Followers

Monday, 11 May 2015

Pembelian Tanah TRX Oleh Tabung Haji REALITI Atau SKANDAL ?? @azeezputera @NajibRazak

Yang pasti tidak akan ada mana-mana penyimpan di Tabung Haji akan kehilangan wang milik mereka dan setiap tahun seperti biasa para jemaah haji akan tetap sampai ke bumi Mekah.

Walaupun kuota haji untuk warga Malaysia kadang-kadang ada perubahannya , para jemaah pasti akan dapat menunaikan rukun Islam yang ke lima itu apabila sampai masanya.

Itu hakikatnya , satu janji dan komitmen daripada kerajaan dan Tabung Haji sebagai pihak yang menguruskan hal ehwal para jemaah haji bermula daripada menyediakan perkhidmatan untuk menyimpan wang sehinggalah selesai segala urusan menunaikan haji di Mekah.Satu proses yang diakui sebagai terbaik di dunia berbanding negara-negara lain.

Namun senario dan keadaan semasa telah menghimpit Tabung Haji dengan mengheret institusi itu ke dalam kancah politik yang kita tahu punya pelbagai persepsi yang memungkinkan berlakunya adu domba dalam gelanggang politik serbaneka yang hari ini dilihat begitu agresif.

Kerana itu Tabung Haji terpalit dengan apa yang disebut banyak pihak sebagai skandal pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dengan nilai RM188.5 juta oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Persoalannya kini adalah sejauh mana pembelian tanah di TRX itu benar-benar merupakan satu pembelian bail-out yang bertujuan untuk menyelamatkan 1MDB yang kononnya pada ketika ini sedang berdepan dengan permasalahan kewangan ?

Sebelum itu MMI ingin mengajak semua untuk kembali kepada isu 1MDB , apakah benar 1MDB sedang menghadapi krisis kewangan yang begitu teruk ?

Secara persepsi dan tuduhan tanpa bukti memang ada ! Tetapi sehingga ke saat ini tidak ada mana-mana pihak pun yang boleh mengemukakan bukti secara tepat dan profesional untuk dikemukakan kemuka pengadilan !

Malah kita boleh merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kewangan bahawa 1MDB masih terus kekal bersaing dan mampu menyelesaikan hutangnya melalui penstrukturan asetnya yang bernilai RM51 bilion.seterusnya 

Dalam pada itu isu 1MDB sebenarnya telah dijadikan sebagai bahan untuk kepentingan politik dan mereka-mereka yang sebenarnya iri hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan selama ini.

Pelbagai perkara ditimbulkan dan kesemuanya sekadar menimbulkan kontroversi dan persepsi yang mampu menyebabkan rakyat di akar umbi resah sedang hakikatnya bayang bukti untuk menghukum pun tak kelihatan !!

Daripada pengamatan MMI sendiri , sehingga ke saat ini segala tuduhan terhadap 1MDB masih lagi gagal di buktikan secara profesional melainkan dengan satu tindakan daripada kerajaan apabila YAB Datuk Seri Najib sendiri telah mengarahkan satu siasatan menyeluruh dilakukan dengan melibatkan beberapa pihak.

Pertamanya selepas Deloitte sebagai auditor mengesahkan auditnya , Perdana Menteri telah mengarahkan pula Ketua Audit Negara menyemak balik secara terperinci.Setelah itu PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) yang turut dibarisi oleh pembangkang di minta pula untuk menelitinya.

Selain dari itu kerana begitu kontroversinya isu 1MDB ini , ada pihak yang dilihat begitu teruja untuk meletakkan kesalahan kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak hinggakan ada suara-suara di luar sana yang mahukan beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pernahkah kita terfikir atas faktor dan dasar apakah desakan itu dibuat ?

Apakah undang-undang sudah mengesahkan bahawa Najib sememangnya bersalah ? Baca Selanjutnya 

Maka pada pengamatan MMI , isu 1MDB ini adalah isu yang sengaja diperbesarkan supaya ia mampu mengoncang kedudukan kerajaan sehingga ada pihak-pihak dari kerajaan sendiri mula mengambil sikap PLAY SAFE !

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri sendiri adalah bersifat PLAY SAFE sedangkan beliau sebagai orang nombor dua dalam kerajaan WAJIB bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan YAB Perdana Menteri dan seluruh saf Jemaah Menteri menyelesaikan apa yang disebut sebagai permasalahan.Rujuk Sini 

Apa guna menjadi pentadbir kalau sering kali mahu melepaskan diri dari tanggungjawab ?

Justeru jika permasalahan ini mahu dianggap sebagai satu KEGAGALAN pentadbir maka seluruh kepimpinan kerajaan perlulah turut sama memikul beban dan jika ada pihak yang digesa supaya berundur maka seadilnya kesemua mereka turut sama berundur !!

Berbalik kepada isu Tabung Haji , pembelian tanah TRX jika dilihat dalam konteks Islam adalah menepati syarat-syarat pematuhan syariah. 

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, urusan pembelian hartanah untuk pembangunan itu adalah sah dan dijalankan tanpa membabitkan unsur-unsur gharar (meragukan).

Jelasnya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, pembelian tanah itu bukan satu perkara luar biasa dan urusannya dijalankan dengan sangat telus serta mengikut kaedah-kaedah jual beli dalam Islam.

“Dalam menentukan harga barang, bukan pembeli yang menentukannya dan kita tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan harga ditawarkan.

“Dalam urusan jual beli Islam, jika penjual meletakkan harga sedemikian dan pembeli bersetuju, ada barang dan ada bayaran, maka boleh berlaku (urusan) jual beli itu,” katanya dalam sidang akhbar tentang pembelian plot tanah seluas 0.63 hektar di TRX bernilai RM188.5 juta di sini hari ini.Baca Sini 

Persoalannya kini mengapa harga pembelian itu boleh meningkat dengan begitu mendadak sedangkan proses jual beli itu melibatkan Tabung Haji dan 1MDB ?

Seperkara yang harus kita faham adalah kedudukan tanah yang dibeli itu berada di kawasan yang bernilai tinggi.Malah ramai dari kalangan pelabur luar sebenarnya cukup berminat untuk memiliki tanah tersebut kerana potensi pulangannya.

Maka sebagai rakyat , MMI berbangga kerana Tabung Haji telah membeli dan memiliki tanah terbabit setidak-tidaknya tanah di kawasan bernilai tinggi itu dimiliki oleh pihak yang jelas milik orang Melayu dan beragama Islam.

Dan MMI yakin proses pembeliannya dilakukan seperti mana pembelian bagi projek-projek yang lain iaitu berdasarkan nilai harga tanah semasa dan dalam situasi ini harga yang dibeli oleh Tabung Haji itu sudah semestinya berdasarkan harga pasaran yang ditentukan oleh badan penilai.

Paling menarik dan mungkin ramai yang tak mahu ambil tahu adalah , hasil kajian yang dilakukan mendapati apabila siap kelak nilai bangunan yang dibina itu bakal mencecah RM828 juta.Manakala modal yang dikeluarkan untuk pembelian tanah tersebut adalah RM188.5 juta dan modal pembinaan bangunan adalah RM456 juta.Jika ditambah kos pembelian tanah dan pembinaan bangunan tersebut maka sejumlah RM644.5 juta akan dan telah dibelanjakan manakala hasil keuntungan selepas itu adalah RM183.5 juta dalam masa 3 tahun dan ianya mampu menanggung seramai 25,171 orang subsidi jemaah haji.

Mungkin dalam ramai-ramai yang mempertikaikan tindakan pembelian itu melihat ianya adalah satu kerugian yang teramat sangat kerana melibatkan sejumlah wang yang besar namun mereka terlupa hasil daripada pelaburan itu mampu memayungi lebih ramai orang-orang Melayu dan Islam khususnya untuk menunaikan ibadah haji tanpa mengambil kira fahaman politik !

Apa pun kesan daripada permainan politik sesetengah pihak dan bagi meredakan rasa marah mereka yang sebahagiannya langsung tidak punya akaun di Tabung Haji , keputusan telah dibuat untuk menjual semula plot tanah di pusat kewangan TRX.

Pengerusinya , Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata , setakat ini terdapat 3 pembeli yang sedia menawarkan pembelian pada unjuran yang menguntungkan.

Jelasnya , urusan penjualan itu dijangka selesai minggu depan.

"Sekarang , kami meneliti pembeli yang boleh memberi keuntungan kepada Tabung Haji.

Langkah ini dibuat bagi menghentikan kekhuatiran rakyat dan pendeposit Tabung Haji mengenai pembelian tanah ini yang dikaitkan dengan 1MDB" katanya.

MMI di fahamkan hasil penjualan ini nanti akan memberikan keuntungan lebih kurang RM5 ke RM6 juta kepada Tabung Haji dan mungkin akan bertepuk soraklah sebahagian besar mereka yang bukan dari kalangan kita kerana tindakan ini jelas merupakan satu kerugian.

Justeru itu , berdasarkan apa yang tercatat di atas adakah benar pembelian itu merupakan bail-out untuk menyelamatkan 1MDB ? Atau ianya satu proses pembelian yang sengaja dilakukan untuk menyeleweng dan membazirkan wang pendeposit di Tabung Haji ?

REALITINYA .. Kadang-kadang emosi dan hasutan pihak tertentu mampu membutakan mata kita , dan kerana butanya kita maka kita hilang sesuatu yang sebenarnya mampu menjadi aset terbaik dan menguntungkan institusi milik orang Melayu dan Islam.

Apa pun semuanya dah berlaku dan MMI percaya artikel ini tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak kerana masing-masing punya pandangan masing-masing.Mengambil kira bahawa MMI juga berhak untuk bersuara maka artikel ini menjadi wadah MMI kepada mereka-mereka yang mungkin masih mahu mengambil tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam proses pembelian tanah di TRX melibatkan Tabung Haji dan 1MDB.

MMI

1 comment:

  1. Rejim MAdeay ganti Ketum yg duduk dlm Sungai Buloh untuk tungganglanggangkan UMNO dan Melayu..
    Madeay tua tapi belum insaf.. zaman nya terlalu banyak bailout yg rakyat telan tanpa soal..

    adilkah?
    kenapa diam sahaja?

    ReplyDelete

Labels