Followers

Tuesday 1 January 2013

Di Sebalik Amanat Haji Hadi - Rakyat Perlu Tahu !!


BERDASARKAN rekod-rekod polis, Amanat Haji Hadi itu telah dipergunakan oleh PKM yang masih bergerak aktif sekitar 1960-an, 1970-an dan pertengahan 1980-an. PKM pada masa itu mengikuti setiap perkembangan yang berlaku dalam masyarakat walaupun mereka tinggal di dalam hutan atau di sempadan negara jiran.

Mereka menyalahkan kerajaan di atas segala isu yang membabitkan kepentingan rakyat. Mereka menggunakan apa sahaja cara untuk mengkritik kerajaan seperti radio bawah tanah dan penerbitan secara sulit. Dalam isu kafir mengkafir pun PKM bangkitkan, tetapi ini bukan bermakna mereka sokong Pas. Mereka mengeksploitasi Pas sebagai parti pembangkang untuk mendapatkan keuntungan politik.

Sejarah PKM menunjukkan walaupun pada masa itu, ideologi komunisme tidak suka agama, PKM mengeksploitasinya. Pada 12 April 1965, PKM menubuhkan Parti Persaudaraan Islam (PAPERI) semacam satu subsidiarinya. Matlamat PAPERI adalah untuk memperluaskan pengaruh komunis dalam kalangan masyarakat Melayu dengan menguar-uarkan kononnya komunisme tidak bertentangan dengan Islam. Kononnya Islam dan komunisme boleh tidur sebantal. PAPERI juga membuat kenyataan menyambut fatwa dan hujah Pas yang mendakwa kerajaan tidak Islamik. PAPERI diketuai oleh Abdullah CD yang juga ketua Rejimen Ke-10 PKM yang berpangkalan di sempadan Kelantan-Thailand.

Bagi melemahkan kepercayaan orang Melayu, PKM turut menyelewengkan dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadis. Perkara ini dilakukan dalam risalah bertarikh 28 Disember 1982 yang bertajuk 'Bersatulah mengikut jejak Rasulullah melawan ketidakadilan dan membela kepentingan rakyat'. Jika diperhatikan, risalah itu dikeluarkan lebih setahun selepas Amanat Haji Hadi. Risalah tersebut, antara lain, menyeru umat Islam di Malaysia supaya bangun menentang kerajaan dan menyokong perjuangan bersenjata PKM untuk keadilan, untuk rakyat dan untuk kemerdekaan penuh tanah air. Orang Melayu telah diserang Pas dengan fatwa dan PKM pula semacam mempergunakan fatwa itu. Bagaimanapun, ini bukan bermakna Abdul Hadi bersetuju atau bersekongkol dengan posisi PKM itu.

Kemudian, PKM menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM) pada 24 Mei 1981. Perbuatan kafir mengkafir pada masa itu semakin hebat. Matlamat PKMRM adalah menyatupadukan golongan-golongan sosialis, nasionalis, komunis dan agama. Tindakan ini mirip langkah Presiden Indonesia, Sukarno, pada awal 1960-an sebelum pemerintahannya berakhir pada 1965. Sukarno memperkenalkan gagasan NASAKOM iaitu akronim bagi nasionalis, agama dan komunis bagi menyatupadukan tenaga-tenaga progresif-revolusioner dan tenaga-tenaga yang bersedia mengangkat senjata untuk mencapai sesuatu kejayaan. Sukarno seorang nasionalis yang cenderung kepada fahaman Marxisme dan NASAKOM ialah wadah politik Sukarno untuk menjayakan projek Ganyang Malaysianya.

Lantas PKM, seperti terilham oleh Sukarno, mempergunakan Amanat Haji Hadi untuk mengeksploitasi isu agama di Malaysia. Mereka mendakwa kerajaan menekan golongan yang benar-benar menjalankan dakwah Islamiah; kerajaan mengutip zakat dan fitrah secara paksa dan menyimpannya di dalam bank; pentadbiran negara ini dan dasar kerajaan BN bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar dan aktiviti dakwah yang dijalankan oleh kerajaan hanya memuji-muji pihak berkuasa walaupun pada hakikatnya al-Quran dan Hadis diselewengkan. PKM ibarat menangguk di air yang keruh. Pengikut Abdul Hadi yang taksub tampak gembira kerana sokongan PAPERI seolah-seolah menunjukkan perbuatan mereka itu betul.

Bagi pihak polis pada masa itu, apabila PKM telah mengeksploitasi keadaan umat Islam yang porak peranda dan keliru akibat Amanat Haji Hadi, analisis yang dibuat ialah PKM telah memperluaskan barisan bersatunya walaupun perkara itu mungkin tidak disedari oleh Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz dan ahli-ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang lain. PKM telah menggembleng Amanat Abdul Hadi dalam barisan bersatunya untuk mencapai cita-citanya.

Banyak pihak mengaitkan Amanat Haji Hadi dengan peristiwa Memali. Adakah dakwaan itu ada asasnya? Apakah peristiwa itu lebih menyangkut keperibadian Ibrahim Libya sendiri?

ABDUL RAHIM: Pada pemahaman saya, Amanat Haji Hadi telah menyemarakkan lagi api kafir mengkafir ini supaya menjadi lebih hebat dan meluas. Bukan setakat berlegar di sekitar Kelantan, Terengganu dan sebahagian Pahang sahaja malah di seluruh negara lebih-lebih lagi di Kedah dan Perlis yang kuat dengan sentimen pro-Pas ketika itu.

Walaupun secara umumnya orang Melayu tidak sukakan konflik pertumpahan darah tetapi ada pemimpin, dengan kelebihan-kelebihan tersendiri, berupaya menggunakan Amanat Haji Hadi untuk membakar semangat pengikutnya. Contohnya ialah Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya. Salah satu Amanat Haji Hadi yang dipegang kuat oleh beliau ialah kalau mereka mati bertempur dengan pihak kerajaan atau UMNO, mereka mati dalam keadaan syahid. Amanat itu menggalakkan pertumpahan darah dan menjamin terus masuk syurga kerana telah mati syahid.

Ibrahim yang dilahirkan di Kampung Charok Putih, Baling, Kedah pada 1942 menerima pendidikan agama pada peringkat awal di kampung tersebut dan di Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan. Beliau seterusnya belajar di Maktab Jamaliah di Madras, India dan seterusnya ke Darul Ulum, Uttar Pradesh, India. Setelah beroleh ijazah, Ibrahim melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dan menerima ijazah Sarjana Muda Sastera Undang-Undang Islam (Syariah). Kemudian, beliau ke Libya yang pada masa itu masih diperintah oleh Muammar Gaddafi untuk mendapatkan diploma dalam bidang dakwah.

Sekembalinya ke Malaysia pada 1974, Ibrahim menjalankan kegiatan pendakwah Islam yang dibiayai kerajaan Libya dan dipercayai beliau seorang operatif negara tersebut. Mungkin Pas tidak sedar pembabitan Ibrahim dengan pihak-pihak tertentu di Libya. Serentak itu, beliau bertugas di Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri dan pernah memberi ceramah agama menerusi saluran radio Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Setelah meletakkan jawatan di Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri pada 1976, Ibrahim pulang ke kampung asalnya dan mengajar di Madrasah Ittifaqiah Islamiah di sana. Beliau bergiat aktif dalam bidang politik bersama Pas dan pernah menjadi calon Pas pada Pilihan Raya Umum 1978 dan 1982 tetapi beliau kalah. Ibrahim memegang jawatan penting dalam parti iaitu Ketua Dewan Pemuda Pas Daerah Baling, Ahli Jawatankuasa Pas Kedah, Ahli Jawatankuasa Pas Daerah Baling dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Pas Kedah.

Ibrahim menubuhkan Madrasah Islahiah Diniah yang dikendalikannya sendiri di Kampung Memali. Ada maklumat mengatakan madrasah tersebut menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Libya. Selepas Amanat Haji Hadi timbul, Ibrahim giat mengajar penduduk kampung bagi menyokong amanat yang mengatakan UMNO itu kafir.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, Ibrahim hendak berperang dengan kerajaan. Atas sebab itu, beliau perlu ditangkap di bawah ISA. Risikan pihak polis mendapati kalau Ibrahim tidak ditangkap, ajarannya akan merebak dan pengikutnya juga terlalu taksub dengan beliau.

Bagaimanapun, Ibrahim tidak mahu ditangkap dan ingin menggunakan kedudukannya sebagai guru madrasah untuk mempertahankan diri daripada ditahan. Itulah punca sebenar peristiwa Memali.

Ibrahim memperkukuhkan kedudukannya dengan mengumpulkan senjata api, pedang, keris dan pisau. Beliau mengajar cara-cara menggunakan azimat untuk kebal dan memandikan pengikutnya untuk menambahkan kekebalan. Semua persiapan itu dilakukan dalam masa dua minggu sebelum pihak polis datang untuk menahan Ibrahim.

Ibrahim pada mulanya menerima khabar tentang tangkapan itu pada 5 November 1985 dan beliau seterusnya berbincang dengan rakan-rakannya tentang strategi bagi mengelak daripada tertangkap. Beberapa mesyuarat telah diadakan dan mesyuarat paling penting adalah pada malam 18 November 1985 iaitu malam sebelum peristiwa Memali berlaku. Mesyuarat yang bertempat di Madrasah Islahiah Diniah itu menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil dalam dua senario yang difikirkan mereka mungkin berlaku.

Dua senario itu ialah, sekiranya serbuan dapat dipatahkan dan pihak polis berjaya ditewaskan, kumpulan Ibrahim Libya akan menawan Balai Polis Baling bersama pegawai dan anggota-anggotanya. Kumpulan itu juga berniat hendak menangkap wakil rakyat dan orang-orang penting UMNO sebagai tebusan dan menempatkan mereka di Balai Polis Baling.

Mereka juga akan membuat tuntutan agar Perdana Menteri menyerahkan kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia dan semua orang Pas dibebaskan dari tahanan. Mereka juga merancang untuk meneruskan serangan hingga ke Wisma Negeri di Alor Star dan menawan Menteri Besar dan Exco-Exco kerajaan negeri serta mengisytiharkan pemerintahan Islam.

Sebaliknya, jika kumpulan mereka gagal mematahkan serbuan polis, mana-mana pengikut yang sempat melarikan diri diminta bersembunyi di Gunung Bayu, Baling untuk bertapa mencari kekuatan batin sambil memikirkan dan merancang serangan balas. Sekiranya ramai yang dapat meloloskan diri ke Gunung Bayu, latihan serangan balas akan dijalankan.

Selain itu, sebahagian pengikut yang melarikan diri itu dikehendaki menghubungi orang-orang tertentu untuk menyusun strategi baharu bagi menjatuhkan kerajaan. Antara tindak balas yang dirancang adalah menyerang orang UMNO termasuk ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan pemimpin parti. Mereka juga merancang untuk menyerang Balai Polis Baling dan Unit Kawalan Kawasan (UKK) Tanjung Pari untuk mendapatkan senjata sekiranya ada kemampuan.

Seorang saksi yang juga orang kanan Ibrahim Libya memberitahu, pada mulanya kira-kira 200 pengikut kumpulan itu berkumpul di rumah Ibrahim untuk berkawal di tempat-tempat tertentu. Mereka mempunyai senjata seperti bom api, bom ikan dan buluh runcing. Kira-kira 30 minit selepas waktu Subuh, suasana riuh rendah apabila ada khabar mengatakan pihak polis telah tiba di kawasan berhampiran madrasah. Selepas itu, hanya kira-kira 50 pengikut Ibrahim yang tinggal.

Pihak polis mula melancarkan gerakan menangkap Ibrahim pada pukul 8.30 pagi, 19 November 1985. Mereka bukan berniat untuk menyerang tetapi cuma mahu menahan Ibrahim dan dua pengikutnya di bawah ISA. Selain itu, ada tiga individu yang dikenakan waran tangkap dan 30 suspek lain atas pelbagai kesalahan jenayah disyaki bersembunyi di rumah Ibrahim.

