Followers

Thursday 9 July 2015

Sidang Media PAC Mengenai #1MDB


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mengesa syarikat yang dilanda kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberikan dokumen yang diperlukan Jabatan Audit Negara bagi tujuan pengauditan dan pengesahan terhadap penyata kewangan syarikat tersebut.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang bercakap kepada media dalam sidang akhbar selepas menerima Laporan Awal Pengauditan 1MDB daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen menegaskan kerjasama 1MDB amat diperlukan bagi membolehkan Jabatan Audit memuktamadkan laporan mereka.

“Cuma ada dua perkara ditimbulkan Jabatan Audit iaitu mengenai dokumentasi. Jabatan Audit masih lagi tidak mendapat kerjasama yang baik daripada 1MDB dalam memberikan dokumen untuk diaudit oleh mereka.

“Kita minta pengurusan 1MDB tolong beri kerjasama dengan memberikan segala dokumentasi dan maklumat yang diperlukan oleh Jabatan Audit supaya mereka dapat memuktamatkan laporan mereka akhir tahun ini. Antara dokumen termasuk penyata bank serta dokumen perjanjian,” kata Nur Jazlan.

Jelas Nur Jazlan sekiranya 1MDB gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan oleh Jabatan Audit, PAC akan meminta Kementerian Kewangan untuk mendesak 1MDB menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada Jabatan Audit.

Jabatan Audit mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan Laporan Awal Pengauditan 1MDB yang bermula pada 10 Mac hingga 15 Jun lalu. Pengauditan dilakukan atas arahan Kabinet pada 4 Mac serta atas permintaan PAC pada 27 Februari lalu.

Nur Jazlan berkata, PAC berpuas hati dengan kerja yang dilakukan oleh Jabatan Audit dalam menyiapkan laporan awal tersebut.

“Skop yang digunakan adalah pengauditan terhadap 1MDB dan anak-anak syarikat dan berdasarkan kepada penyata kewangan daripada tahun 2010 hingga 2014.

“Skop pengauditan turut menganalisis penyata kewangan dan pelaburan-pelaburan 1MDB seperti Petrosaudi. Manakala pengauditan sektor lain seperti hartanah dan tenaga masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam laporan akhir yang dijangka siap akhir tahun ini,” tegas Nur Jazlan.

Nur jazlan berkata, laporan awal tersebut turut menyentuh kronologi penubuhan 1MDB yang bermula daripada Terengganu Investment Authority (TIA) yang merupakan anak syarikat Menteri Besar Terengganu diperbadankan dan pengambil alihan TIA oleh Kerajaan Persekutuan pada 31 Julai 2009 selepas mendapat persetujuan Kabinet dan ditukar nama kepada 1MDB.

“Turut disentuh adalah struktur organisasi 1MDB yang dibahagi kepada tiga iaitu Lembaga Penasihat, Lembaga Pengarah dan juga Pengurusan Kanan.

“PAC dimaklumkan skop dan methologi laporan awal mengandungi pekara lain seperti analisis penyata kewangan 1MDB bermula daripada 27 Februari hingga 30 Mac 2014 berdasarkan kepada jumlah jaminan dan pinjaman kerajaan terhadap 1MDB, asest Kumpulan 1MDB, pembiayaan dan penggunaan dana dan kajian terhadap penyata kewangan 1MDB bermula 2010 hingga 2014,” jelas Nur Jazlan.

Dalam menyiapkan laporan awal itu Jabatan Audit memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber termasuk bekas syarikat audit 1MDB, Dloyd dan Kementerian Kewangan. Temu bual dan perbincangan juga dilakukan dengan ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah dahulu hingga sekarang.

“Secara keseluruhan PAC amat berpuas hati dengan laporan awal yang menyeluruh. Dibuat dengan telus dan memberikan maklumat baik kepada PAC.

“Maklumat ini berguna untuk PAC tanya kepada pengurusan 1MDB yang akan dipanggil pada Ogos ini. Antara yang dipanggil termasuk CEO, bekas CEO, Lembaga Pengarah dan bekas Lembaga Pengarah,” tegas Nur Jazlan. -UM

1 comment:

  1. KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan dua akaun bank atas nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank Islamic tidak dibekukan kerana akaun itu telah ditutup.

    Beliau bagaimanapun menambah semua dokumen berkaitan dengan dua akaun itu kini ada dalam tangan pasukan penyiasat khas yang dibentuk bagi menyiasat dakwaan pemindahan dana berjumlah lebih RM2 bilion ke akaun Perdana Menteri.

    Katanya, dua akaun tersebut ditutup pada 30 Ogos 2013 dan 9 Mac 2015.

    #pecatjibby
    #pecatpenjilatbodohjibby
    #pemutihanUmno

    ReplyDelete

Labels