Followers

Saturday 20 December 2014

Jaringan Muslimin Islam Pulau Pinang KECAM Kebiadaban Lim Guan Eng


KENYATAAN MEDIA
JARINGAN MUSLIMIN PULAU PINANG
25 SAFAR 1436 H/ 18 DISEMBER 2014

Pihak kami Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) ingin membuat kenyataan tegas dan memberi respons kepada keceluparan Lim Guan Eng dalam bertindak menghina kalimah suci Allah, nama Tuhan yang disembah umat Islam, dengan membenarkannya digunakan oleh golongan bukan Islam di dalam negara.

Pertama, Lim Guan Eng perlu diingatkan serta diberi pengajaran bahawa Kalimah Allah Bukan Milik Lim Guan Eng untuk diberikan secara bebas kepada sesiapa sahaja untuk menggunakannya. Sebagai seorang bukan Islam, Lim Guan Eng harus faham bahawa tindakannya ini merupakan satu bentuk tindakan yang jelas dilihat tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam dengan menghina secara jelas dan terang nama Tuhan yang disembah kami semua.

Kedua, perlu kami ingatkan kepada Lim Guan Eng, tolong jangan jadikan Kalimah Allah sebagai Komoditi Taruhan Perjudian Politik kotor antara beliau dan rakan-rakan politik beliau. Kami melihat isu ini timbul kerana terdorong dengan kehendak taktik kotor politik sehingga sanggup menceroboh sempadan hormat kepada nama Tuhan umat Islam.

Ketiga, Lim Guan Eng  jangan sesekali bertindak menghina keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa Kalimah Allah bukanlah sebahagian daripada bahagian asas di dalam Agama Kristian. Ia diputuskan di dalam kes Roman Titular Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri dan lain (2013). Lim Guan Eng mesti menghormati keputusan Mahkamah tertinggi tersebut.

Ke empat, Lim Guan Eng perlu diberi amaran supaya kembali mengamalkan apa sahaja kepercayaannya di dalam kerangka hak sepertimana termaktub di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan syarat jelas untuk mana-mana agama selain Islam untuk dibenarkan diamalkan di dalam negara, semua praktis dan amalan agama tersebut hendaklah di dalam keadaan aman dan damai terhadap Islam. Sikap yang ditunjukkan Lim Guan Eng ini seolah cuba membawa golongan bukan Islam untuk berkonfrontasi dengan umat Islam.

Ke lima, Lim Guan Eng mesti menghormati dan mentaati Warta Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjalankan di bawah sub seksyen 48 (3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang dan setelah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong, telah mengeluarkan Fatwa pengharaman 40 kalimah-kalimah yang berkaitan kesucian Agama Islam. Salah satu daripada kalimah-kalimah yang telah diwartakan tersebut ialah kalimah Allah. Lim Guan Eng mesti belajar menghormati undang-undang negeri di mana beliau menjadi Ketua Menteri.

Ke enam, Lim Guan Eng perlu diingatkan bahawa beliau tidak pernah dilantik sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Ketua Agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang ialah Yang Di Pertuan Agong. Perlakuan sumbangnya dengan membenarkan golongan bukan Islam mencemar kesucian nama Allah dilihat sebagai satu perbuatan melampaui batas-batas kuasa beliau sebagai Ketua Menteri.

Ke tujuh, dengan menceroboh masuk serta membuat kenyataan provokasi tentang Islam, Lim Guan Eng dilihat sebagai seolah cuba menceroboh dan menghina kuasa Yang Di Pertuan Agong di dalam Persekutuan Malaysia. Yang Di Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi Persekutuan dan juga bagi negeri Pulau Pinang. YDP Agong telah diwajibkan bersumpah oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara Agama Islam pada setiap masa. Perbuatan Lim Guan Eng ini dilihat adalah satu perbuatan sengaja mencetuskan provokasi malah menghina Yang Di Pertuan Agong dengan mencabar aspek tugasan utama baginda untuk mempertahankan Islam daripada serangan penghinaan pihak-pihak seperti Lim Guan Eng.

Ke lapan, perbuatan Lim Guan Eng sangat jelas boleh menjejaskan perpaduan kaum serta boleh mencetuskan ketegangan antara agama. Lim Guan Eng perlu diberi amaran supaya jangan menjadi punca rosaknya Keharmonian Negara.

Ke Sembilan, Lim Guan Eng mesti diperingatkan supaya tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri untuk menjalankan agenda-agenda politik kotor sehingga menghina nama Tuhan yang disembah jutaan umat Islam di Malaysia.

Terakhir, Lim Guan Eng mestilah menahan diri daripada terus menjadikan dirinya sebagai Batu Api dengan melaga-lagakan antara umat Islam dan umat Kristian yang selama ini hidup rukun damai di Malaysia.

Kami mahu Malaysia dan rakyat Malaysia terus hidup rukun damai, saling hormat menghormati dan hidup mematuhi prinsip-prinsip Rukun Negara.
Kebiadaban Lim Guan Eng ini perlu ditangani secara seadil-adilnya mengikut semua peruntukan undang-undang yang ada.Kami mahu mendesak pihak polis dan peguam negara agar mengambil tindakan undang-undang mendesak yang tegas ke atas tokoh yang menjadikan nama Tuhan yang kami sembah sebagai komoditi pertaruhan dan perjudian politik.

Dan jika beliau enggan memelihara 10 perkara sepertimana yang kami nyatakan di atas, beliau cuma tinggal satu saja pilihan iaitu meletakkan jawatan beliau sebagai Ketua Menteri  P.Pinang dengan segera.


Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin,
Pengerusi,
Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP)

Sedarlah perkara seumpama ini sudah berlaku sebelumnya dan kini ianya berlaku lagi.Ini membuktikan mereka-mereka itu tidak pernah serik untuk terus mencuba.Dan MMI yakin sekiranya kita masih lemah dan lalai untuk membina kubu pertahanan yang mampan , cubaan demi cubaan itu akhirnya akan berhasil.

Baca juga artikel berkaitan di SINI & SINI 

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels