TERKADANG kita berasa cukup tenang apabila melihat orang tersenyum kepada kita. Ada orang kata, senyuman pengubat segala masalah.
Namun bukan semua orang mampu tersenyum setiap masa kerana lumrah manusia, kalau hidup dibelenggu masalah, mula lah ada yang tarik muka!
Tapi kehidupan sebagai Yang Berhormat (YB), menuntut semua itu dikorbankan. Namun itu jugalah resepi kejayaan
"Biar senyuman yang menjadi penambat hati rakyat. Itulah resepi kejayaan utama yang perlu ada pada setiap calon," demikian kata balu kepada Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia pada 26 Jun lalu.
Nasihat itulah yang dititipkan Azizah Nik Omar, 53, kepada calon BN untuk PRK Dun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman bagi memulakan langkah awal jika memenangi kerusi itu menggantikan arwah suaminya.
Azizah yang turut terlibat di dalam aktiviti Persatuan Srikandi Isteri Wakil Rakyat Terengganu turut mengingatkan calon muda itu supaya "cool" dalam apa jua masalah yang akan dihadapi setelah bergelar "orang politik".
"Dalam dunia politik ini, banyak cabaran dan dugaannya. Rakyat akan datang jumpa kita buat aduan walaupun isu kecil, jadi pemimpin ini kena sabar.
"Perlu bijak guna psikologi," katanya.
Bagaimanapun, sifat ramah dan murah dengan senyuman kekal menjadi resipi utama untuk membentuk hubungan yang baik dengan rakyat.
Perlu banyak belajar
Beliau turut mengimbau sifat Allahyarham yang sentiasa dihormati rakyat kerana sikap pemurah dan ramah mesra sehingga akhirnya diangkat menjadi wakil rakyat.
"Tengku Zaihan orang muda, saya tengok dia memang rajin senyum, eloklah itu.
"Tapi dia perlu banyak belajar, hati rakyat itu yang penting perlu ditambat, kalau kita baik, ramah, pandai ambil hati, macam mana sentimen politiknya pun kita akan dihormati," katanya lagi.
Tambahnya, kehadiran isteri Tengku Zaihan yang menceburi bidang pendidikan untuk membantu suami juga penyumbang kepada kejayaan.
"Isteri Tengku Zaihan juga kena bantu suaminya, baru orang tengok kedua-duanya baik.
"Demo keno turun kenal ore kampung," katanya dalam loghat daerah Kuala Besut.
Sementara itu, cahaya matanya yang bongsu Najihah A. Rahman, 19 turut mengakui Tengku Zaihan yang gemar tersenyum sama seperti arwah bapanya.
"Saya tengok dia suka tersenyum, sama macam ayah.
"Harap dia pun suka turun padang layan rakyat," katanya.sumber
MMI
No comments:
Post a Comment