Followers

Sunday 15 January 2017

Siapa Mejar Zaidi Di Sisi Guan Eng ??


Dengan pentadbiran yang kucar-kacir akibat pelbagai pendedahan dan skandal kerajaan DAP Pulau Pinang , Guan Eng selaku Ketua Menteri semestinya perlu mencari jalan untuk memulihkan segera imejnya yang tercalar.

Sikap dan tindak-tanduk pemimpin DAP ini bukan sahaja sudah menyebabkan ramai dari kalangan warga Pulau Mutiara bangkit menyatakan bantahan mereka , tetapi sudah sampai di kritik wakil-wakil dari parti DAP sendiri.

Semua yang berlaku itu sudah pasti akan memberikan impak kepada persediaan DAP khususnya dalam mendepani PRU14 yang semakin hampir.

Mungkin kerana itu jugalah Guan Eng dalam beberapa waktu terkebelakang ini mula mensasarkan mereka-mereka yang bukan dari kalangan sebangsa dengannya untuk digajikan bagi memenuhi keperluan menagih atau memulihkan imejnya.

Mejar Zaidi adalah sebahagian daripada projek ini dan kehadirannya di sisi Guan Eng dengan pelbagai keistimewaan apabila dilantik sebagai pegawai penerangan seharusnya menghadirkan sesuatu atau paling tidak mengangkat Guan Eng dan kerajaan DAP di Pulau Pinang sebagai pilihan warganya.

Namun sejak kehadiran pegawai penerangan itu , apakah impak positif yang telah berlaku terhadap kepimpinan Guan Eng dan pentadbiran kerajaan DAP di Pulau Pinang ?

ZERO ! 

Dan MMI rasa Guan Eng pun sebenarnya sudah menghidu kegagalan Mejar Zaidi yang dilihat banyak pihak sebagai liabiliti kepada Guan Eng selain mendatangkan kecelaruan dalam dasar parti DAP itu sendiri !

Jom review apa yang sahabat blog empayarpemuda dedahkan ...  

Pertama sekali EP nak ucap terima kasih kepada Mejar Zaidi pegawai penerangan Guan Eng yang tak berapa terang ni sebab dah dedahkan perkara sebenar tentang sikap pemimpin pembangkang terhadap gerak kerja ahli-ahli mereka di akar umbi.

Umumnya kita ketahui pimpinan pembangkang sering kali akan mengambil kredit terhadap apa jua gerakan yang bersifat menentang kerajaan khususnya UMNO disebabkan ia merupakan platform mudah untuk mereka mendapat publisiti.

Dan sikap Mejar Zaidi sendiri sebenarnya telah menimbulkan kekeliruan sekaligus membuktikan tanggapan bahawa bekas anggota TUDM ini bukanlah produk terbaik yang dimiliki oleh kem pembangkang sebaliknya hanya menghabiskan wang ringgit kerajaan DAP di Pulau Pinang.

Sehingga artikel ini ditulis , Mejar Zaidi masih lagi gagal untuk meyakinkan Guan Eng betapa kehadirannya disisi Ketua Menteri itu berjaya melonjakkan imej serta membentuk sokongan jitu warga Pulau Mutiara khususnya orang-orang Melayu terhadap Lim Guan Eng dan DAP.

Tindakan Mejar Zaidi yang sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan serta bantuan daripada orang ramai bagi menyelamatkan Ridzuan Asit kerana menghadapi perintah mahkamah supaya membayar sejumlah denda kerana kegagagalan petisyen di mahkamah kini menimbulkan persoalan banyak pihak.

Ridzuan Asit merupakan seorang pengundi dan ahli PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau yang telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak petisyennya untuk membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di DUN berkenaan, Datuk Siti Salmah Mat Jusak.

Keputusan tersebut dibuat selepas Hakim Abdul Rahman menolak dengan kos petisyen selepas mendapati petisyen tersebut tidak mematuhi kaedah-kaedah pilihan raya iaitu cara penyampaian petisyen kepada responden.

Selain daripada memutuskan petisyen berkenaan mempunyai banyak kecacatan , Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Ridzuan membayar kos RM60,000 iaitu masing-masing RM30,000 kepada Siti Salmah selaku responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) responden kedua.

Misterinya ....

Pada ketika DAP sudah pun memutuskan semua bentuk hubungan dengan parti PAS , pegawai penerangan Ketua Menteri Guan Eng boleh pula sibuk membantu ahli PAS yang kini menghadapi denda oleh pihak mahkamah.

Persoalannya Mejar Zaidi bekerja dengan siapa ?

Apakah Guan Eng bersetuju dengan tindakan Mejar Zaidi ini ?

