Pada saat semua barisan pimpinan Pas berkumpul meraikan majlis persaraan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim di sini semalam, kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Salor, Datuk Husam Musa tidak kelihatan.
Tindakannya tidak menghadiri majlis yang tamat pada pukul 1 petang itu menimbulkan tanda tanya memandangkan beliau merupakan antara orang kesayangan bekas Menteri Besar itu.
Tindakan itu menggambarkan Husam masih berkecil hati dan kecewa kerana tidak tersenarai sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan terus mengambil tindakan memencilkan diri.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika ditemui selepas majlis itu berkata, beliau tidak nampak kelibat Husam pada majlis tersebut.
“Husam tidak nampak pun pada majlis ini. Kita jemput semua, wakil rakyat, pemimpin-pemimpin Pas dan yang membuat jemputan Unit Sumber Manusia, kita hadir sahaja,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Nik Aziz menyerahkan dokumen tugas jawatan Menteri Besar baharu kepada penggantinya, Datuk Ahmad Yaakob.
Ditanya mengenai Husam, Mohd. Amar berkata, adalah satu situasi yang biasa apabila seseorang berasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan atau tindakan oleh pihak lain.
“Tidak berpuas hati merupakan perkara biasa dan bagi kita, benda ini tidak pelik. Ia bukan masalah. Isunya di sini adalah Istana Kelantan tidak berkenan. Menteri Besar pun sudah jelaskan, jadi itulah jawapannya sama ada kita puas hati atau tidak, itulah kenyataannya.
“Kalau hendak angkat sumpah mesti depan Tuanku, kalau Tuanku tidak setuju, sesiapa pun tidak boleh. Perkara ini sudah jelas,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas yang dibangkitkan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Mohd. Amar berkata, Pas telah membuat pendirian tidak akan adakan perbincangan dan kerjasama dengan UMNO.
Katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membuat pendirian dan ia disokong oleh ahli Pas yang senada dengan keputusan itu.sumber
MMI.
No comments:
Post a Comment