Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil pasangan yang mempersendakan Ramadan dengan memuat naik gambar makanan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini di laman facebook mereka.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, akan dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu yang mendapat bantahan banyak pihak.
“SKMM akan memanggil mereka bagi membantu siasatan kes itu dalam masa terdekat, buat masa ini kita serah pada SKMM untuk jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Pasangan itu yang juga bekas penuntut National University of Singapore mempersendakan Ramadan dengan memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen ‘Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh…wangi enak dan menyelerakan’ berserta logo halal.
Hari ini, satu lagi akaun facebook telah memuat naik status yang mempersenda Ramadan dengan menampilkan iklan berbuka puasa dengan babi panggang yang turut diletakkan logo halal.
Mengulas mengenainya, Jailani berkata perkara itu telah dibawa kepada SKMM yang mengesahkan akaun itu diwujudkan oleh pengguna dari luar negara.
“SKMM akan membuat laporan kepada pengurusan facebook dan meminta mereka menyekat atau memadam akaun berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Jailani menasihatkan pengguna facebook terutama umat Islam supaya membuat laporan terus kepada pentadbiran laman sosial itu atau SKMM jika mendapati ada perbuatan menghina kesucian Islam dalam laman sosial itu.
Pengguna facebook juga dinasihat supaya tidak berkongsi atau menyebarkan status berkenaan bagi mengelak berlakunya suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. – BERNAMA
Baca juga di SINI
MMI
No comments:
Post a Comment