianya menimbulkan rasa kurang senang masyarakat.

Ada pemimpin yang langsung tidak boleh ditegur malah setiap teguran hanya dibakul sampahkan kerana terlalu percayakan pegawai-pegawai di kiri dan kanannya , justeru ianya mengundang rasa bosan rakyat dan menimbulkan kebencian terhadap parti.

Ada pemimpin yang teruja untuk berkhidmat dan kini masih mahu berkhidmat sedangkan mereka lupa tindakan tersebut bakal mengelirukan rakyat seterusnya mengundang kepada perpecahan.

Ada pemimpin yang masih bermimpi kononnya rakyat masih setia serta menyokong beliau maka angan-angan itu bakal melalaikan pemimpin untuk berkhidmat kepada rakyat dan natijahnya parti menjadi mangsa .

Dan paling penting adalah pemimpin yang langsung tidak memahami dasar parti dan aspirasi Presiden parti khususnya yang bercakap manis umpama madu tetapi gerak kerja sepahit hempedu.

Bukankah kesemua di atas itu adalah sikap-sikap mereka yang sebenarnya mensabotaj parti ?

MMI bukan berniat untuk menjahanamkan mana-mana individu tetapi atas dasar mahu melihat parti UMNO terus utuh dan kukuh.

Bagi MMI pilihan terbaik adalah menyingkirkan mana-mana pemimpin yang melakukan kerja-kerja sabotaj parti seperti mana yang MMI catatkan kerana lebih adil daripada hanya mengenakan tindakan terhadap seorang dua ahli yang menjadi budak suruhan serta mangsa kepada kerakusan seseorang pemimpin.

Percayalah sekiranya perkara ini menjadi asas kepada proses penambahbaikkan parti UMNO , MMI yakin tidak perlu mengeluarkan sebarang amaran pun kerana yang tinggal dan berjuang dalam parti adalah mereka-mereka yang memahami prinsip dan asas perjuangan parti keramat UMNO. 

Tahniah kepada YAB Presiden dan YAB Timbalan Presiden UMNO kerana mengeluarkan amaran sedemikian.Cumanya biarlah ianya kena dengan caranya jangan hanya memicit seekor semut sedangkan sarangnya berselerak dikiri dan kanan kita.

Kepada mana-mana pihak yang terasa MMI mohon maaf kerana tiada niat lain selain dari mahu melihat UMNO terus relevan menjadi parti yang mampu membela nasib rakyat seterusnya Agama,Bangsa dan Negara.

Psstt Kadang-kadang makan cili ni memang pedas sikit..nama pun politik !!

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels