Followers

Saturday, 8 September 2012

Akhirnya Nurul Syuhada Tinggalkan TV3 !!


Nurul Syuhada satu nama yang tidak asing lagi buat peminat siaran TV3 apatah lagi wanita comel lagi petah berbicara ini sentiasa senang dan ramah dengan sesiapa sahaja membuatkan beliau mempunyai peminat yang tersendiri.

Beliau yang baru-baru ini dilanda kontroversi kerana isu perkataan daif sewaktu membuat liputan sambutan hari kemerdekaan negara telah pun mengesahkan perletakan jawatan beliau bersama Media Prima Berhad dan 7 September 2012 merupakan hari terakhir beliau bersama TV3.

Ramai yang beranggapan perletakan jawatan Nurul adalah kerana isu Bintulu namun ternyata ianya tidak kena mengena dengan perkara tersebut.

“Semua perkara berlaku sekarang dan tidak ada kena-mengena dengan insiden Bintulu. Tolong jangan kaitkan ia dengan isu panas ini kerana bagi saya ia hanya kebetulan saja. Lagipun, saya bukan nak insiden ini berlaku pun.

“Keputusan perletakan jawatan ini dibuat pada bulan lepas iaitu sehari selepas saya mengambil keputusan untuk berhijab. Saya menghantar notis perletakan jawatan pada bulan lepas iaitu sebelum kes Bintulu itu berlaku.”

“Tidak dinafikan pihak pengurusan agak terkejut dengan keputusan saya ini namun saya memang kena juga pilih sama ada karier ataupun famili. Saya juga nak berehat dan kalau boleh tak nak ada sebarang komitmen dengan kerja. Selain itu, saya juga nak berikan tumpuan kepada keluarga dan merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Psikologi nanti.

“Malah InsyaAllah, saya juga ingin memiliki cahaya mata dan ia juga sedikit sebanyak menyumbang ke arah itu. Pendek kata, saya mahu ruang peribadi dalam kehidupan keluarga saya,” ujar isteri kepada Raja Amir Shah Raja Azwa ini yang mengakui berasa sayang untuk meninggalkan bidang penyiaran yang sudah diceburinya selama lebih enam tahun itu.

“Sudah tentu rasa sayang sangat tapi saya kena fikir masa depan saya juga. Saya sayang dengan TV3 dan sebab itulah saya akan masih bersama mereka lagi. Namun, walau bagaimanapun ia hanyalah sebagai kerja separuh masa saja.”

Ditanya adakah selepas ini dengan perletakan jawatannya itu akan lebih membuka ruang untuknya menerima tawaran pengacaraan di stesen televisyen lain, Nurul memberitahu, “Saya dilahirkan dari TV3, jadi saya tak terfikir mengenai tawaran di stesen televisyen lain. Saya jenama yang agak kuat juga di TV3, jadi saya tak rasa mereka nak mengambil saya di stesen televisyen mereka.”

Kepada semua sama-sama kita doakan semoga Nurul akan terus sukses dan pastinya ramai yang akan merindui seorang pengacara seperti Nurul Syuhada selepas ini.

Psstt MMI pun sedih juga lepas ni tak dapatlah nak nengok Nurul lagi dalam MHI..

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels