Followers

Tuesday, 13 December 2011

Agenda Perjuangan Memartabatkan Bangsa,Agama & Negara Berkemundang Di UIA - PAT GPMS 2011 Melabuhkan Tirainya


Persidangan Agung GPMS Kebangsaan 2011 yang bermula pada 9 hingga 11 Disember 2011 telah pun melabuhkan tirainya tepat jam 3.05 petang hari ahad yang lalu.Seperti yang MMI perkatakan sebelum ini 400 perwakilan daripada seluruh negara telah berhimpun di Universiti Islam Antarabangsa Gombak bagi menunaikan amanah dan tanggungjawab mereka sebagai ahli dan aktivis GPMS.

Melihat kepada persidangan kali ini bolehlah MMI simpulkan sebagai yang terbaik pernah GPMS anjurkan semenjak Sdr Jais Abd Karim menjawat jawatan sebagai Presiden GPMS menggantikan Datuk Seri Rizal Merican.Walaupun terdapat sedikit kelemahan dibeberapa sudut namun secara keseluruhannya PAT 2011 telah berjaya memuaskan hati semua pihak dan paling penting ianya memperlihatkan sikap seluruh ahlinya yang begitu komited dalam perjuangan bersama-sama GPMS.


Yakin dan percaya bahawa "Maju Mundur,Kaya Miskin,Hina Mulianya Bangsa Itu Terletak Di Tangan Kita "  merupakan kata-kata azimat keramat buat setiap ahli dan aktivis GPMS.Dengan kata-kata itulah yang telah memberikan kekuatan dan semangat yang tidak pernah luntur dalam setiap aktiviti dan program yang disusun oleh setiap jentera GPMS di seluruh negara.

Dalam ucapan dasar Presiden dengan Tema "Transformasi Minda Pelajar Melayu Berdasarkan Strategi Samudera Biru" cukup memperlihatkan bahawa GPMS merupakan sebuah badan NGO yang cukup serius dalam memperjuangkan agenda utama mereka memastikan nasib pelajar-pelajar Melayu terus terbela.Ianya diperkukuhkan dengan deklarasi "10 Rukun SEDAR Pelajar Melayu" dan "10 Rukun SEDAR Graduan Melayu" yang dilihat begitu baik dalam usaha menghasilkan satu generasi pewaris terbaik negara.


10 Rukun SEDAR Pelajar Melayu :

1.Amal Makruf Nahi Mungkar & Demi Masa.
2."Belajar Terus Belajar" Sepanjang Hayat.
3.Harapan Ibu Bapa Tanggungjawab Kami.
4.Guru Sahabat Akrab Kami Lagi DiHormati.
5.Minda Melangit Tinggi - Kreatif & Inovatif Namun Adat Tetap Berakar Di Bumi.
6.Wajib Memiliki Diploma & Menjadi Profesional Dalam Keluarga Sendiri.
7.Mencungkil Keunikan Diri Sendiri,Sentiasa Bermotivasi Tinggi,Menyemarak Semangat Belajar.
8.Ringan Tulang & Berperki Mulia Serta Berkemahiran Membuat Keputusan Dengan Tepat.
9.Membina Kualiti Kepimpinan Diri Sendiri Dengan Karakter Yang DiSegani.
10.Cergas Sukan & Aktiviti Ko-Kurikulum.       

Di atas kesedaran bahawa kejayaan seseorang pelajar itu bergantung kepada dirinya sendiri,maka kefahaman dan kemahuan pelajar itu sendirilah akan menjadi tonggak kejayaannya.Sematlah prinsip kehidupan ini di sanubari anda pasti Allah SWT mengizinkan kejayaan dicapai.

"Kejayaan merupakan hasil dari keputusan yang matang dan kematangan itu biasanya dihasilkan dari pengalaman yang kadang-kala penuh dengan kegagalan." (Anthony Riobbins) 
- Di petik dari ucapan dasar Presiden GPMS 2011.

10 Rukun Graduan Melayu :

1.Lakukan Perkara yang Kita Cintai & Sukai.
2.Berfikir Positif & Realistik.
3.Sedia Untuk Berubah.
4.Belajar Dari Kegagalan & Kesilapan.
5.Mempunyai Matlamat - Buktikan Kepada Diri Sendiri.
6.Masalah Adalah Latihan Minda.
7.Kuasai Ilmu & Terus Belajar.
8.Bersabar Menerima Kritikan.
9.Memperkenal & Membangunkan Idea.
10.Perundingan adalah Satu Kesenian.

10 rukun ini adalah cebisan kecil mengenai rahsia kejayaan ramai orang yang hebat dan telah berjaya.Mereka mentranformasikan diri mereka menerusi pengalaman orang lain dan pelbagai pembacaan.

Charles Tremendous Jones berkata " Apa yang membezakan kita pada hari ini dan lima tahun akan datang,datangnya dari buku apa yang kita baca dan dengan siapa kita berkawan."
-Di petik dari ucapan dasar Presiden GPMS 2011.

Begitulah hebatnya GPMS,satu pertubuhan yang memperjuangkan agenda anak Melayu.Bagi MMI ianya merupakan satu wadah terbaik kepada seluruh umat Melayu dalam usaha berterusan untuk memastikan yang terbaik kepada anak bangsa.Tahniah dan syabas MMI ucapkan kepada semua ahli-ahli dan aktivis GPMS.

Dalam kesibukan persidangan berjalan MMI turut tidak melepaskan peluang untuk hadir mengikuti satu program bertajuk Seminar Pemikiran Najib Razak Dari Nazrah Generasi Muda yang turut diadakan sempena dengan persidangan agung GPMS 2011.Pujian harus diberikan kepada GPMS kerana menganjurkan seminar ini kerana ianya dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberikan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk menyuarakan pendapat.


Dengan barisan panel terdiri daripada Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor (Ahli Dewan Negara),Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia) dan Datuk Ibrahim Ali (Ahli Parlimen Pasir Mas) cukup membuatkan suasana dewan seminar gamat dengan hujah-hujah yang dikemukan oleh semua barisan panel apabila soalan demi soalan diajukan oleh moderator YBhg. Datuk Jaafar Abdul Rahim.





Rata-rata peserta seminar yang ditemui MMI menyatakan seminar pemikiran Najib Razak ini antara yang terbaik dihidangkan kepada semua perwakilan pada persidangan tahunan kali ini.Syabas kepada GPMS kerana berjaya menyediakan satu pentas terbaik sarat dengan ilmu dan maklumat yang sebenarnya perlu diketahui malah dikongsi dengan anak-anak muda.Sejajar dengan pemansuhan akta AUKU oleh kerajaan maka GPMS dilihat sebagai badan yang terawal menjadikan pemansuhan ini sebagai medium untuk menyalurkan serta mendekatkan anak-anak muda khususnya para mahasiswa dengan pentas politik yang sihat.

Sebelum itu,Majlis Perasmian Persidangan Agung Tahunan GPMS Kali Ke-57 telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,Menteri Besar Perak.Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana dijemput oleh GPMS untuk merasmikan persidangan agung tahunan di UIA kerana salah satunya mampu mengembalikan nostalgia beliau sewaktu menjadi pensyarah di UIA satu ketika dulu.Dalam ucapannya beliau turut menyentuh betapa pentingnya kita sebagai umat Melayu yang beragama Islam hari ini bersatu untuk memastikan survival bangsa Melayu dapat terus dipertahankan.Kepada GPMS teruskan perjuangan mengangkat martabat pendidikan dikalangan anak-anak pelajar Melayu kerana hanya dengan menguasai ilmu kita dapat menjadikan bangsa ini sebagai bangsa terbaik.






Beliau turut berkata bahawa " Jangan malu untuk mengaku kita orang kampung,jangan malu untuk mengaku kita bangsa Melayu,kerana saya dan ramai lagi di sini dan di luar sana telah membuktikan bahawa orang kampung dan bangsa Melayu ini sebenarnya boleh berjaya." sambil diberikan tepukan yang gemuruh oleh semua perwakilan GPMS.

YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menyampaikan anugerah kecemerlangan melibatkan 3 kategori iaitu Anugerah Aminuddin Baki ( GPMS Negeri Terbaik ) dimenangi oleh GPMS Negeri Pahang,Anugerah Dr. Abdul Wahab Ariff ( GPMS Cawangan Terbaik ) dimenangi oleh GPMS Cawangan Sungai Pinang dan Anugerah Khas Presiden ( GPMS Cawangan Khas Terbaik ) dimenangi oleh GPMS UUM Sintok Kedah.

Anugerah Aminuddin Baki - Negeri Pahang

Anugerah Dr Abdul Wahab Arif - GPMS Cawangan Sungai Pinang

Anugerah Khas Presiden - GPMS Cawangan Khas UUM Sintok
Tahniah buat semua penerima anugerah.MMI turut bangga apabila Pulau Pinang juga berjaya memenangi anugerah pada tahun 2011 melalui kejayaan GPMS Cawangan Sungai Pinang.Syabas kepada semua ahli GPMS Cawangan Sungai Pinang anda semua layak menerima anugerah ini.




Selama 3 hari MMI bersama para perwakilan dalam Persidangan Agung GPMS Kebangsaan di UIA ini cukup memberikan satu pengalaman dan pengajaran yang amat bermakna buat MMI.Ketika orang lain bersorak di tempat masing-masing perwakilan GPMS hadir ke persidangan membawa amanah dengan penuh semangat,ketika orang lain sibuk mencaci dan mengata barisan aktivis GPMS hadir ke UIA bagi menimba ilmu,ketika orang lain sibuk dengan urusan masing-masing pejuang GPMS seia-sekata untuk terus berjuang bagi memastikan nasib anak bangsa terbela.

HEBAT itulah yang mampu MMI ungkapkan.Kepada seluruh ahli dan aktivis GPMS diserata negara TERUSKAN LANGKAHMU PASTIKAN PERJUANGAN INI MAMPU MELAHIRKAN LEBIH RAMAI ANAK-ANAK MELAYU YANG MAMPU MEMBAWA KEJAYAAN BUAT KITA SEMUA.

SYABAS kepada Sdr Jais Abd Karim Presiden GPMS Kebangsaan dan seluruh jenteranya kerana berjaya mengemudi barisan aktivis anak muda dengan jayanya.Kepada semua perwakilan khususnya Perwakilan Negeri Pulau Pinang anda semua terbaik.

MMI.
    

No comments:

Post a Comment

Labels