Followers

Showing posts with label PRU14. Show all posts
Showing posts with label PRU14. Show all posts

Monday, 9 April 2018

Manifesto BN Manifesto Rakyat


Manifesto Barisan Nasional yang dilancarkan semalam oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional jelas memperlihatkan bahawa ianya dikupas dan direncanakan dalam keadaan bersedia serta berdasarkan kepada pengalaman politik selama lebih daripada 60 tahun.

Mengambil kira selama tempoh tersebut sudah tentu setiap perkara yang dijanjikan kepada rakyat adalah berasaskan kepada realiti dan keupayaan Barisan Nasional memerintah selama ini.

Lebih membanggakan, pentadbiran negara yang diambil alih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memperlihatkan kemajuan serta kejayaan yang cukup memberangsangkan walaupun dalam konteks ekonomi dunia yang tidak menentu.

Perkara ini dibuktikan dengan dasar-dasar ekonomi Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Malaysia dipuji oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atas kejayaan melaksanakan kepelbagaian dan pembaharuan ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan berterusan.

Najib Razak dalam kenyataannya di Twitter sebelum ini berkata “Baru-baru ini, WTO memuji kejayaan kepelbagaian dan pembaharuan ekonomi kita yang terbukti menyumbang kepada pertumbuhan berterusan negara meskipun berdepan dengan cabaran luar”. 

Jelas Najib yang juga Menteri Kewangan, BMI Research juga mengunjurkan bahawa pengguna Malaysia akan terus makmur pada 2018, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan serta kadar inflasi dan pengangguran yang rendah.

Selain daripada itu, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa keadaan politik negara yang sentiasa panas dek kerana sikap parti-parti politik khususnya dari blok pembangkang yang saban hari mencipta fitnah bukan sahaja sudah sampai ke tahap menggugat kedudukan negara tetapi telah menjadi racun yang cukup berbahaya.

Rakyat dikelirukan dengan pelbagai berita rekaan berunsur fitnah contohnya kerajaan telah menggadaikan negara kepada negara China dan Malaysia akan bangkrap kerana hutang sehingga ada dikalangan mereka yang percaya seterusnya memusuhi kerajaan Barisan Nasional.

Hakikatnya semua tuduhan itu tidak benar dan kerajaan Barisan Nasional terus memperlihatkan keupayaan serta kesungguhan untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik di masa hadapan.

Keadaan ini dapat kita lihat dalam manifesto Barisan Nasional yang dilancarkan semalam.

Ianya amat berbeza dengan janji bulan dan bintang kerana diakhirnya rakyat akan menjadi mangsa keadaan seperti mana yang telah berlaku di Pulau Pinang apabila kerajaan negeri berubah tangan kepada Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DAP.

Selama 10 tahun mentadbir Pulau Pinang sudah terlalu banyak janji-janji sebelumnya gagal ditunaikan contohnya dalam menyelesaikan masalah perumahan mampu milik dan juga masalah banjir kilat yang kini menghantui setiap warga Pulau Pinang.

Sebagai sebahagian daripada komuniti masyarakat, MMI percaya bahawa keperluan rakyat adalah perkara terpenting dan rata-rata masyarakat pasti mengharapkan dasar atau tindakan yang dekat dengan mereka.

Oleh yang demikian, manifesto Barisan Nasional adalah wadah terbaik kerana ianya mencakupi semua lapisan masyarakat selain melibatkan semua peringkat serta diperincikan kepada setiap negeri.

Dalam soal pembinaan rumah mampu milik misalnya, Barisan Nasional telah menjanjikan sebanyak 65 ribu buah rumah mampu milik akan dibina di Pulau Pinang sahaja dan perkara ini sudah tentunya dinanti-nantikan oleh rakyat Pulau Pinang.

Dan percayalah bahawa janji ini dibuat berdasarkan kepada kegagalan dan kelemahan kerajaan negeri Pulau Pinang yang sehingga kini masih lagi gagal untuk membuktikan sebarang projek perumahan mampu milik yang dibina oleh kerajaan negeri pimpinan DAP.

Mengambil kira jumlah penduduk dan keperluan yang semakin meningkat terhadap pemilikan rumah sudah tentulah kegagalan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam soal menyediakan rumah mampu milik ini akan menyebabkan kos sara hidup rakyat terjejas kerana mereka perlu mengeluarkan wang semata-mata untuk tujuan sewaan mahupun kos perjalanan ke tempat kerja yang jauh.

Dalam masa yang sama Barisan Nasional telah membuktikan keprihatinannya terhadap nasib rakyat Pulau Pinang dengan janji untuk membina 65 ribu buah rumah mampu milik memandangkan jumlah golongan berpendapatan rendah dan pertengahan hampir pasti akan terbela dengan tersedianya rumah-rumah mampu milik ini.

Selain daripada itu peningkatan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak semalam turut membuktikan bahawa komitmen kerajaan Barisan Nasional sebelum ini untuk benar-benar melihat dan melaksanakan program tranformasi nasional khususnya dalam mengawal dan memulihkan kedudukan ekonomi negara adalah satu tindakan yang tepat.

Percayalah bahawa pengenalan GST sebanyak 6% yang telah dilaksanakan kini telah menunjukkkan hasilnya.

Rakyat perlu sedar bahawa dasar pemberian subsidi bersasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini telah membantu mengawal dan memulihkan kedudukan ekonomi negara dan ianya tidak hanya terhenti disitu apabila Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BR1M akan ditingkatkan.

Perkara ini dibuktikan dengan pengumuman bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, pemberian BR1M pada Jun dan Ogos digandakan kepada RM800, berbanding RM400 menjadikan jumlah keseluruhan BR1M meningkat dari RM1,200 kepada RM2,000

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 pemberian BR1M pada Jun dan Ogos berkadar RM300 digandakan kepada RM600.

Bagi individu bujang, BR1M yang dibayar RM450 akan ditambah RM150 menjadi RM600.

Kategori baharu BR1M turut diwujudkan iaitu bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 bakal menerima BR1M berkadar RM700 yang akan dibayar dua kali iaitu Jun dan Ogos tahun ini termasuklah pengumuman bantuan one off sebanyak RM1,500 kepada anak penerima BR1M yang mendaftar di pusat pengajian tinggi.

Mengambil kira kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam yang mengatakan bahawa perkara ini berlaku disebabkan keadaan ekonomi negara yang semakin baik dan kedudukan kewangan yang semakin kukuh, selain daripada kutipan GST yang bertambah akhirnya Barisan Nasional dapat berkongsi nikmat kepada rakyat.

Sudah tentu pengumuman ini merupakan perkhabaran gembira khususnya kepada golongan berpendatan rendah dan pertengahan kerana ianya secara tidak langsung merupakan pulangan kepada rakyat secara terus dan bersasar seterusnya menafikan sama sekali sebarang bentuk keputusan berpihak yang hanya menguntungkan sesetengah pihak seperti mana yang diamalkan oleh kepimpinan sebelum ini.

Disamping itu, MMI juga tertarik dengan hasrat Barisan Nasional yang mahu melahirkan ribuan wanita profesional yang berjaya dalam bidang korporat, penjawat awam, politik dan kepemimpinan lain.

Secara tidak langsung ianya merupakan satu pengiktirafan terhadap jasa para wanita di Malaysia yang kita tahu merupakan tulang belakang negara.

Peranan wanita sebenarnya telah terbukti dengan pelbagai pengiktirafan di peringkat dunia.

Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya kepada media sebelum ini berkata kejayaan yang dicapai Malaysia sehingga ke peringkat dunia tidak dapat direalisasikan tanpa peranan wanita,

Badan dunia seperti Tabung Kewangan Dunia (IMF), Bank Dunia dan agensi penarafan antarabangsa juga yakin untuk mengiktiraf golongan itu sebagai penyumbang kepada kejayaan Malaysia.

"Keyakinan kuat agensi antarabangsa terhadap pengaruh dan peranan wanita membuktikan golongan itu sebenarnya penyumbang terbesar terhadap pembangunan negara.

"Merujuk kajian diterbitkan Nikkei Asian pada minggu ini, Malaysia berada di landasan terbaik dalam pembangunan sosioekonomi wanita. Kajian itu turut menyebut, jumlah wanita merangkumi dua pertiga di universiti awam negara ini," katanya.

Malahan Malaysia mempunyai ikon wanita seperti bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar. Beliau adalah penggubal dasar, ketua bank pusat dan tokoh yang sangat luar biasa. 

Kecemerlangannya terus terukir di dalam dan peringkat antarabangsa.

Berdasarkan kepemimpinannya, beliau mengemudi ekonomi negara setanding negara lain di dunia, termasuk berjaya mengharungi saat genting ketika berhadapan krisis kewangan.

Pada 13 September 2010, Zeti terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global Finance. Sikap berdedikasi beliau terhadap tadbir urus yang baik, Dr Zeti diiktiraf dunia dalam penyatuan kewangan serantau dan pengantarabangsaan kewangan Islam.

Beliau juga adalah penerima anugerah daripada 'Wharton Dean's Medal' dari The Wharton School of the University of Pennsylvania, iaitu penghargaan tertinggi kepada alumni universiti terbabit yang membawa impak besar kepada ekonomi Asia dan global.

Mengambil kira contoh tersebut, hasrat Barisan Nasional untuk mengangkat kedudukan dan peranan wanita ke tahap lebih tinggi adalah satu keputusan yang wajar.

Kewajaran itu pastinya mengundang lebih banyak peluang-peluang yang lebih baik kepada para wanita diseluruh negara.

Malah ianya mencetuskan satu semangat baharu kepada para wanita diluar sana dan sudah tentu banyak lagi agensi mahupun badan-badan tertentu akan diwujudkan khusus bagi menzahirkan hasrat murni ini.

Inilah sebenarnya manifesto rakyat yang perlu diangkat dan disokong oleh semua rakyat Malaysia kerana ia mencakupi semua keperluan setiap lapisan masyarakat.

Kesungguhan dan komitmen sebegini tidak akan mampu direalisasikan sekiranya pihak yang terlibat tidak punya pengalaman dan lebih bersifat politik dan populis semata-mata.

Sebagai rakyat Malaysia, MMI yakin dengan Barisan Nasional dan sudah tentu Barisan Nasional perlu dipilih oleh rakyat sebagai kerajaan Malaysia dalam PRU14 nanti.

MMI

Sunday, 8 April 2018

Manifesto BN : Cuti Paterniti 10 Hari


KUALA LUMPUR, 7 April – Cuti paterniti lebih panjang untuk kakitangan sektor awam dan kenaikan jumlah unit amanah ADAM50 adalah antara janji Barisan Nasional (BN) yang ditawarkan dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang dilancarkan hari ini.

Dalam manifesto yang bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’, BN berjanji membenarkan kakitangan lelaki sektor awam bercuti tanpa rekod selama 10 hari apabila isteri melahirkan anak.

Pada masa ini, kakitangan lelaki sektor awam menikmati cuti paterniti berbayar selama tujuh hari bagi menjaga isteri bersalin.

BN juga bercadang meningkatkan jumlah pemberian unit amanah percuma ADAM50 untuk membantu ibu bapa muda menjamin masa depan yang cerah untuk kelahiran baharu sekiranya terus diberi mandat membentuk kerajaan.

Dalam usaha memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, malam ini turut menawarkan :
Pelaksanaan polisi Penjagaan Awal Kanak-Kanak Universal dengan memformulasikan kurikulum, program inklusif, pemakanan bernutrisi dan melatih tenaga pengasuh profesional sebagai persediaan kepada kanak-kanak yang bakal menjadi pewaris negara.
Mengangkat status nutrisi kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun dalam kalangan keluarga miskin tegar.
Mendorong majikan untuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak dengan insentif khas selepas pelepasan cukai.
Memberikan insentif kepada syarikat yang menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak dan fasiliti untuk ibu-ibu yang menyusukan bayi.
Memperuntukkan cuti khas tujuh hari setahun kepada wanita yang menjaga anak atau saudara terdekat yang sakit.
Mewujudkan khidmat pusat sehenti yang menempatkan pusat jagaan kanak-kanak dan pusat usahawan untuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di bawah kelolaan Gabungan Penerokawati Felda Malaysia di semua petempatan Felda.

Manifesto BN : Mengukir Senyuman Untuk Sabah Dan Sarawak


KUALA LUMPUR, 7 April – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 menjanjikan peluang dan hak yang lebih banyak kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan kedua-dua negeri itu berkembang secara seimbang dengan pembangunan nasional.

Yang penting hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 akan direalisasikan secara konsensus, sesuatu yang dituntut oleh kedua-negeri itu sejak beberapa dekad lepas.

Apa yang menarik dalam manifesto BN itu ialah rancangan mewujudkan mekanisme Satu Negara Satu Harga dengan memansuhkan label harga barang mengikut kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Manifesto bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN, malam ini, menggariskan rancangan dan janji BN untuk membawa Malaysia ke arah kecemerlangan untuk kesejahteraan rakyat.

Dalam manifesto itu, BN berjanji menyediakan peruntukan khas untuk usahawan-usahawan Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kemampuan kuasa persenjataan pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) akan ditingkatkan manakala kawalan keselamatan sempadan darat di Sabah dan Sarawak akan dipertingkatkan melalui Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

BN juga berjanji akan membina Lapangan Terbang Mukah dan Lawas di Sarawak serta menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan.

Untuk mengiktiraf bahasa suku kaum etnik di Sabah dan Sarawak, BN juga berjanji untuk memberi peruntukan khusus melatih tenaga pengajar dan keperluan bahan pengajaran Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun, seterusnya disalurkan ke Unit Bahasa Iban, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Unit Bahasa Kadazandusun, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Selain itu, BN berjanji untuk menambah jumlah pegawai-pegawai yang berkaitan dengan perkhidmatan Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun di Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Dalam manifesto berkenaan, BN juga menjanjikan untuk memberi peruntukan khas untuk Kursi Kadazandusun di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selain memperkasa suku kaum Dayak dengan mewujudkan program khas serta bantuan dana bagi aktiviti menyukat tanah adat, usahawan-usahawan Dayak dan pengajaran Bahasa suku kaum di Sarawak.

BN juga akan menubuhkan Institut Kajian Pribumi dan Penduduk Asli di Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah.

Berikut adalah antara yang terkandung dalam manifesto:
Menaik taraf rumah panjang di Sarawak dan rumah air di Sabah.
Memperkukuhkan jaringan pengangkutan di Sabah dan Sarawak dengan menaik taraf 12,500 kilometer (km) jalan luar bandar.
Meneruskan subsidi bekalan air di pedalaman Sabah.
Mencerap lebih banyak fakta dan persepktif sejarah dari Sabah dan Sarawak.
Membina Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Tebedu, Sarawak dan Kalabakan, Sabah.
Membina Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) bernilai RM4.3 bilion.
Menaik taraf laluan kereta api Sabah dari Halogilat ke Tenom.
Mewujudkan tiga skim pembetungan di Sabah.
Membina lima Loji Enap Cemar di Sarawak.
Dalam masa yang sama menyokong usaha kerajaan negeri Sarawak dalam melaksanakan program-program di bawah Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR).

BN Janjikan Sistem Pengangkutan Futuristik


KUALA LUMPUR, 7 April –Transformasi sistem pengangkutan awam terus menjadi tumpuan utama Barisan Nasional (BN) bagi menyediakan perkhidmatan yang moden dan cekap,

BN melalui manifesto untuk Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dibentangkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini antara lain berjanji memperkenalkan Pas Pengangkutan Awam Transformasi Nasional 2050 (TN50) berharga antara RM50 hingga RM150 yang memberi akses perjalanan tanpa had sebulan untuk pelajar, belia bekerja, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’, manifesto itu turut berjanji akan mewujudkan zon ekonomi baharu di kawasan sempadan dengan membangunkan kawasan-kawasan ketersambungan jalan raya.

Berikut merupakan isi kandungan manifesto BN dalam mentransformasikan pengangkutan awam negara ini:
Membina Landasan Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Membina Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor.
Meningkatkan jaringan pengangkutan awam Lembah Klang dengan pembangunan Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) fasa 3 dan Sistem Aliran Transit Massa (MRT) fasa 3.
Membina Landasan Berkembar Gemas-Johor Bharu.
Menaik taraf dan menyelenggara jalan persekutuan secara berkala sebagai alternatif kepada lebuh raya bertol.
Menaik taraf landasan berkembar Lembah Klang sepanjang 42 kilometer (km) memberi akses perjalanan tanpa had sebulan untuk pelajar, belia bekerja, warga emas dan OKU.
Meningkatkan kualiti perkhidmatan bas pengantara.
Membina sebuah pelabuhan moden bertaraf dunia di Pulau Carey.
Membina landasan kereta api elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Skypark Subang.
Mewujudkan zon ekonomi baharu di kawasan sempadan dengan membangunkan kawasan ketersambungan jalan raya.
Menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Kota Bharu di Semenanjung.
Membina Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bharu dan Singapura.
Menaik taraf infrastruktur pengangkutan di Pulau Labuan menerusi pembinaan jambatan dan menambah pelantar feri.
Menyiapkan Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping menjelang 2020.
Menaik taraf fasiliti jeti, terminal dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Pulau Langkawi dengan peruntukan sebanyak RM86.5 juta.
Membina dan menaik taraf jambatan-jambatan di kawasan kritikal seperti di Batang Lupar, Temerloh, Kota Tinggi dan Batang Kali.
Meluaskan kawasan liputan Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) sepanjang 600km di Semenanjung.
Membina lebuh raya laluan lingkaran tengah yang menghubungkan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan.
Membina saluran paip gas asli sepanjang 140km dari Ayer Tawar ke Ipoh.
Mewujudkan pembangunan bandar baharu moden dan hijau di sepanjang jajaran pengangkutan awam.
Mewujudkan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) bersepadu di seluruh negara.
Menyiapkan pembangunan Lebuh Raya Pantai Timur fasa 3.
Menaik taraf gerabak perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS).
Menaik taraf jalan dan penyuraian trafik di pelabuhan-pelabuhan.
Membina Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Lembah Chuping.
Membaik pulih gerabak dan lokomotif KTM.
Membaik pulih infrastruktur landasan dan jambatan keretapi Pantai Timur.
Menggalakkan penggunaan elektrik secara optimum melalui pemasangan meter pintar dan lampu diod pemancar cahaya (LED).
Meningkatkan penggunaan bas elektrik secara berperingkat bagi mengurangkan emisi karbon dioksida.
Menaik taraf sistem pengairan dan saliran di 143 lokasi untuk meningkatkan pengeluaran padi.
Menaiktaraf 422 kilometer jalan di kawasan Felda.
Membina dan menaitaraf jalan ladang meliputi jarak sepanjang 830km.
Memperhebat agenda kesalinghubungan antara kawasan-kawasan luar bandar melalui pembinaan 383 jambatan kecil di seluruh negara.
Menambah lampu jalan di kawasan-kawasan penempatan Felda.
Menaik taraf 419km sistem pembentungan di kawasan-kawasan Felda.
Menaik taraf jalan di kawasan sawah sepanjang 623km bagi memudahkan pengangkutan padi.
Membina empat loji rawatan kumbahan wilayah dan rangkaian paip pembentungan di Semenanjung.
Menambah tanda, gaisan dan lampu jalan di kawasan-kawasan Felda meliputi 1,240 km.
Membina loji rawatan pembentungan wilayah di Tunjong, Kelantan merangkumi 34.9 km yang memanfaatkan 300,000 penduduk.

Manifesto BN: Pelbagai Manfaat Untuk Peneroka Felda


KUALA LUMPUR, 7 April – Peneroka Felda adalah antara kumpulan yang beruntung melalui janji yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malam ini.

Dengan tema ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’, BN menawarkan insentif khas RM5,000 bagi setiap peneroka Felda selain pewujudan geran khas bagi tujuan penanaman semula.

Hutang pembelian saham FGV peneroka Felda juga akan dilupuskan, menurut manifesto itu yang turut menawarkan pelupusan hutang penanaman semula peneroka.

Selain itu, ia berjanji melupuskan hutang tambahan peneroka Felda semasa proses penanaman semula.

BN melancarkan manifestonya menjelang pilihan raya umum ke-14 yang dijangka berlangsung akhir bulan ini atau awal Mei. Parlimen secara rasmi dibubarkan hari ini.

Di bawah tajuk ‘Dompet Rakyat’, BN turut menawarkan peningkatan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 dalam tempoh lima tahun.

Manifesto itu berjanji menubuhkan Suruhanjaya Keadilan Kerja untuk menentukan paras gaji pekerja sektor swasta agar lebih setimpal.

Perkara lain yang ditawarkan BN ialah:
Memperkenalkan kadar dividen dan bonus pelbagai peringkat untuk dana pelaburan dan unit dana amanah dan GLIC lain (kecuali KWSP).
Menurunkan had maksimum kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit.
Meningkatkan kesejahteraan pekerja berpendapatan RM2,500 ke bawah di Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan melalui peluasan perlindungan insurans, pertambahan manfaat kesihatan dan kenaikan elaun kos sara hidup.
Menaikkan harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
Meningkatkan Bantuan Musim Tengkujuh untuk pekebun kecil getah.
Meminimumkan pembabitan orang tengah dalam hasil tani dan perikanan demi petani dan nelayan.

Ia juga termasuk: –
Memperluaskan dana Skim Bantuan Tani dan penanaman semula untuk pekebun kecil kelapa sawit, getah, koko dan kenaf.
Memperuntukkan bantuan khas berjumlah RM222 juta untuk peneroka-peneroka Felcra, Kesedar dan Ketengah.
Meminda Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan bagi meluaskan kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Mentransformasi sektor pertanian ke arah industri berpendapatan tinggi dengan menggunakan teknologi terkini.
Pemanjangan tempoh pelepasan cukai pendapatan kepada ibu bapa pemilik akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)
Memberi bantuan khas RM600 setahun kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 60 tahun ke atas yang tidak menerima pencen dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Menstruktur semula bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
Memberikan insentif cukai individu RM1,000 setahun untuk mereka yang menyumbang ke arah pemerkasaan seni budaya negara.
Memberi dana RM3 juta kepada Tabung Kebajikan Penggiat Seni setiap lima tahun.
Menyediakan geran sebanyak RM5 juta setiap lima tahun kepada penggerak badan warisan.
Memperkaya usaha pemekaran seni budaya dalam masyarakat melalui penyediaan lokasi seperti Wisma Kesenian dan Kebudayaan.
Mewujudkan dana kebajikan RM10 juta untuk membantu kumpulan budaya dan industri kreatif.
Mempertingkat jumlah geran mikro pengkaryaan Content Malaysian Pitching Centre kepada RM10,000.
Menilai semua bajet produksi dan pengisian untuk stesen-stesen televisyen swasta.
Menstruktur semula bantuan untuk Orang Asli melalui pembinaan prasarana.
Memperhebat Kampung Baru Cina melalui pembinaan lebih banyak kemudahan asas.
Memperkasa taraf sosioekonomi masyarakat India melalui Unit Pembangunan Masyarakat India (SEDIC) Jabatan Perdana Menteri.

Manifesto BN: Anak Penerima BR1M Daftar IPT Diberi RM1,500


KUALA LUMPUR, 7 April — Bantuan sekali beri sebanyak RM1,500 akan disalurkan kepada anak-anak penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mendaftar di pusat pengajian tinggi.

Ini antara janji yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) dilancarkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam ini.

Dalam dokumen bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ itu, BN juga berjanji akan memastikan tidak ada rakyat yang terabai tanpa sebarang bantuan kerajaan walaupun bukan atas sebab kemiskinan.

“Sebanyak tujuh juta orang menerima bantuan BR1M walaupun sebahagiannya bukan berada dalam kategori miskin,” kata manifesto itu yang dikeluarkan ketika BN bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Berikut ialah janji lain berkaitan BR1M yang ditawarkan BN melalui manifesto berkenaan:
Mewujudkan sistem maklumat bantuan rakyat Malaysia – B40 Window- yang merentasi kementerian, jabatan dan agensi untuk memastikan tiada keciciran, ketirisan atau ketidakadilan dalam pemberian bantuan.
Meneruskan kejayaan BR1M lebih efisien dan lebih berkesan.
Menambah baik BR1M berlandaskan perilaku bersyarat penerima seperti penglibatan dalam latihan kemahiran dan memastikan anak-anak mendapat imunisasi.

Manifesto BN: Satu Juta Usahawan Digital Akan Diwujudkan


KUALA LUMPUR, 7 April – Sebanyak satu juta usahawan digital akan diwujudkan dalam tempoh lima tahun dalam usaha negara menuju ke arah kerajaan digital.

Itu adalah antara janji-janji yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malam ini.

BN juga berjanji akan merekayasakan ekosistem ekonomi digital melalui geran permulaan dan dana pembangunan teknologi.

Pelbagai aplikasi dalam talian akan ditambah selaras dengan usaha kerajaan menuju ke arah kerajaan digital termasuk memperkenalkan aplikasi ‘iKepoh’ untuk membolehkan orang awam membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui telefon pintar.

Bagi memperkasakan digital, BN turut berjanji:

Mewujudkan sekurang-kurangnya satu Pusat Internet di setiap Dewan Undangan Negeri untuk kegunaan masyarakat.
Memperkenalkan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian bagi mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah asing.
Mewujudkan sistem maklumat bantuan rakyat Malaysia – B40 Window – bagi memastikan tiada ketidakadilan dalam pemberian bantuan.
Memacu negara ke arah Revolusi Industri 4.0 untuk mencerakinkan data besar.
Merealisasikan sasaran sumbangan ekonomi digital sebanyak 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2023.
Meningkatkan ketelusan PBT dengan mewajibkan siaran langsung setiap kali ahli-ahli majlis bermesyuarat.
Mendedahkan laporan audit tahunan PBT untuk tatapan awam.
Mewajibkan Town Hall bersama penduduk secara berskala yang akan dilaksanakan oleh PBT.
Merealisasikan transformasi PBT dengan mengaplikasikan keterbukaan maklumat.
Mewujudkan Ombudsman untuk menyiasat sebarang aduan awam mengenai ketidakadilan dan kelemahan perkhidmatan kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan.
Menggubal Akta Berita Palsu bagi menjaga keharmonian dan ketenteraman awam serta kestabilan ekonomi.
Menggubal Akta Dana Politik bagi memantau sumbangan dan perbelanjaan parti-parti politik di Malaysia.
Menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen dalam memperhalusi serta memberi maklum balas mengenai isu-isu kepentingan awam.

Manifesto BN : Agenda Ekonomi Wanita Terus Diperkasa


KUALA LUMPUR, 7 April – Pelbagai perancangan dirangka Barisan Nasional (BN) demi memperkasakan golongan wanita, terutamanya dalam meningkatkan aspek ekonomi golongan yang disifatkan sebagai ‘ratu hati negaraku’ Malaysia.

Bagi memperkasakan kaum hawa di negara ini, BN menawarkan penubuhan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri serta sebuah Koperasi Wanita bagi kemudahan simpanan dan pinjaman kewangan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk wanita bergiat lebih aktif dalam membangunkan ekonomi keluarga dan negara.

Ia menjadi antara agenda utama Manifesto BN untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN, malam ini.

Manifesto bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ itu turut menggariskan perancangan terperinci dalam memartabatkan golongan ibu dan wanita di negara ini iaitu :

* Menubuhkan pusat transformasi usahawan wanita (model PASARNITA) yang akan melebarkan jaringan perniagaan.

* Memudah cara proses pemerolehan pinjaman golongan wanita tunggal.

* Memudahkan syarat pinjaman mikrokredit untuk usahawan wanita.

* Menyemarakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) wanita dan ibu tunggal dengan mewujudkan jaringan kerjasama yang mantap.

* Menambah pendapatan ibu-ibu tunggal B40 melalui latihan di Kursus Asuhan PERMATA.

* Menggilap potensi ibu-ibu tunggal melalui program peningkatan kemahiran dan latihan.

* Menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Dewan Negara disandang wanita.

* Memperluaskan penglibatan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan.

* Menggubal Akta Gangguan Seksual untuk melindungi mangsa.

* Menubuhkan Majlis Kehakiman Syariah Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebagai satu jawatankuasa induk untuk membincangkan dan menyelaraskan isu-isu berkaitan hal ehwal perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia.

* Menggalakkan sektor swasta membenarkan ibu-ibu mengandung pulang sejam lebih awal.

* Memperluaskan insentif cukai kepada 24 bulan bagi wanita yang kembali semula ke pasaran pekerjaan.

* Menggalakkan syarikat-syarikat mengamalkan dasar Keseimbangan Kehidupan dan Pekerjaan.

* Meningkatkan jumlah tawaran Rumah Transit Belia 1Malaysia untuk yang baharu memulakan kerjaya.

* Menyediakan kaunter perkhidmatan khas khusus untuk wanita di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Manifesto BN: Bank Khas Urus Pinjaman Rumah Mampu Milik


KUALA LUMPUR, 7 April – Iltizam untuk memastikan setiap keluarga mampu tinggal dalam rumah yang selesa, sama ada secara milik sendiri atau menyewa, diterjemahkan oleh Barisan Nasional melalui komitmen mewujudkan sebuah bank khas bagi memudahkan pinjaman Perumahan Mampu Milik dan Perumahan Kos Rendah berharga RM300,000 ke bawah.

Perkara itu antara yang terkandung dalam Manifesto BN bertemakan “Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Ia turut menjanjikan pengecualian cukai bagi pendapatan daripada penyewaan rumah.

Dalam manifesto yang dilancar untuk Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi, BN juga berjanji memperkenalkan Skim Bantuan Sewa Perumahan Awam untuk membantu penyewa dalam kategori miskin dan orang kelainan upaya.

Selain itu, BN juga memberi komitmen untuk membuka peluang kepada pesara kerajaan dan anak-anak mereka membeli unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Manifesto itu turut menyebut bahawa BN akan membina semula perumahan rakyat dan perumahan kos rendah berusia lebih 20 tahun.

Ini merupakan antara janji di bawah teras Kediaman 1Negaraku:

Membantu pembeli yang menjadi mangsa kepada pemaju perumahan tidak berlesen
Menyediakan dana khas bagi menggalakkan usahawan Sistem Binaan Berindustri (IBS)
Menyediakan insentif bagi menggalakkan bank dan pemaju perumahan menawarkan skim sewa- untuk-beli
Mewajibkan Indeks Prestasi Utama (KPI) ke atas pembinaan Rumah Mampu Milik
Menubuhkan tribunal penyelesaian konflik
Mewujudkan sebuah entiti tunggal untuk menyelaras keseluruhan inisiatif perumahan mampu milik
Memperkenalkan Perjanjian Jual dan Beli Rumah Patuh Syariah yang akan menambah baik sIstem perbankan Islam sedia ada
Membina lebih banyak rumah komuniti Felda
Melanjutkan tempoh pengecualian duti setem untuk projek perumahan terbengkalai
Membina perumahan mampu milik di tanah rizab Melayu, wakaf dan baitulmal yang terbiar
Meningkatkan kapasiti Program Bantuan Rumah
Menaik taraf rumah Orang Asli dan rumah pekerja estet di Semenanjung
Menyediakan dana khas untuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuaa Pengurusan Bersama (JMC)
Meningkatkan had tuntutan di bawah kuasa Tribunal Perumahan dn Pengurusan Strata (TPPS)
Memperluaskan kuasa kerajaan untuk menghidupkan semula projek perumahan terbengkalai
Melancarkan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN)
Menamatkan polisi diskaun lot Bumiputera untuk hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas
Memperuntukkan 1,800 unit rumah dalam Program 1Anggota 1 Rumah (SASaR) untuk anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Membina 45,000 unit kediaman Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) menjelang 2030
Mewujudkan Program Bantuan Baiki Rumah Veteran Tentera 1Malaysia dengan sasaran menjelang 2020
Memperuntukkan 10,000 unit rumah PPA1M untuk anggota polis
Membina 10,000 unit rumah mampu milik SASaR khusus untuk anggota ATM

Labels