Followers

Thursday, 14 March 2013

Wisma Putra Kumpul Maklumat Dalang Insiden Lahad Datu


Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman tidak menafikan pembabitan pihak ketiga dalam insiden pencerobohan Sabah oleh pengganas Sulu seperti dilaporkan akhbar Filipina baru-baru ini.

Oleh itu, beliau berkata, Wisma Putra akan mendapatkan maklumat terperinci daripada rakan sejawatannya bagi memulakan penyiasatan di negara ini untuk memastikan sama ada rakyat Malaysia menjadi dalang dalam mewujudkan ketidakstabilan berkenaan.

"Saya telah meminta rakan sejawatan saya untuk terus memberi maklumat berkaitan apa yang dilapor akhbar Filipina berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga.

"Beberapa diplomat dan duta turut mempersoal mengapa ia berlaku sekarang?

Itu adalah soalan yang kerap ditanya ketika ini.

"Jadi, selain fokus dan keutamaan mencari penyelesaian masalah di Lahad Datu, pada masa yang sama, kita juga akan memulakan siasatan berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga," katanya pada sidang akhbar selepas sesi taklimat dengan kor diplomatik dan media berkaitan 'Ops Daulat', di sini malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa risikan menyiasat dakwaan seorang pemimpin pembangkang mempunyai peranan dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Akhbar The Philippine Daily Inquirer menyiarkan artikel agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata, pengganas terbabit ke Sabah atas jemputan seorang ahli politik dari parti pembangkang di Malaysia.

The Manila Times pula menyiarkan dakwaan pencerobohan itu ada kaitan dengan kempen pembangkang di Malaysia untuk melepas wilayah autonomi Sabah, jika mereka memenangi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, Anifah berkata mesti ada bukti kukuh untuk memastikan kebenaran memandangkan dakwaan itu adalah sesuatu yang serius.

Beliau menyifatkan kumpulan militan bersenjata terbabit bertindak kejam dengan melakukan keganasan serta menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah atau mana-mana bahagian negeri di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi orang awam di kawasan itu ketika menjalankan operasi terhadap kumpulan pengganas.

"Semua langkah juga sedang diambil bagi menangani keperluan kemanusiaan termasuk perubatan kepada orang awam. Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bekerjasama membantu penduduk tempatan di kawasan terjejas.

"Oleh itu, Malaysia memandang serius dakwaan berlaku pencabulan hak asasi manusia seperti dilapor beberapa media Filipina. Kita menolak sekeras-kerasnya dakwaan ini," katanya.

Menteri itu berkata, semua tindakan yang diambil kerajaan Malaysia adalah selaras dengan undang-undang, peraturan serta polisi negara selain mematuhi norma dan standard antarabangsa.

"Dalam menjalankan operasi itu, kerajaan Malaysia bukan sekadar mematuhi jaminan seperti dinyatakan Perlembagaan Persekutuan malah mengikut standard dan norma hak asasi manusia di peringkat antarabangsa," katanya.

Anifah berkata, kerajaan juga komited untuk mendokong prinsip Piagam dan Deklarasi Asean berkaitan hak asasi manusia.

"Pendirian Malaysia sangat jelas, pengganas harus meletak senjata dan menyerah diri tanpa syarat bagi membolehkan proses undang-undang dilaksanakan," katanya.

Pada masa sama, Anifah berkata, Malaysia tidak akan membabitkan jirannya di kalangan ASEAN dalam krisis di timur Sabah kerana perkara itu masih terkawal.

Katanya, beliau sudah memberi taklimat kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah kelmarin berhubung perkembangan situasi di Lahad Datu dan Semporna.

"Kami menghormati hal-ehwal dalaman mana-mana negara ASEAN lain. Saya sudah memberi taklimat kepada Sultan Brunei, yang juga Pengerusi ASEAN.

"Beliau menghargai taklimat berkaitan pertempuran yang berlaku dan kita tidak perlu membabitkan jiran kerana mampu menangani situasi ini," katanya. - BERNAMA

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels