Followers

Sunday 11 August 2013

Hukum HUDUD Hanya Apabila RAKYAT Sokong ~ Khalid Samad


Hukum hudud hanya akan dilaksanakan jika PAS mentadbir kerajaan pusat dan melakukan pungutan suara yang keputusannya mendapati sebahagian besar rakyat mahukan undang-undang Islam itu, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad.

Dalam meneruskan hasrat PAS untuk melaksanakan hukuman itu negara ini, Khalid berkata, buat permulaan ia akan dilaksanakan di Kelantan terlebih dahulu.

Ini disebabkan PAS merupakan parti dominasi yang menguasai kerusi DUN yang terbanyak setelah menang di negeri pantai timur itu sejak 22 tahun lalu.

"Untuk membuat perubahan tersebut, kita memerlukan sebuah kerajaan pusat yang tidak menghalang dan itu harapan kita bahawa PR akan memerintah. Dan atas desakan rakyat Kelantan itu sendiri akan membenarkan ia dilaksanakan. 

"Kita boleh membuat referendum dan minta rakyat Kelantan menzahirkan sokongan terhadap perlaksanaan hukuman hudud dan kita laksanakan dahulu di Kelantan. Yang pentingnya, akhirnya undang-undang yang dilaksanakan bergantung kepada penerimaan masyarakat. 

"Jika mereka nakkan Islam, maka mereka akan tuntut supaya undang-undang Islam dilaksanakan. Kalau dipaksa nanti timbul masalah," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Antarapos di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Menurut Khalid, langkah-langkah untuk menjalankan hudud telah diusahakan semenjak tahun 1990-an oleh Menteri Besarnya ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun hasrat itu terbantut di tengah jalan apabila Nik Aziz menerima surat bantahan daripada kerajaan pusat.

"Di Kelantan memang kita nak jalankan, tetapi seperti yang dijelaskan oleh Nik Aziz, bila nak dilaksanakan setelah Enakmen Rang Undang-undang Islam diluluskan yang mengandungi hukuman hudud, Nik Aziz ada menerima surat dari Kerajaan Pusat untuk melarang perlaksanaannya kerana dikatakan bercanggah dengan perlembagaan negara buat masa ini," katanya.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tindakan Mahkamah Syariah adalah terhad kepada tiga (3) tahun penjara, enam kali sebatan dan denda berjumlah sehingga RM 5,000 yang mana ia menjadi salah satu penghalang kepada perlaksanaan hukuman hudud di Malaysia.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini mempersolkan 'ketakutan' orang ramai terhadap hudud sedangkan ia adalah sebahagian undang-undang Allah SWT dan PAS bertindak menjalankan kewajipan untuk menyenaraikannya di dalam undang-undang Kelantan.

Beliau bertegas hudud harus ditegakkan seiring dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Walau selantang mana PAS memperjuangkan isu hudud di negara ini, parti itu tetap mendapat tentangan oleh rakan-rakan sekutunya di dalam Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi DAP yang dilihat tetap berpegang kepada perjanjian bersama di mana perlaksanaan hukum hudud tidak termasuk di dalam perbincangan pakatan itu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata adalah menjadi harapan peribadinya agar hukum hudud dapat dilaksanakan apabila PAS menjadi kerajaan pusat, walau ini mungkin mengambil masa yang lama.

Khalid selain itu berbangga dengan pencapaian PAS dan Pakatan secara keseluruhannya atas kejayaan mereka memperluaskan kefahaman agama di Selangor, berbanding sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN).

"Di bawah Pakatan, di negeri-negeri kita diberi kebebasan untuk menyampaikan risalah kita. Contoh Selangor jika di bawah BN tak boleh buat program-program tazkirah, kuliah dan sebagainya.

"Melalui Pakatan, matlamat PAS tercapai di dalam erti kata menyampaikan kefahaman dan penjelasan tentang perundangan dan sistem pemerintahan Islam," katanya lagi.

Kerjasama PAS melalui Pakatan telah bermula semenjak 2008 di mana gabungan PAS-PKR-DAP itu berjaya memenangi sebanyak 82 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen selain menafikan majoriti dua pertiga yang dipegang BN semenjak kemerdekaan 1957.

Pada PRU-12, Pakatan berjaya menguasai Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang, namun hilang Kedah pada PRU-13 yang lalu.sumber 

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels