Followers

Saturday, 24 March 2012

Kepala Batas - Teriakan Kanak-Kanak GEMPARKAN Orang Ramai !


Satu pengalaman yang cukup menyesakkan jiwa berlaku terhadap MMI petang tadi.Seperti kebiasaannya MMI kadang-kadang di ajak oleh anak-anak ke pasar malam berdekatan dan kebetulan hari ini ke Pasar Malam Kepala Batas.

Seperti biasa ke pasar malam mencari makanan yang boleh di bawa balik namun sebaik saja menjejakkan kaki tiba-tiba seorang kanak-kanak perempuan berlari ditengah-tengah orang ramai sambil menangis teresak-esak menuju ke jalan raya.

Aduh ! Apa yang berlaku ni ? Kanak-kanak tersebut dilihat menangis sambil mencari-cari ibunya.Ramai yang berada di kawasan tersebut tadi terpinga-pinga melihat kanak-kanak tersebut.

MMI dan beberapa orang yang berada di situ turut memberikan tumpuan kepada kanak-kanak tadi dan mujurlah seorang peniaga yang cukup prihatin telah menahan kanak-kanak tersebut lalu membawanya ke gerai milik peniaga terbabit.

Orang ramai dilihat cukup prihatin dengan sama-sama membantu memanggil ibu kepada kanak-kanak tersebut dengan laungan "Anak siapa hilang! Anak siapa Hilang!" namun si ibu tidak muncul-muncul.

Melihat akan kanak-kanak tadi semakin teresak-esak peniaga tadi mendokong kanak-kanak tersebut lalu terus masuk ke dalam pasar malam sambil bertanya siapa keluarga kepada kanak-kanak terbabit.

Akhirnya dengan kesungguhan peniaga dan orang ramai yang prihatin,ibu dan keluarga kanak-kanak terbabit ditemui.Namun apa yang dikesalkan adalah sikap keluarga terbabit yang hadir ke pasar malam dengan keluarga besar tidak sedikit pun sedar akan kehilangan kanak-kanak terbabit sehinggalah diserahkan kepada mereka semula oleh si peniaga.

Cuba bayangkan jika kanak-kanak terbabit di temui oleh mereka yang tidak bertanggungjawab maka seluruh negara akan sekali lagi gempar dengan berita kehilangan seorang lagi kanak-kanak.

Apa pun MMI bersyukur kanak-kanak terbabit berjaya ditemukan semula dengan keluarganya.Sekalung penghargaan MMI berikan kepada si peniaga kerana sanggup meninggalkan gerainya semata-mata prihatin akan nasib kanak-kanak tadi.

Cuma kepada keluarga terbabit selepas ini berikanlah perhatian yang sewajarnya terhadap anak-anak kita kerana mereka hanya insan yang masih belum mengenali sejauh mana dunia ini berputar.Menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu dan bapa untuk sentiasa mengawasi mereka supaya tidak berlaku sebarang perkara yang mampu membuatkan kita menyesal dikemudian hari.

Kepada semua jadikanlah kejadian yang MMI ceritakan ini sebagai pengajaran kepada kita bersama supaya tidak lagi kedengaran berita perihal kanak-kanak hilang dan sebagainya.

Kepada orang ramai yang turut membantu,MMI turut berterima kasih kerana sekurang-kurang di kawasan Kepala Batas ini masih wujud masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab.

Note : MMI tidak menyiarkan gambar kanak-kanak terbabit dan peniaga yang budiman kerana menghormati permintaan daripada kedua-dua belah pihak untuk tidak disiarkan gambar mereka.

"Sayangi Anak-Anak Kita"

MMI.

No comments:

Post a comment

Labels