Followers

Saturday 10 January 2015

CHARLIE HEBDO Adakah Islam Harus Di Persalahkan ??

Walaupun tiada justifikasi dapat diberikan berhubung serangan ke atas pejabat akhbar Charlie Hebdo, mingguan satira itu juga dilihat sengaja mengundang padah.

Itu antara sentimen yang diutarakan kolumnis New York Times (NYT), Nicholas Kristof dalam satu laporannya bertajuk ‘Is Islam to blame for the shooting at Charlie Hebdo in Paris? (Adakah Islam harus dipersalahkan atas serangan Charlie Hebdo di Paris?)

Dalam kolumnya, Kristof mengatakan sejurus serangan penembak bertopeng yang meragut 12 nyawa itu, ramai dengan serta-merta membuat kesimpulan bahawa kejadian tersebut pastinya didalangi kumpulan pelampau Islam.

Katanya, adalah mungkin lumrah bagi masyarakat untuk membuat kesimpulan sedemikian memandangkan akhbar mingguan, Charlie Hebdo pernah mempersendakan Nabi Muhammad dengan karikatur yang dianggap biadap dan golongan fanatik Islam sememangnya akan menggunakan alasan itu untuk bertindak balas.

Kristof berkata, susulan peristiwa ngeri seperti pengeboman kereta api Madrid pada 2004, pembunuhan tebusan baru-baru ini di sebuah kafe di Sydney, dan hampir semua keganasan yang dilakukan atas nama agama, ramai telah mengaitkan Islam dengan keganasan.

Walau bagaimanapun, akhbar satira itu juga turut bersalah kerana mempersendakan agama-agama lain, contohnya penghinaan terhadap kitab ‘Bible’ masyarakat Kristian dan ‘Torah’ milik masyarakat Yahudi.

Namun kealpaan banyak pihak yang tidak terfikir akan kemungkinan kumpulan fanatik agama lain (selain Islam) mampu melakukan serangan itu, pada pendapat Kristof, merupakan satu perkara yang membimbangkan.

Kristof berulang kali menegaskan bahawa insiden-insiden keganasan telah menyebabkan ramai terutamanya di dunia Barat melihat Islam sebagai sebuah agama yang sememangnya cenderung mengamalkan ekstremisme.

Pandangan ini katanya “terlalu cetek”.

Menurutnya, pelampau ini bukan mewakili majoriti umat Islam yang turut mengecam serangan sedemikian. Malah tindakan ganas mereka ini sebenarnya lebih menjejaskan imej Nabi Muhammad berbanding karya kartunis yang memperlekehkan agama.

Wartawan yang sudah lama berkhidmat untuk The New York Times itu berkongsi pengalamannya.

"Dalam perjalanan saya dari Mauritania ke Arab Saudi, Pakistan ke Indonesia, sebahagian mereka (kumpulan pelampau) telah berkongsi pengalaman dengan saya.

"Mereka menceritakan bagaimana mereka berasa bersalah kerana berpegang teguh kepada naratif-naratif palsu tentang Amerika Syarikat sebagai sebuah negara penindas yang dikuasai Zionis yang berazam untuk menghancurkan Islam,” kata pemenang dua kali hadiah Pulitzer itu.  

“Itu satu karikatur (lukisan Nabi Muhammad) yang mengarut, dan kita mesti sentiasa berhati-hati semasa menghasilkan karikatur agama sebesar Islam.”

Solidariti dunia untuk Charlie Hebdo yang kehilangan ketua pengarangnya dan rakan kartunis lain, sememangnya  'memberikan  inspirasi', kata Kristof.

Tindakan keganasan, penindasan dan memperlekehkan wanita sama ada di dunia Islam atau di mana-mana sekalipun perlu dikutuk.

Blogger pertama untuk The New York Times itu menambah, "Jurang yang besar bukannya antara perbezaan agama. Sebaliknya, antara pengganas dan mereka yang mempraktikkan kesederhanaan dan antara mereka yang bertolak ansur dan mereka yang bersikap sebaliknya."

Beliau juga berkata orang ramai sepatutnya berjaga-jaga "agar tidak jatuh ke dalam perangkap profil agama."

“Rata-rata masyarakat Kristian tidak perlu meminta maaf ketika fanatik Kristian di negara bekas Yugoslavia terlibat dalam pembunuhan besar-besaran umat Islam.

"Pengkritik-pengkritik Islam juga tidak boleh dipersalahkan kerana seorang fanatik anti-Islam pernah membunuh 77 orang di Norway pada tahun 2011.

“Kita juga perlu mengakui bahawa mereka yang paling berani, yang cintakan keamanan di Timur Tengah yang menentang kumpulan pelampau ini, mereka sendiri merupakan pengikut agama Islam yang teguh.

“Ada yang membaca Al-Quran dan meletupkan sekolah kanak-kanak perempuan, tetapi ada lebih ramai yang membaca Al-Quran dan membina sekolah kanak-kanak perempuan.

“Taliban mungkin satu jenama Islam, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Malala Yousafzai juga merupakan satu jenama Islam yang amat bertentangan (dengan Taliban),” katanya.

Kristof berkata solidariti yang ditunjukkan semasa krisis tebusan Australia merupakan model contoh pasca serangan yang boleh diikuti.

Ramai warga Australia bukan Islam telah menawarkan diri mereka untuk mengiringi umat Islam dan memastikan keselamatan mereka dalam perjalanan dengan mengunakan hashtag #IIIRideWithYou di laman-laman media sosial.astroawani

MMI

2 comments:

  1. Nicholas Kristof kapir
    PAS munafik..

    Sapa lagi bahaya ?

    ReplyDelete
  2. Pengganas ada dua bentuk. Pertama yang berselindung dalam penghinaan berbentuk agama, bersikap rasis dalam paparan media siber (termasuk buku, makalah dan berbentuk cetakan atau yang serupa) dan yang kedua berbentuk latihan fizikal untuk menyerang, membunuh secara terancang dan sistematik.

    Selalu nya Islam akan di MANGSA kan. Tradisi "Bukan Islam" walaupun di sebut liberal, sekular malah mendabik begitu moderate; tidak akan memberi ruang kepada "Nabi Muhammad SAW". Ini lah intipati nya.

    Jadi Charlie Hebdo pasti nya atheis - menyerang Islam, kristian dan yahudi secara sinikal melampaui batas. Di Malaysia karakter seperti beliau tumbuh macam cendawan. Sudah menjadi Tuan kepada Tuhan nya. Sesat lagi menyesatkan !

    Mestikah mereka bertempat di dunia ? Bukan kah mereka juga pengganas?

    ReplyDelete

Labels