Sekumpulan pegawai dan anggota polis yang mara ke kawasan madrasah cuma membawa pongkes, cota dan gas pemedih mata sebagai langkah mengelakkan kemalangan pada orang awam sewaktu tangkapan dilakukan.

Sebaik sahaja mereka mara kira-kira 50 meter, mereka telah diserang oleh pengikut Ibrahim dengan parang, pedang dan buluh runcing. Pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan pengikut-pengikut Ibrahim. Pada ketika itu juga polis diserang hendap dengan beberapa das tembakan senjata api yang menyebabkan seorang pegawai berpangkat Inspektor dan seorang anggota berpangkat Sarjan terkorban serta-merta sementara dua anggota berpangkat Konstabel cedera parah dan meninggal dunia tidak lama kemudian. Salah seorang pengikut Ibrahim kemudian meluru untuk menyerang pihak polis sambil membawa sebilah parang panjang. Polis terpaksa menembaknya untuk mempertahankan diri dan pengikut Ibrahim itu juga mati.

Pucuk pimpinan Pas dari dahulu hingga sekarang seolah-olah tidak mahu mengakui Amanat Haji Hadi merupakan punca peristiwa Memali. Komen Tan Sri?

ABDUL RAHIM: Memang itulah sikap mereka, penafian. Tetapi polis mempunyai cukup banyak bukti menunjukkan Ibrahim Libya cukup taksub dengan amanat itu dan menuntut pengikut-pengikutnya patuh kepada amanat tersebut.

Saya sangat musykil dengan sikap pucuk pimpinan Pas pada masa itu terhadap peristiwa Memali. Mereka tahu Amanat Haji Hadi itu hanya satu strategi politik untuk memenangi pilihan raya. Dalam hati dan sanubari masing-masing, mereka tahu apakah hakikat sebenar di sebalik Amanat Haji Hadi yang berakar umbi sejak awal 1960-an.

Demi kepentingan politik, pucuk pimpinan Pas telah membuat fatwa mengatakan kematian Ibrahim Libya dan para pengikutnya adalah syahid. Mereka tidak perlu dikafankan dan mereka ditanam dengan pakaian berlumuran darah. Nauzubillahiminzalik. Saya betul-betul terkilan. Sehingga sekarang mereka tidak mengubah pendirian ini.

Kita bernasib baik kerana setakat ini cuma timbul satu insiden berdarah akibat langsung daripada Amanat Haji Hadi. Sekiranya ada lebih dari seorang pemimpin seperti Ibrahim Libya muncul di tempat-tempat lain secara serentak atau berturutan selepas peristiwa Memali, malang sungguhlah negara kita. Allah SWT telah menghindari kita daripada malapetaka korban jiwa yang sia-sia yang lebih ramai bilangannya.

Pada pemahaman saya, Allah SWT juga telah menjauhkan kita daripada akibat yang lebih parah iaitu sekiranya peristiwa sama seperti Memali berlaku di tempat-tempat lain, ramalan saya ialah ada kemungkinan, apabila mereka yang terbabit diburu oleh pasukan keselamatan, mereka akan lari masuk ke hutan untuk perlindungan.

Kesannya, bilangan anggota PKM akan bertambah. Sejarah menunjukkan perkara itu memang pernah berlaku. Lambat-laun mereka akan menerima ideologi komunis dan dilatih untuk menjadi anggota gerila komunis. Tidakkah pada peringkat awal Darurat 1948 dahulu ada orang Melayu yang kuat pegangan agama menjadi komunis setelah masuk hutan untuk mengelak tangkapan pihak berkuasa?

Amanat Haji Hadi mengharamkan kerjasama dengan parti bukan Islam. Bagaimana pula tentang pakatan antara Pas dan DAP?

ABDUL RAHIM: Perkembangan terkini jelas menunjukkan Abdul Hadi yang disokong Nik Abdul Aziz telah mengubah taktik perjuangan Pas.

Seolah-olah amanat itu telah dikendurkan. Abdul Hadi tidak lagi bercakap tentang penubuhan negara Islam tetapi mengubah haluan Pas untuk menubuhkan negara berkebajikan. Seperti yang diulas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, dalam Utusan Malaysia pada 24 Disember lalu, Abdul Hadi dan pucuk pimpinan Pas telah mengubah dasar parti untuk menawan Putrajaya. Mereka perlukan sokongan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam.

Pada hemat saya, Abdul Hadi ketika menyampaikan Amanat Perdana Pemangku Presiden khusus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 18 Januari 2003 jelas telah mengingkari diri sendiri dan parti. Isi ucapannya sarat dengan idea-idea bahawa untuk mencapai kuasa politik, Pas perlu menganggap pengundi sebagai pelanggan dan pelanggan adalah segala-galanya. Tidak timbul lagi soal kafir mengkafir. Beliau menyebut, oleh kerana Pas memerlukan sokongan lebih ramai pengundi pelbagai kaum dan latar belakang agama, maka sukar bagi Pas untuk menang jika parti itu berdiri di atas wadah Pas sahaja. Tidakkah ini seperti beliau hendak mengkafirkan pengikut Pas kerana telah mengizinkan politik suku agama suku?

Beliau menyuarakan dalam ucapan itu supaya Pas membuat pengorbanan dengan tidak memasukkan persoalan negara Islam dan pelaksanaan hudud di peringkat Persekutuan. Katanya, peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan di peringkat Persekutuan. Ini sudah terbalik daripada intipati amanat yang disampaikannya sendiri pada 1981.

Abdul Hadi juga menegaskan bahawa sekiranya pembangkang menang, mereka akan menubuhkan sebuah kerajaan yang demokratik dan adil. Kerajaan itu akan mendukung Perlembagaan sedia ada. Penegasan ini cukup bertentangan dengan Amanat Haji Hadi pada 1981 yang mengatakan Perlembagaan kafir dan undang-undang jahiliyah. Pendek kata, kerjasama politik antara Pas dan DAP atau 'tahaluf siyasi' betul-betul telah menjadikan Pas serta ahli-ahlinya semacam terkena 'sumpahan kekafiran' seperti tujuan asal Amanat Haji Hadi itu hendak ditimpakan ke atas UMNO dan ahli-ahlinya.

Sebagai kesimpulan, wajarkah Abdul Hadi menarik balik amanat itu?

ABDUL RAHIM: Pada pandangan saya, adalah lebih wajar bagi Abdul Hadi menarik balik amanat itu untuk menghapuskan salah faham dan kekacauan dalam masyarakat. Bagi saya, beliau harus bertaubat dan meminta maaf kepada semua pihak yang telah menerima padah buruk kerana patuh kepada Amanat Haji Hadi.

Pas sebagai sebuah parti politik tidak sepatutnya mengkafirkan sesama Islam walau setinggi mana pun kemahuan politik mereka untuk menegakkan sebuah negara Islam. Sebagai pertubuhan Islam, Pas sepatutnya berdakwah untuk menarik orang bukan Islam masuk Islam, bukannya mengkafirkan orang Islam.

Saya juga berpendapat, satu kajian ilmiah oleh pihak-pihak yang pakar di bidang berkenaan patut dijalankan untuk menentukan sejauh mana isu kafir-mengkafir ini, dari mula hingga ke tahap Amanat Haji Hadi pada 1981, telah memecahbelahkan kehidupan kekeluargaan orang Melayu dan perpecahan dalam masyarakat Melayu amnya.

Kepada anda diluar sana gunakan akal dan fikiran anugerah tuhan dalam membuat sebarang pertimbangan khususnya yang berkaitan dengan soal agama Islam.Rujuklah kepada mereka yang benar-benar mendalami agama bukannya dengan mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan parti.

Malaysia adalah negara kita , tidak ada jalan lain selain dari mempertahankannya kerana disinilah kita bakal berjuang dan disinilah kita bakal bersemadi.Maka biarlah persemadian kita dalam suasana umat Islam bersatu dan Islam terus kuat dan dihormati oleh semua pihak.

sumber utusan malaysia

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels