Tajuk ini bermaksud usaha-usaha Amerika untuk menjajah negara-negara umat Islam secara bukan ketenteraan. Penjajahan itu berlaku dari sudut ekonomi, politik dan gaya hidup. Bagaimanakah usaha penjajahan itu berlaku? Untuk memahami kaedah pengamerikaan itu, kita perlu memahami terlebih dahulu maksud sebenar globalisasi.
Globalisasi dalam erti kata yang mudah ialah satu suasana yang menjadikan dunia ini seolah-olah tiada sempadan. Dunia tanpa sempadan ini juga disebut sebagai sebuah kampung kecil. Ia menjadi begitu kerana wujudnya teknologi perhubungan canggih seperti telefon pintar dan komputer, yang merapatkan hubungan antara penduduk dunia. Sesuatu peristiwa yang berlaku di hujung timur dunia, dapat diketahui secara langsung oleh penduduk di hujung barat. Begitulah seterusnya. Teknologi pengangkutan yang semakin mudah dan murah diperoleh oleh orang awam juga menyebabkan dunia yang besar ini ibarat sebuah daerah yang kecil.
Isi Globalisasi
Bagaimanapun, segala teknologi itu sebenarnya hanyalah alat bagi memudahkan perpindahan, pengangkutan dan perkongsian. Persoalannya ialah apakah perkara yang dipindah, diangkut dan dikongsikan itu? Atau lebih tepat lagi ialah apakah isi globalisasi itu?
Sebagai contoh, salah satu perkara yang dipindah, diangkut dan dikongsikan itu ialah gambar-gambar dan video-video lucah yang bersepah-sepah di dalam internet. Mengambil gambar dan video lucah merupakan sebahagian daripada gaya hidup Amerika dan Barat. Jika zaman 70an, seseorang muslim perlu bermusafir ke Amerika untuk terdedah melihat perkara-perkara tidak senonoh itu. Tetapi pada hari ini, dengan kelebihan teknologi canggih era globalisasi, perkara-perkara itu boleh ditonton oleh anak kecil kita seawal usia tiga dan empat tahun, di dalam bilik melalui telefon bimbit sebesar genggaman tangan.
Terdapat juga isi yang baik yang dipindahkan dan dikongsikan. Sebagai contoh, jadual penerbangan, keretapi, urusan pentadbiran kerajaan secara atas talian dan sebagainya. Tidak dilupakan juga video-video ceramah ustaz dan ustazah di Youtube yang memberi peluang kepada yang jauh untuk mengikutinya, pada bila-bila masa. Terdapat banyak laman-laman sesawang yang amat bermanfaat dan berguna. Bagaimanapun, secara keseluruhan, isi yang paling dominan dan menarik perhatian paling ramai pelayar internet ialah isi yang menghidangkan kempen pembaratan.
Kebanyakan para pengkaji tentang globalisasi berpendapat bahawa isi globalisasi dipenuhi dengan kempen pembaratan. Bahkan sebahagian pengkaji Barat melihatnya mengandungi kempen pengamerikaan. Isi yang paling banyak dan dominan ialah tentang cara fikir dan gaya hidup Amerika yang mahu disebar luaskan dan diterima pakai oleh seluruh penduduk muka bumi.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendokong citarasa liberal dalam bentuknya yang ekstrim, terutamanya dalam bidang sosial dan ekonomi. Fahaman liberal ialah satu cara fikir yang memberi tumpuan kepada kepentingan individu dan keperluannya untuk bebas daripada sebarang penguasaan, terutamanya daripada penguasaan negara (kerajaan) dan penguasaan kelompok sosial.
Berdasarkan resolusi yang dicapai dalam beberapa konferens antarabangsa, tasawur yang dibawa dan mahu dipaksa pakai ke atas masyarakat antarabangsa ialah tasawur liberal yang sebahagian orang Barat sendiri tidak dapat menerimanya. Sebagai contoh, Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang wanita pada tahun 2000, yang menggunakan tema “Persamaan, Pembangunan dan Kesejahteraan Pada Kurun Ke 21”, telah mengeluarkan resolusi yang mengajak ke arah kebebasan amalan seks di kalangan remaja, mengharuskan amalan seks songsang (liwat dan musahaqah), kempen ke arah menilai semula undang-undang yang menghukum pengamal seks songsang. Ia juga mengandungi definisi baru bagi keluarga, yang membolehkan sesuatu keluarga itu terdiri daripada pasangan sama jantina.
Bersaing Dengan Gergasi
Globalisasi sebenarnya bukan sekadar menjadikan dunia ini kampung kecil, bahkan menjadikannya sebuah empayar besar milik Amerika. Sebagai sebuah dunia tanpa sempadan, barang-barang dagangan daripada Amerika akan memasuki ke pasaran negara kita dan seterusnya akan bersaing dengan barang-barang dagangan buatan tempatan. Pedagang mereka dan pedagang kita akan bersaing secara terbuka. Sudah tentulah persaingan terbuka itu akan memihak kepada pedagang mereka yang mempunyai kelebihan dari segi modal untuk melakukan penyelidikan bagi meningkatkan kualiti barangan, mempromosikan barangan mereka secara besar-besaran, meningkatkan pengeluaran berkali ganda sehingga harga menurun ke tahap yang tidak mampu disaingi oleh pedagang tempatan.
Mungkin ada yang menyoal, tidakkah kerajaan boleh mengawal keadaan itu dengan menyekat kemasukan barang dagangan mereka ataupun mengenakan cukai yang tinggi agar barang dagangan mereka dijual pada harga mahal sehingga menyebabkan pembeli membeli barang dagangan tempatan yang dijual pada harga murah?
Ya, benar kerajaan boleh mengawal keadaan itu dengan melindungi pedagang tempatan terutamanya Melayu dan bumiputera. Bagaimanapun, kawalan dan perlindungan kerajaan semakin melemah akibat tekanan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara, yang mahu ekonomi negara lebih liberal. Liberal merupakan satu cara fikir yang mengutamakan kebebasan individu mengatasi kuasa negara dan agama. Dalam konteks ekonomi, Amerika yang berfahaman liberal mahu ekonomi sesebuah negara berdasarkan kebebasan golongan pemodal dan mengurangkan kawalan kerajaan. Oleh yang demikian, secara mudah difahami, fahaman liberal yang didokong oleh Amerika amat bertentangan dengan dasar ekonomi kerajaan Malaysia yang mahu melindungi kepentingan bumiputera dan Melayu. Antara tekanan yang dilakukan oleh Amerika agar kerajaan membuka pasaran Malaysia seluas-luasnya kepada pedagang Amerika untuk bersaing dengan pedagang tempatan terutamanya Melayu dan bumiputera ialah rundingan Trans Pacifik Partnership Agreement (TPPA) yang sedang berlangsung kini.
Dari segi realiti, antara contoh mudah untuk melihat persaingan tidak seimbang itu ialah kewujudan rangkaian restoran makanan segera Mc Donald di negara kita. Rangkaian restoran yang dimiliki oleh syarikat gergasi multinasional ini mempunyai modal yang banyak sebagai kuasa persaingan mutlak. Mereka mampu untuk membuka sesebuah restoran baru dengan membina bangunan khusus di kawasan yang lapang, siap dengan parkir yang luas dan tempat permainan kanak-kanak yang menarik. Mereka tidak mempunyai masalah untuk berbelanja berbilion ringgit untuk tujuan promosi, sama ada di alam maya, televisyen satelit, papan iklan gergasi dan sebagainya. Apakah yang mampu dilakukan oleh sebuah syarikat bumiputera yang mahu bersaing dengan Mc Donald?
Bukan itu saja. Restoran makanan segera itu bukan saja contoh penguasaan pedagang Amerika dalam persaingan tidak seimbang dengan mengaut keuntungan berlipat kali ganda, bahkan ia juga merupakan jenama yang menandakan penjajahan pemikiran. Makanan segera yang dijual sememangnya sudah diketahui ramai merupakan makanan yang tidak sihat dan tidak disyorkan oleh doktor. Tetapi, akibat penjajahan pemikiran melalui penjenamaan dan promosi bertubi-tubi yang amat menarik, Mc Donald seolah-olah sudah menyihir pemikiran mereka yang gemarkannya tatkala mahu mengisi perut yang lapar.
“Soft Power”
Selain bergantung pada kekuatan politik, ketenteraan dan ekonominya, Amerika telah menggunakan “soft power” yang memanipulasi globalisasi sebagai senjata untuk melebarkan sayap pengaruh kebudayaan dan penguasaannya ke atas negara-negara Arab dan Islam.
Joseph S. Nye, dalam bukunya “Soft Power: The Means To Success In World Politics”, menyebut tentang dua jenis kekuatan; “hard power” iaitu kekuatan persenjataan dan “soft power” iaitu kekuatan kebudayaan, maklumat, seni dan gaya tingkah laku yang boleh dieksport dari satu negara ke negara lain. Beliau menyebut bahawa Amerika mempunyai kelebihan dalam kedua-dua kekuatan itu, yang membolehkannya menguasai dunia. Kekuatan Amerika dalam soft power tidak terhad sekadar siaran television satelit, akhbar dan filem Hollywood, bahkan termasuk kecanggihan sistem maklumat yang dimilikinya, program kanak-kanak, juga institusi-institusi ekonominya. Rangkaian restoran antarabangsa Amerika seperti Mc Donald mampu menyerang seluruh dunia dengan nilai dan gaya tingkah laku Amerika, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh institusi kebudayaan Amerika sendiri.
Kesan dan pengaruh globalisasi Amerika ini ternyata begitu mendalam dan meluas dalam pelbagai bidang. Pakaian, makanan, wangi-wangian, rokok, gaya rambut, filem, muzik, sukan dan sebagainya. Filem porno juga merupakan pengaruh yang merebak pantas berasal daripada budaya Amerika.
Kesan pengaruh yang serupa dapat dilihat dalam bidang pengkristianan dan taktik menasranikan mangsa. Cara gayanya bersifat global seperti yang berlaku di pelbagai negara Asia dan Afrika; mengeksploitasi kemiskinan dan kesusahan penduduk pribumi untuk memurtadkan mereka.
Pengamerikaan Islam
Selepas kejatuhan Kesatuan Negara Soviet Rusia yang mewakili blok sosialis, kecenderungan Amerika untuk memperkukuhkan kuasanya ke atas dunia dimulakan dengan menyerang Islam dan orang-orang Islam, berasaskan bahawa Islam merupakan cabaran sebenar ke atas tamadun Barat dan ke atas penguasaan Amerika. Ini disebabkan Islam memiliki aset tamadun dan spiritual yang kaya dan mampu menumbangkan tamadun Anglo-Amerika.
Selepas gagal membibitkan rasa benci masyarakat dunia terhadap Islam selepas peristiwa 11 September 2001, Amerika mula memberi fokus kepada kempen untuk merubah Islam yang mereka anggap sebagai agama jihad dan memusuhi orang Barat serta tamadun mereka. Islam perlu diubah menjadi hampir seperti Kristian Protestan. Sehubungan itu, Washington telah meminta negara-negara Islam agar merubah mesej dakwah Islam, mengurangkan masa pelajaran agama di sekolah dan universiti, melemahkan peranan al-Azhar, serta memberikan ruang yang luas kepada aliran Islam liberal.
Amerika telah membantu menubuhkan badan-badan bukan kerajaan yang bersifat sekular dan ekstrim, yang mendokong pemikiran yang asing ke atas syariah seperti pengharusan pengguguran (tanpa syarat), perkahwinan sejenis, hubungan seks tanpa kahwin, persamaan antara lelaki dan wanita dalam semua perkara termasuk wanita menjadi imam bagi makmum lelaki dan wanita. Sebaliknya pihak berkuasa mengetatkan pemantauan ke atas badan-badan Islam yang bersifat konservatif serta mula meletakkan beberapa peraturan yang mengekang aktiviti mereka.
Untuk menguasai dunia Islam, RAND Corporation yang merupakan pusat kajian terbesar di Amerika telah memberikan cadangan spesifik dan praktikal kepada kerajaan Amerika agar mengambil pengalaman Perang Dingin, dengan mewujudkan dan menyokong jaringan aliran sekular, liberal dan modern dalam dunia Islam, agar mereka dapat menyekat pandangan-pandangan aliran Islamis yang dikategorikan secara pukal sebagai ekstrimis.
Di sinilah Amerika menggunakan “soft power” menyediakan padang sama rata bagi muslim liberal berperanan menyebarkan idea Islam menurut kemahuan Amerika. Mereka tahu bahawa golongan muslim liberal tidak ramai dan tidak sehebat golongan ulamak yang sedia mempertahankan keaslian dan kesucian ajaran Islam. Oleh itu, RAND Corporation mencadangkan kepada kerajaan Amerika agar membantu golongan muslim liberal dari segi dana dan latihan, selain membantu mengadakan wacana-wacana bagi menonjolkan tokoh-tokoh daripada kalangan muslim liberal ini.
Muslim liberal yang dimasyhurkan sebagai moderate itu mestilah di kalangan mereka yang menerima konsep demokrasi menurut acuan Barat. Mereka mestilah terdiri daripada kalangan muslim yang menerima amalan demokrasi Barat tanpa sebarang pengecualian. Kemungkinan ada di antara mereka yang mendokong demokrasi kerana ia mirip dengan prinsip syura dalam Islam. Kemungkinan juga ada yang mendokongnya kerana demokrasi dilihat sebagai salah satu nilai universal yang diamalkan oleh kebanyakan dunia antarabangsa. Tidak kira atas dasar apa seseorang muslim itu menerima demokrasi, yang penting muslim liberal yang dibiayai oleh Amerika mestilah mendokong demokrasi yang menyokong pluralisme agama dan keseluruhan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 tanpa kecuali.
Pluralisme agama bererti menganggap semua agama itu sama rata. Pegangan dan fahaman seperti ini adalah bercanggah dengan akidah Islam dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dalam Perkara 3 bahawa agama Islam merupakan agama persekutuan atau agama negara. Ertinya Islam mempunyai kedudukan yang istimewa mengatasi agama-agama lain di negara ini.
Manakala Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 pula mengandungi 30 perkara. Perkara yang ke 18 berbungi seperti berikut:-
“Setiap orang berhak atas kebebasan pikiran, hati nurani dan agama; dalam hal ini termasuk kebebasan berganti agama atau kepercayaan, dengan kebebasan untuk menyatakan agama atau kepercayaan dengan cara mengajarkannya, melakukannya, beribadat dan mentaatinya, baik sendiri maupun bersama-sama dengan orang lain, di muka umum maupun sendiri”
Jelas sekali kandungan Perkara ke 18 daripada Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 ini amat bertentangan dengan ajaran Islam, yang mana perbuatan meninggalkan Islam atau murtad merupakan satu kesalahan serius di sisi Islam dengan hukuman yang berat. Ia bukan isu peribadi, sebaliknya Islam memberikan kuasa kepada pemerintah untuk menghukum mereka yang murtad sebagai pengajaran bagi orang lain.
Muslim liberal yang dibantu oleh Amerika mesti berpegang pada fahaman pluralisme agama dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 tanpa kecuali. Mereka seterusnya, dengan bantuan Amerika, bertanggungjawab menyebarkan fahaman songsang dan bertentangan dengan Islam ini ke dalam masyarakat, terutamanya di kalangan generasi muda.
Amerika juga dicadangkan agar menjadikan muslim liberal sebagai pejuang yang akan merubah syariat Islam yang dilihat tidak selaras dengan demokrasi dan hak asasi manusia. Antara hukum syarak dalam Quran yang mesti diubah ialah hak wanita. Sebagai contoh hukum harta pusaka yang hanya memberi seorang anak perempuan separuh daripada yang diterima oleh anak lelaki adalah mesti diubah dan ditafsirkan semula. Ini kerana, pada pandangan mereka, keadaan pada hari ini tidak sama dengan keadaan pada zaman Rasulullah S.A.W.
Sebenarnya hukum harta pusaka itu berasaskan sistem sosial dalam Islam, yang mana tugas dan tanggungjawab untuk mencari nafkah terletak di atas bahu lelaki. Seseorang wanita boleh bekerja, dengan sebab-sebab dan syarat-syarat tertentu, tetapi tanggungjawab mencari nafkah tetap terletak di atas bahu lelaki, sama ada sebagai bapa, abang, bapa saudara, adik beradik lelaki dan seterusnya. Bagaimanapun, muslim liberal yang menjadi agen Amerika untuk merubah Islam agar sejajar dengan kehendak Amerika melihat perkara ini dari sudut pandangan liberal yang mengagungkan kesamarataan gender mengatasi tuntutan ajaran agama.
Secara ringkas, Amerika mahu menguasai negara-negara Islam melalui proses perubahan kefahaman umat Islam terhadap Islam itu sendiri, tidak sama seperti yang dibawa dalam al-Quran oleh Rasulullah S.A.W., serta penafsiran ulamak muktabar menurut disiplin ilmu yang sahih. Islam yang dimahukan oleh Amerika ialah Islam Amerika dalam erti kata agama itu adalah isu peribadi setiap individu, terpisah daripada urusan politik dan sosial, mengiktiraf hak kebebasan individu tanpa batas, persamaan antara jantina dalam segala perkara, kebebasan seksualiti, sama seperti agama Kristian di sisi masyarakat Barat.
Dunia tanpa sempadan membenarkan penyeberangan bukan sekadar barangan dagangan, bahkan nilai-nilai kehidupan dan budaya sesuatu negara ke negara yang lain. Nilai dan budaya yang pelbagai itu, yang datang daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama, akan bersaing dalam satu medan yang terbuka luas.
Masyarakat perlu menyedari bahawa proses pengamerikaan dunia adalah gerakan yang tidak akan berhenti, selagi membawa keuntungan lumayan kepada syarikat gergasi antarabangsa. Tumpuan utama yang perlu diambil berat ialah masa hadapan budaya kita. Jika tiada kesedaran dan usaha untuk mempertahankan jatidiri muslim dan Melayu di negara ini, dikhuatiri Malaysia akan menjadi sebuah “negeri” baru bagi Amerika. Tiada agama dan tiada bangsa yang dominan.
Sebagai mengakhiri makalah ini, penulis ingin membawa satu analogi agar para pembaca mudah menyimpulkan kaedah pengamerikaan ke atas dunia Islam ini. Bayangkan dalam dunia yang kecil ini hanya terdapat sebuah keluarga Islam dan dua buah kedai; sebuah kedai arak dan sebuah lagi kedai air mineral. Kedai arak dimiliki oleh peniaga Barat, manakala kedai air mineral dimiliki oleh peniaga Melayu Islam. Keluarga Islam yang terdiri daripada lima orang anak, serta ibubapa. Sudah tentu peniaga kedai arak gagal menjual araknya jika ayah dan ibu keluarga tersebut berjaya mendidik anak-anak mereka dengan ajaran Islam yang betul. Untuk merungkaikan masalah ini, peniaga arak memperkenalkan fahaman liberal kepada anak-anak iaitu pegangan agama itu merupakan hak peribadi individu, tiada kaitan dengan ibu dan bapa. Terpulang kepada individu anak-anak untuk berpegang pada ajaran agama atau tidak. Itu adalah kebebasan seperti yang dianjurkan oleh fahaman liberal. Dengan cara demikian, akan ada di kalangan anak tadi yang membeli arak. Segala peraturan agama dan didikan ibu bapa diketepikan, atas nama kebebasan individu.
Untuk berdepan dengan saingan peniaga air mineral pula, peniaga arak tadi yang mempunyai modal yang sangat besar amat mudah mengalahkan saingan peniaga air mineral. Modal yang besar memungkinkannya melakukan promosi besar-besaran dan sebagainya. Begitulah golongan kapitalis Amerika menguasai dunia Islam.sumber
MMI
No comments:
Post a Comment