Followers

Monday 24 October 2016

Negara Muflis Akibat Hutang ?


Sejak insiden sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan dewan ketika sesi pembentangan bajet 2017 , banyak pihak khususnya mereka-mereka yang punya tahap obses menggila untuk menjatuhkan Perdana Menteri mula menyebarkan berita-berita menakutkan rakyat seolah-olah Malaysia akan jatuh miskin papa kedana dan langsung tidak mampu untuk bangkit.

Hebahan berita-berita tersebut melalui media sosial termasuklah aplikasi whatsapp dibuat dengan begitu bersungguh-sungguh oleh sebahagian besar mereka-mereka yang bukan dari kalangan warga ekonomi atau dalam bahasa mudah kumpulan yang punya kepakaran dalam berbicara soal ekonomi.

Berita-berita seperti hutang negara yang meningkat selain dari ketidakupayaan kerajaan untuk mengotakan janji seperti mana yang dibentangkan dalam bajet baru-baru ini begitu laris sekali.Malahan si penyebar-penyebar ini walaupun mereka sebenarnya bukan dari kalangan pemain kompeten dalam soal ekonomi , mereka begitu galak sekali menyebarkan kepada seluruh rakyat jelata.

Begitu hebatnya puak-puak ni dalam mendepani hal ekonomi negara dan jika kehebatan itu benar-benar dimiliki oleh seluruh warga kita , MMI yakin semakin ramailah yang akan memahami tentang hal melibatkan pengurusan kewangan malahan mungkin tak ramai dari kalangan warga kita akan terjebak dalam Non Performing Loan (NPL) dengan pihak bank.

Bila MMI sebut tentang NPL ni pasti akan ada pihak yang mencemuh kononnya ia berlaku kerana kos sara hidup yang semakin tinggi.Well berbalik kepada apa yang MMI sebutkan awal tadi , kan semua dah jadi bijak pandai dalam hal melibatkan ekonomi dan semestinya bila dah jadi bijak pandai ni mestilah bijak mengurus kewangan masing-masing !

Takkan itu pun masalah kot ? Atau pun ada yang langsung tak faham tentang NPL yang MMI sebut ?

Untuk rekod MMI bukanlah dari kalangan bijak pandai atau ahli ekonomi tahap dewa tetapi apabila berdepan dengan hal melibatkan kedudukan ekonomi khususnya ekonomi negara , kita sewajarnya mencari jawapan bukannya main belasah menyebarkan berita-berita yang kebanyakkan di tokok tambah agar bersesuaian dengan ideologi politik mahupun emosi membuak-buak yang mahu melihat Perdana Menteri dijatuhkan.

Oleh kerana itu maka MMI juga mentelaah dan mencari jawapan supaya tidak terjebak dengan mereka-mereka yang taksub tahap dewa kononnya menyedarkan rakyat sedang hakikatnya sedang menyebarkan fitnah !

Berikut adalah salah satu daripada pencerahan yang MMI rasa wajar untuk sama-sama kita fahami tentang sejauh mana pertuduhan bahawa Malaysia akan muflis.

ALOR SETAR - Isu membabitkan tahap keberhutangan negara yang tinggi yang sering dimomokkan sebagai petanda bahawa negara akan muflis hanyalah salah faham ekonomi dan perlu diperbetulkan.

Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ini kerana antara indikator dilihat ketika hendak membuat pinjaman ialah sama ada pinjaman tersebut bersifat produktif atau sebaliknya dan keupayaan membayar balik.     

"Pinjaman kerajaan misalnya sebanyak RM582 bilion pada 2014, tetapi itu adalah stok pinjaman, namun bayaran hutang pada tahun tersebut hanya sekitar RM20 bilion sahaja, itu bayaran, bukan stok. Malah ia bukannya perlu dibayar dengan segera kerana mempunyai tempoh kematangan hutang," katanya.

Noor Azlan berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel dalam Diskusi Pasca Bajet 2017 anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia di sini, hari ini.  

Malah jelasnya, Malaysia menyaksikan pembangunan pesat dicapai dengan sebahagian besarnya dalam tahun-tahun ketika ekonomi negara berada dalam keadaan defisit.    

"Pertama sekali isu persepsi, istilah atau perkataaan hutang dalam nahu bahasa kita dianggap konotasi negatif tetapi hakikatnya dalam kehidupan seharian malah di peringkat individu pun semua mempunyai hutang.

"Tidak ada salahnya dengan defisit. Dalam bahasa ekonomi lebihan dan defisit tidak boleh diterjemah secara terus, kononnya defisit bermakna masalah, lebihan bermakna baik. Sama juga dengan hutang, cuma istilah hutang dalam literasi Bahasa Melayu kita nampak takut," katanya.

Beliau menegaskan tahap pinjaman kepada pendapatan negara semata-mata belum cukup untuk menterjemahkan bahawa sesuatu negara itu diurus dengan baik ataupun tidak.     

"Semakin tinggi pendapatan negara, semakin tinggi hutang, United Kingdom misalnya pula berhutang 91 peratus dan Singapura sebanyak 105 peratus," katanya.

Noor Azlan berkata, menurut pengamatannya, defisit negara selalunya akan melebar apabila berhadapan krisis ekonomi seperti pada tahun 1997 dan 2009 yang menyebabkan ekonomi negara menguncup.

"Apabila ekonomi menguncup maka sektor swasta dan pengguna tidak berbelanja, jadi memang wajarlah kerajaan berbelanja dan dalam keadaan itu defisit kita melebar dan ia bertepatan dengan keperluan.

"Yang penting ialah adakah defisit itu dikawal dan tahun demi tahun kita lihat defisit fiskal kita semakin menurun, walaupun keadaan getir beberapa tahun yang lalu, sasaran kita tetap dipertahankan dan tahun hadapan sasaran kita 3 peratus daripada KDNK," katanya. - Bernama

Seperkara lagi yang perlu kita faham adalah selain daripada pencerahan diatas , usaha dan gerakan politik juga sebenarnya memainkan peranan dalam menentukan hala tuju jatuh bangunnya kedudukan ekonomi sesebuah negara.

Kalau asyik dengan gerakan jalanan dan melaung itu salah ini salah , sana tak betul sini tak betul maka MMI yakin sedikit sebanyak ianya akan memberikan impak kepada kedudukan ekonomi negara.

Ketidakstabilan politik adu domba serta penyebaran fitnah yang menimbulkan persepsi negatif itu juga sebenarnya mampu menyebabkan para pelabur bimbang untuk terus melabur di Malaysia.Sekiranya itu berlaku MMI yakin si penyebar yang galak menyebarkan berita dengan tujuan untuk memuaskan nafsu ideologi politik juga akhirnya akan turut menerima tempias.

Dan jika itu berlaku di penyebar tadi akan sekali lagi menyebarkan berita kononnya apa yang sedang beliau hadapi itu adalah disebabkan ketidakcekapan kerajaan sedang hakikatnya diri sendirilah yang menjadi penyebabnya.

Well fikirlah ...

Baca juga artikel berkaitan di bawah ,



MMI

No comments:

Post a Comment

Labels