Sekiranya bersetuju , apakah Guan Eng sebenarnya punya helah politik lain bersama PAS ?

Ternyata tindakan Mejar Zaidi bukan sahaja sumbang tetapi menyimpang daripada norma-norma politik DAP sekaligus memberikan isyarat kepada seluruh ahli DAP supaya segera bingkas bangun dan meminta supaya Guan Eng segera menjawab persoalan berbangkit !

Selain daripada bertindak mendapatkan sokongan ramai supaya membantu Ridzuan , Mejar Zaidi turut sama mengajak orang ramai supaya membantu Mazlan Aliman , Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Johor Bharu pada 30hb November 2016 berikutan kegagalan membayar denda dan gantirugi selepas kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Ahli jawatankuasa nasional parti PAN ini berdepan dengan tindakan terbabit apabila Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Mazlan untuk penggantungan prosiding serta turut menolak permohonan untuk mengenepikan petisyen pemiutang.

Semua itu berlaku akibat daripada fitnah melampau Mazlan terhadap FELDA seterusnya pada 20 Julai 2009, FELDA telah mengemukakan saman terhadap Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd. diatas kandungan sebuah buku yang memfitnah FELDA iaitu “FELDA… Dulu Tolong Sekarang Ah Long”.

Buku tersebut menggambarkan FELDA mengaut keuntungan yang banyak sehingga memudaratkan peneroka yang kononnya akibat salah laku plaintif, dan mereka dijadikan seperti hamba abdi ekoran dasar FELDA yang didakwa menindas.

Selain itu, FELDA juga mendakwa kandungan buku tersebut berniat jahat dan dibuat untuk merosakkan reputasi FELDA bagi merendah-rendahkan imejnya di mata masyarakat.

Pada 29 Mei 2015, FELDA telah memenangi kes saman fitnah tersebut dan Mahkamah telah memerintahkan Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise untuk membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk serta kos guaman kepada FELDA.

Kesemua Defendan diarahkan untuk membayar kepada FELDA gantirugi berjumlah RM350,000.00, 8% faedah, kos RM150,000.00 dan keuntungan dari penjualan buku tersebut.

Akibat kegagalan membayar keseluruhan jumlah tersebut, FELDA telah melaksanakan prosiding kebankrapan terhadap Mazlan.

Isunya adalah kenapa perlu Mejar Zaidi mengambil pendekatan menggerakan usaha membantu Mazlan sedangkan Mazlan sepatutnya dibantu oleh pucuk pimpinan parti PAN sendiri ?

Kapasiti beliau sebagai ahli jawatankuasa nasional parti PAN sewajarnya meletakkan permasalahan ini sebagai satu tanggungjawab bersama pimpinan tertinggi PAN untuk membantu.

Mat Sabu sebagai Presiden wajib membantu Mazlan keluar dari permasalahan yang beliau sendiri cipta dan PAN secara tidak langsung terlibat kerana menyokong gerakan Mazlan selama ini.

Tindakan Mat Sabu yang hanya memberikan sokongan moral dan cubaannya untuk terus menyalahkan kerajaan dilihat sebagai usaha melepaskan tangan dan akibatnya Mazlan terkontang-kanting berdepan tindakan saman yang membolehkan beliau diistiharkan muflis.

Mat Sabu dalam kenyataannya berkata, Mazlan Aliman kini memerlukan bantuan orang ramai bagi membayar ganti rugi berjumlah RM500,000 setelah didapati memfitnah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bantuan tersebut sangat diperlukan Mazlan yang berjuang atas kapasiti presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), untuk mengelak daripada berdepan kemungkinan diisytiharkan muflis.

Jelas kenyataan Mat Sabu itu adalah cubaan melepaskan diri apabila melabelkan kerja-kerja memfitnah FELDA itu dibuat atas kapasiti ANAK dan bukannya PAN.

Sebab itu EP nak Mazlan bertanya pada diri sendiri , apakah kesudahan siri fitnahnya sekarang ?

Apa yang sedang berlaku ini sudah pun menggambarkan kepada kita kekeliruan dan campur aduk politik yang cukup mengelirukan.

Kedudukan Mejar Zaidi disisi Guan Eng sebagai pegawai penerangan Ketua Menteri dan berdiri atas kapsiti ahli DAP selepas melompat daripada PAS dan PAN sebenarnya hanyalah satu liabiliti kepada kedudukan Guan Eng yang kini semakin tercalar akibat daripada pelbagai skandal yang menghantui bukan sahaja diri beliau tetapi juga kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah DAP.

Caca marba !

sumber 

No comments:

Post a Comment

Labels