Followers

Saturday, 3 June 2017

SIVARASA “You Have Cross The Line !” SYABAS Tuanku


MMI ucap tahniah dan syabas kepada Sultan Selangor kerana tegas dalam isu membabitkan Sivarasa.Ketegasan seperti ini sebenarnya perlu diikuti oleh semua pihak khususnya di negeri-negeri lain.

Bagi MMI ianya penting memandangkan sebagai pemimpin Melayu dan Islam kita wajar bangkit dan bersuara bukan sekadar berdiam tanpa sedikit pun campur tangan.

SHAH ALAM- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa sangat dukacita terhadap tindakan anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa yang telah berucap dalam dewan solat Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang dekat sini, baru-baru ini.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang bukan beragama Islam.

“Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap dalam masjid adalah kerana beta tidak mahu ianya menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.

“Namun, teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan, anggota Parlimen Subang Sivarasa, “you have cross the line!” (kamu telah melampaui batas), titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda tidak menghalang jika anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu hendak berucap di luar kawasan masjid, dan ia terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar atau sebaliknya, tetapi jangan sama sekali berucap di dalam masjid mahupun dalam kawasannya.

“Nazir masjid, imam dan anggota jawatankuasa masjid sepatutnya lebih peka dan mengambil berat terhadap titah beta dengan tidak membenarkan sama sekali masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik.

“Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak,” titah baginda.

Titah Sultan Selangor lagi, baginda memberi kuasa kepada nazir, imam dan anggota jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid.

“Maka, gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya. Jikalau ada di antara nazir, imam atau anggota jawatankuasa masjid yang hendak aktif berpolitik di masjid, beta titahkan supaya berhenti daripada menjadi nazir, imam atau anggota jawatankuasa masjid dan serahkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain.

“Beta tidak teragak-agak untuk menitahkan JAIS supaya menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan anggota jawatankuasa masjid yang melanggar dan tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” tegas baginda.

Berhubung kes di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang tersebut, titah Sultan Sharafuddin, baginda mahu supaya JAIS menyiasat perkara itu dengan terperinci dan sekiranya didapati ada bukti yang anggota jawatankuasa masjid melanggar peraturan sedia ada, tindakan selanjutnya perlu diambil terhadap mereka selepas bulan Ramadan.

Sivarasa sebelum ini menafikan ada memberi ceramah politik ketika menghadiri program di masjid berkenaan, sebaliknya anggota Parlimen itu menjelaskan bahawa beliau hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membantu institusi masjid dan surau di negeri itu.

Sultan Selangor dalam pada itu mahu orang Melayu memikirkan sedalam-dalamnya untuk bersatu-padu mempertahankan agama Islam dan kedudukan orang Melayu di tanah air ini.

“Janganlah saling fitnah-memfitnah dan mengadu-domba antara satu sama lain, terutamanya di musim menjelang pilihan raya umum yang akan tiba tidak lama lagi. Sesungguhnya bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk kita melakukan ibadat dan kebaikan bagi memperoleh keberkatan daripada Allah,” titah baginda. Bernama 

Apa pun MMI melihat isu membabitkan Sivarasa ni adalah sebahagian daripada gerakan puak-puak yang punya agenda tertentu dan ianya perlu di halang kerana kesan buruknya akan bermula daripada gerakan yang biasa-biasa seperti ini.


MMI

No comments:

Post a Comment

Labels