Followers

Monday, 8 October 2012

Tanda Putera Tunda Lagi ??


SEBELUM ini, filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Tanda Putera dijadual ditayangkan pada 13 September lalu tetapi telah ditunda kerana ada sebab-sebab tertentu yang tidak boleh dielakkan.

Kemudian tarikh baru 15 November telah ditetapkan oleh Finas untuk tayangan filem berkenaan. Tetapi khabarnya tarikh tersebut juga tidak pasti lagi.

Sebelum tarikh 15 November, alasan yang diberikan oleh pihak Finas tarikh tayangan filem ini ditunda kerana kurang promosi. Apa kaitannya promosi dengan tarikh penundaan filem ini? Ini cukup tidak masuk akal.

Kenapa pula Finas ingin masuk campur dalam urusan promosi filem ini. Sebelum ini tidak pernah pula Finas bersungguh-sungguh nak masuk campur dalam setiap promosi filem lain.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku di sebalik penghasilan filem ini, adakah isu 13 Mei yang menjadi permasalahan yang paling besar sehinggakan filem ini masih lagi tidak ditayangkan?

Sehingga kini filem Tanda Putera yang telah diluluskan oleh LPF (Lembaga Penapisan Filem) dan jawatankuasa Syarat Wajib Tayang masih menjadi yoyo dan disepak terajang begitu sahaja.

Ada pihak ketiga campur tangan dalam proses penundaan tarikh tayangan filem ini. Ini membuatkan Tanda Putera tergantung dan tidak tahu bila akan ditayangkan atau memang terus tidak ditayangkan.

Takut dengan sentimen perkauman, mungkin itu alasan yang tepat kepada pelbagai persoalan yang timbul. Finas tidak perlu untuk melayan pihak yang tidak betul dan sepatutnya Finas perlu melayan pihak produksi yang menghasilkan karya ini.

Kurang cerdik lah sekiranya filem menelan belanja RM4.8 juta ini tidak ditayangkan kerana ada pihak takut dengan bayang-bayang sendiri. Sedangkan pengarahnya sudah melakukan kajian yang lama dan teliti.

Sebelum ini sudah dijelaskan bahawa hampir 30 peratus adegan peristiwa 13 Mei telah dipotong oleh pengarahnya sendiri selepas ditonton oleh pelbagai pihak dalam sesi kumpulan tumpuan (focus group) yang diadakan oleh pihak produksi.

Adegan-adegan yang menyentuh sensitiviti kaum dalam peristiwa bersejarah terpaksa disunting semula setelah menerima pandangan pelbagai pihak yang telah menonton filem ini.

Apa lagi yang diperlukan sebenarnya oleh pihak Finas agar filem ini boleh ditayangkan seperti filem-filem lain? Dalam hal ini Finas mempunyai kuasanya sendiri dan tidak perlu untuk tunduk dengan telunjuk pihak-pihak yang langsung tidak membantu.

Filem seperti inilah yang sepatutnya ditayangkan agar semua bangsa yang ada di Malaysia ini tahu tentang sejarah sebelum ini. Pejuang terdahulu berjuang sepenuh hati demi mendaulatkan negara.

Tidak perlu untuk mendengar kata pihak-pihak yang langsung tidak membantu memajukan industri filem kita. Tugas Finas adalah memperjuangkan hak tayangan filem ini dan bukan mengangguk sahaja pada pihak yang mempunyai agenda sendiri.

Lagi cerita berkenaan Tanda Putera Baca Sini dan Sini.

MMI antara mereka yang menantikan penuh sabar tayangan filem ini.Sebagai seorang rakyat Malaysia filem ini sebenarnya memberikan banyak pengertian khususnya kepada generasi baru agar dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku satu ketika dulu.

Tanda Putera mungkin hanya sebuah filem namun pengisiannya amat penting kerana disitulah tercatatnya sejarah yang membolehkan rakyat Malaysia hari ini dapat menikmati kemakmuran dan hidup berbilang kaum dengan selesa.

Psstt suka dengan garapan filem seperti Tanda Putera..Ada orang takut ke dengan sejarah ?

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels