Followers

Sunday, 30 December 2012

Alhamdulillah REBAT RM200 Ke Kabinet 2 Jan 2013


Isu rebat telefon pintar yang dihadkan kepada set bernilai RM500 akan dibawa ke perhatian mesyuarat Kabinet 2 Januari ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

"Pandangan itu saya fikir positif dan kami akan cuba membincangkannya secepat mungkin. Insya-ALLAH pada 2 Januari depan saya akan bawa perkara untuk mendapat perhatian Kabinet dan juga Perdana Menteri.

"Pandangan itu kita terima dengan terbuka, saya fikir ada baiknya kita pertimbangan kesukaran golongan muda untuk memiliki telefon pintar berebat ini lebih RM500,” kata beliau kepada pemberita sebagai menjawab desakan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya had tersebut dimansuhkan.

Semalam, Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mengehadkan rebat RM200 kepada telefon pintar berharga RM500 sahaja.

"Tak perlu ada had harga untuk rebat yang diberi untuk telefon pintar," kata beliau dalam mesej yang diajukan kepada Rais, menerusi Twitter.

Dalam mesej berasingan, Khairy menulis bahawa ucapan Bajet 2013 hanya menyebut tentang pendapatan belia yang layak menerima rebat telefon pintar, bukannya harga telefon pintar.

Menjawab mesej pengikutnya, Khairy berkata: "Setuju. Kalau nak bagi rebat RM200, bagi sajalah kepada semua telefon pintar."

Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau menyatakan demikian ekoran rungutan orang ramai berhubung laporan media bahawa SKMM telah menerbitkan kriteria menikmati rebat RM200, antara lain pembeli seharusnya warganegara Malaysia berumur 21 tahun hingga 30 tahun; berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500, pelanggan jalur-lebar mudah-alih sedia ada atau pakej baru dan hanya satu telefon pintar untuk seorang belia.

Menurut notis SKMM, program rebat di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) telah diperuntukkan sejumlah RM300 juta oleh kerajaan yang akan memberi manfaat kepada 1.5 juta belia.

Permohonan untuk rebat adalah terbuka dari 1 Januari hingga 31 Disember depan dan para belia yang berminat boleh memohon melalui laman web SKMM.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dipetik berkata, had harga adalah perlu kerana dasar itu direka untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan para belia untuk memiliki telefon pintar sendiri.

Mengulas lanjut pakej perkhidmatan internet, Rais berkata, pihaknya akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula kadar internet yang ditawarkan supaya tidak membebankan golongan muda apabila rebet telefon pintar itu mula diagihkan bulan depan.

"Semua syarikat telekomunikasi (telco) diminta untuk menimbang bukan saja kadar kandungan data internet saja tetapi juga hal yang melibatkan panggilan terputus," jelasnya.

Sehubungan itu kata beliau, kementeriannya akan meminta pihak telco supaya memaparkan jumlah panggilan terputus yang berlaku dalam beberapa bulan yang terlibat.

"Bila masalah ini berlaku, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang dipersalahkan orang ramai.

"SKMM di bawah peraturannya boleh mengenakan denda nominal dan denda pertengahan bagi mereka yang tidak dapat mengatasi masalah panggilan terputus tersebut," katanya.

Berhubung dengan isu rebat RM200 bagi telefon pintar baca juga Di Sini

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels