Followers

Wednesday, 17 January 2018

Bersediakah UMNO Mendepani Cabaran PRU14


Sejak YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggalas tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia menggantikan Tun Abdullah, parti UMNO sekali lagi bangkit mendepani pelbagai cabaran mendatang dan cabaran kali ini jauh lebih dasyat sekiranya dibandingkan dengan cabaran-cabaran yang pernah dialami parti UMNO.

Sejujurnya MMI melihat bagaimana parti orang Melayu yang pernah diharamkan ini sering kali berdepan dengan dugaan yang cukup untuk menyentak perasaan orang-orang Melayu sehingga ada diantara dugaan dan cabaran itu dilihat mampu meranapkan parti.

Parti keramat orang Melayu ini pernah berantakan hanya kerana wujud 2 pasukan yang masing-masing mengaku mampu untuk membawa UMNO menjadi lebih baik.

Walaupun pertembungan politik itu disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai amalan demokrasi dalam parti, MMI melihat ianya lebih kepada soal perpecahan yang sebenarnya menjadi rentetan kepada cabaran dan dugaan seterusnya.

Pada masa itu ramai daripada ahli UMNO dan pemimpin UMNO dilihat lebih menumpukan kepada soal siapa yang harus memimpin parti bukannya melihat dalam sudut keupayaan dan kekuatan orang Melayu itu sendiri.

Sama ada sedar atau tidak, orang Melayu di akar umbi pada ketika itu masih lagi jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa utama yang lain.Justeru perubahan yang dimaksudkan oleh pemimpin dan ahli UMNO pada ketika itu masih lagi samar.

Bahkan hasil daripada pertembungan politik itu jugalah UMNO diharamkan, Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas dalam pemilihan Presiden UMNO telah mengambil tindakan undang-undang  dan mendakwa parti itu sehingga pandaftaran UMNO dilucutkan.

Kemudiannya Tengku Razaleigh menubuhkan parti baharu Semangat 46 manakala Tun Mahathir menubuhkan UMNO baharu.

Perpecahan itu kemudiannya semakin parah apabila Semangat 46 tewas dalam pilihanraya umum 1990 dan 1995 yang mengakibatkan Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996.

Walaupun Semangat 46 dibubarkan, perpecahan terus berlaku memandangkan tidak semua ahlinya kembali kepada parti UMNO.Sebahagian daripada mereka telah memilih untuk menyertai parti PAS.

Setelah itu hadir pula cabaran 1997 apabila berlakunya krisis kewangan Asia yang turut menjejaskan Malaysia sehingga memaksa kerajaan menambat nilai ringgit pada 17 Ogos 1997 selepas ringgit jatuh menjunam.

Tidak cukup dengan itu UMNO sekali lagi dilanda kontroversi melibatkan kedua-dua pemimpin utamanya sehinggalah Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu Anwar Ibrahim dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tanggal 2 September 1998.

Sekali lagi orang Melayu khususnya dari UMNO berpecah apabila Anwar Ibrahim dan pengikutnya menubuhkan Parti Keadilan Nasional yang terhasil daripada gelombang reformasi yang dilancarkan secara rasmi pada 4 April 1999 yang membawa kepada penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos 2003.

Perpecahan ini telah menyaksikan satu perubahan politik yang cukup memenatkan buat seluruh rakyat Malaysia apabila kedua-dua pihak mula menyusun strategi untuk menagih kepercayaan rakyat.

Bukan sesuatu yang mudah sebenarnya kerana UMNO selaku parti tertua yang mengepalai kerajaan Barisan Nasional diserang bertubi-tubi oleh barisan pembangkang yang pada ketika itu sudah mula bersama melibatkan parti-parti seperti DAP.

Dalam kesibukan politik itu kemudiannya UMNO dikejutkan lagi dengan pengumuman Tun Mahathir untuk meletakkan semua jawatan yang disandangnya termasuklah sebagai Perdana Menteri sewaktu ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO yang ke-56 pada tahun 2002.

Rentetan daripada pengumuman tersebut Tun Mahathir akhirnya melepaskan jawatannya dan bersara pada 31 Oktober 2003 dan menamakan Tun Abdullah sebagai penggantinya.

UMNO kemudianya meneruskan legasi politiknya di bawah Presiden yang baru dan kesan daripada peralihan ini telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihanraya umum pada tahun 2004.

Walaupun keputusan tersebut dilihat sebagai kejayaan terbesar kepada UMNO dan BN namun cabaran tidak terhenti disitu apabila Tun Mahathir kemudiannya kembali ke arena politik tanahair dan mengkritik pentadbiran Tun Abdullah selaku Perdana Menteri.

Kritikan tersebut bukan hanya sekadar kritikan tetapi ianya telah menjadi kempen politik sehinggakan Tun Mahathir hadir ke pentas pembangkang semata-mata untuk menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap pentadbiran Tun Abdullah.

UMNO bergolak lagi, pada ketika ini sudah ada dikalangan orang-orang UMNO yang memilih untuk bersama dengan Tun Mahathir dan kesannya pada pilihanraya umum ke 2008 pembangkang berjaya menguasai Kelantan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Ekoran daripada keputusan itu akhirnya Tun Abdullah berundur dan menyerahkan tugasnya kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai pengganti.

Dalam semua pergolakan dan pelbagai cabaran yang hadir sepanjang tempoh waktu tersebut, MMI melihat cabaran diwaktu kepimpinan Najib Razak jauh lebih dasyat jika dibandingkan dengan zaman-zaman sebelumnya.

Walaupun pada pilihanraya umum ke-13, Barisan Nasional terus mendapat mandat sebagai kerajaan hakikatnya fitnah mula berleluasa dan segala macam ciptaan cerita politik direka dan disebarkan kepada seluruh negara bahkan penentangan ini turut mendapat sokongan daripada pihak-pihak luar sehingga kedudukan negara diancam hasil daripada kerja-kerja fitnah dan propaganda melampau di media sosial.

Selain daripada serangan parti-parti pembangkang yang dibarisi oleh parti DAP,PKR dan PAS, YAB Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri turut sama perlu berdepan dengan aksi kurang konsisten Tun Mahathir terhadap UMNO dan kerajaan.

Malah sehingga kini Tun Mahathir bukan sahaja sudah meninggalkan parti UMNO tetapi sudah pun bersama dengan Pakatan Harapan bersama dengan parti Pribumi Bersatu yang ditubuhkan beliau bersama-sama dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyidin Yassin dan lain-lain.

Bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani pada ketika UMNO diasak dengan bertubi-tubi dan kepimpinan negara diserang dari segenap penjuru.

MMI sendiri pun rasanya tidak mampu bertahan dengan asakan sedemikian kerana ia turut melibatkan ahli keluarga dan maruah sendiri.

Tetapi UMNO beruntung kerana parti keramat orang Melayu itu bukan sahaja memiliki legasi kepimpinan yang berwibawa tetapi juga memiliki ahli-ahli parti yang taat setianya utuh bersama UMNO.

Jenteranya yang tidak kenal erti lelah dan terus menjadi nadi kepada kebangkitkan UMNO ini digarap dengan begitu baik sekali sehingga benar-benar menjadi benteng kepada parti.

Jika sebelumnya MMI pernah melihat bagaimana ahli UMNO sendiri tidak begitu selesa untuk memakai pakaian yang punya logo UMNO kerana bimbang dikutuk dan dikritik tetapi UMNO belajar dari kelemahan sehingga akhirnya bangkit semula bersama-sama dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib Razak yang telah membuktikan kesetiaan, keupayaan dan kemampuan beliau sebagai seorang nakhoda baharu parti keramat orang Melayu.

Kini dalam tempoh waktu berbaki, UMNO akan sekali lagi menghadapi cabaran yang MMIs sifatkan sebagai cabaran paling hebat dialaf baharu.

Disaat di mana media sosial memainkan peranan penting, beredarnya segala maklumat sama ada yang memihak atau pun tidak, disaat kutukan, fitnah dan adu domba begitu berleluasa UMNO membuktikan kekuatannya apabila bukan sahaja mampu menghimpunkan lebih daripada 30 ribu perwakilan dan pemerhati pada Perhimpunan Agungnya yang baharu berlalu tetapi turut tampil dengan dasar-dasar yang terus kepada rakyat.

Tidak menoleh kebelakang dan terus berusaha, YAB Perdana Menteri telah merealisasikan hasrat dan usaha kerajaan untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara.

Penghasilan projek seperti MRT, Keretapi Berkelajuan Tinggi, Lebuhraya Pan Borneo, Bypass Kajang, bantuan terhadap rakyat seperti BR1M secara konsisten, kepelbagaian pembinaan rumah mampu milik selain pengukuhan ekonomi negara dari sehari ke sehari, hubungan diplomatik selain daripada dasar-dasar kerajaan termasuklah dalam urusan pelaburan melibatkan negara luar rasanya adalah bukti betapa pemimpin yang UMNO miliki hari ini bukanlah dari kalangan mereka yang boleh diacah-acah.

Oleh kerana itulah MMI melihat walau apa pun yang pembangkang canangkan, mereka sebenarnya sedar bahawa UMNO telah kembali ke landasan yang terbaik malah kini menjadi nadi kepada kebangkitan bersama parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

Satu kebangkitan yang berasaskan kepada perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta berpegang teguh kepada prinsip dan pendirian Malaysia terhadap Perlembagaan Persekutuan yang tidak dimiliki oleh barisan pembangkang.

MMI percaya bahawa sejak UMNO ditubuhkan pelbagai cabaran telah didepani oleh parti dan UMNO telah belajar daripada setiap cabaran-cabaran tersebut dan hari ini ianya cukup matang dalam menguruskan dan mencongak masa depannya.

Sebab itulah pembangkang kini sedang berusaha bermati-matian untuk melahirkan formula yang mampu untuk sekurang-kurangnya memecahkan benteng ini kerana mereka juga tahu dengan kekuatan yang sebegini ianya adalah sesuatu yang amat mustahil bagi pembangkang untuk merampas Putrajaya pada PRU ke-14 nanti.

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels